Terbaiklah TLDM! Selamatkan pelayar terapung 4 hari di laut! Bukti keupayaan mencari dan menyelamat!
Published bySeorang pelayar yang terapung di laut selama empat hari diselamatkan oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) apabila kapal layarnya mengalami kerosakan jentera di perairan barat laut Pulau Perak.
Pelayar berkenaan, Kapten Kelvin Holly yang merupakan warganegara Australia berada di atas kapal layar Meridian of Sydney, sejak 8 Mac 2025.
Cawangan Komunikasi Strategik Markas Pemerintahan Armada Barat TLDM, di Lumut Perak dalam satu kenyataan berkata, Pusat Operasi Markas Wilayah Laut 3 (PUSOP MAWILLA 3) telah menerima maklumat pada jam 11.30 pagi, 12 Mac 2025 daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mengenai kegagalan komunikasi dengan kapal layar tersebut ketika dalam pelayaran dari Krabi, Thailand ke Langkawi, Kedah.
Menurutnya, menyedari keperluan untuk bertindak pantas, TLDM segera menggerakkan Kapal Diraja (KD) Mahamiru untuk menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi mengelakkan sebarang perkara yang tidak diingini berlaku.
Katanya, KD Mahamiru tiba di lokasi pada jam 1.15 tengah hari dan mendapati kapal layar berkenaan mengalami kerosakan pada jentera utama dan layar, menyebabkan ia tidak dapat meneruskan pelayaran.
“TLDM terus bertindak pantas dengan memberikan bantuan awal berupa makanan dan minuman kepada Kepten Kelvin Holly sebelum melaksanakan operasi menunda kapal layar tersebut ke perairan Langkawi.
“Ketika kenyataan ini dikeluarkan, KD Mahamiru sedang menunda kapal layar tersebut ke Jeti Langkawi dan akan diserahkan kepada APMM untuk urusan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan itu pada 12 Mac 2025.
Kata kenyataan itu, kecekapan dan tahap profesionalisme warga TLDM dalam operasi ini membuktikan tanggungjawab dan amanah yang digalas adalah fokus utama dalam memastikan keselamatan maritim serta berkeupayaan untuk bertindak pantas dalam sebarang keadaan kecemasan di perairan negara.
Menurutnya, kejayaan ini juga memperkukuh peranan TLDM sebagai barisan hadapan dalam keselamatan di laut, selaras dengan misi utama memastikan kedaulatan perairan negara sentiasa terpelihara. - KitaReporters