Aku Rindu Syurga! Surau Al-Kauthar anjur kem ibadah didik akhlak, adab anak-anak! Ikut cara Nabi!
Published byIlmu adalah cahaya, namun akhlak adalah cerminnya. Seindah manapun ilmu yang kita miliki, jika tidak diiringi dengan akhlak mulia, ia hanyalah bayang-bayang yang hilang.
llmu tanpa adab merupakan satu perkara yang sia-sia. Hal ini dapat dilihat melalui hadis Rasulullah SAW yang bermaksud; “Sesungguhnya aku diutus untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.” - HR al-Bukhari.
Dalam hadis lain, Nabi SAW bersabda: "Tiada yang lebih berat dalam timbangan seorang Mukmin pada hari kiamat daripada keindahan akhlak. Dan Allah benci kepada orang yang keji mulut dan kelakuan." - HR at-Tirmizi dan Abu Daud.
Peserta Kem Ibadah: Aku Rindu Syurga bergambar kenangan bersama Ustaz Nadzri dan fasi selepas majlis penutup.
Imam 1 Surau Al-Kauthar, Seksyen 4, Bandar Baru Bangi, Selangor Ustaz Muhammad Afif Safwan Muhd Saufi, berkata tiada salah untuk mencapai pengetahuan tinggi tetapi usah sesekali lupa dengan adab, budi bahasa dan akhlak yang baik.
Beliau berkata, adab, akhlak dan ilmu adalah perkara penting yang mesti diperolehi dengan kaedah yang betul supaya manusia itu dapat membentuk dirinya dengan proses pendidikan agama.
"Adab tanpa ilmu satu kerugian, manakala ilmu tanpa adab pula satu fitnah, justeru adab serta ilmu perlu dicapai secara sempurna kerana dengan perkara-perkara itu, seorang Muslim akan menjadi lebih sempurna.
Ustaz Muhammad Afif Safwan Muhd Saufi
"Sebab itu dalam program ini, kami memberi fokus kepada ibadat dengan penekanan dalam adab dan akhlak Nabi Muhammad SAW seperti tayammum, wuduk dan pembentukan solat.
"Apabila beribadah, pasti ada akhlak dan adab, baru ia menjadi sempurna. Kebanyakan peserta tahu bagaimana bersolat tapi adakah solat mereka sempurna termasuk bab adab dan akhlak," katanya selepas Majlis Penutup dan Penyampaian Sijil Penyertaan kepada 60 peserta sempena Kem Ibadah: Aku Rindu Syurga di Surau Al-Kauthar, Seksyen 4, Bandar Baru Bangi, Selangor.
Majlis penutup disempurnakan Pengerusi Surau Al-Kauthar, Ustaz Nadzri Daud. Turut hadir, Timbalannya, Ustaz Ismail Hashim.
Peserta mendapat bimbingan fasi dari pelajar USIM, UKM dan UIS sepanjang kem ibadah.
Kem selama dua hari itu anjuran Biro Pemuda Surau Al-Kauthar. Peserta hanya membayar yuran penyertaan RM30 seorang dan mereka menerima sijil penyertaan, makanan dan minuman sepanjang program, hadiah menarik dan aktiviti interaktif dan inspirasi kepimpinan.
Beliau berkata, selain daripada akhlak dan adab, modul kem ibadat itu turut memberi fokus kepada tahsin solat, doa dan zikir harian, motivasi bertajuk, "Sempurnakah Islamku" selain tawjid dan bacaan al-Quran. Ia merangkumi aspek kehidupan seorang Muslim yang sempurna.
Seronoknya makan bersama rakan-rakan sepanjang menyertai kem ibadah di Surau Al-Kauthar, Bandar Baru Bangi, Selangor.
"Saya memilih bab akhlak dan adab kerana mutakhir ini banyak isu membabitkan pelajar sekolah, akhlak sesama mereka, dengan guru-guru, ibu bapa dan masyarakat.
"Kualiti ibadah pelajar juga masih kurang memuaskan, mungkin disebabkan kesibukan ibu bapa dengan tugas harian di pejabat sehingga mereka alpa mengenai tanggung jawab fardu ain dan kifayah kepada anak-anak mereka.
"Saya tidak menafikan ramai ibu bapa menghantar anak-anak ke kelas KAFA tapi ramai tidak memeriksa apa yang mereka belajar, sementara yang lain sibuk dengan urusan peribadi dan jarang membawa anak-anak ke surau atau mereka sendiri kurang berkunjung ke rumah Allah," katanya.
Latihan berkumpulan memberi peluang peserta menajamkan minda dengan pelbagai ilmu.
Selain itu, Ustaz Safwan juga bimbang dengan fenomena gajet yang memberi kesan kepada adab dan akhlak pelajar.
Mereka boleh menjadi orang lain apabila menggunakan telefon bimbit sehingga boleh bercakap kasar apabila berkomunikasi dengan ibu bapa, guru-guru, sesama mereka atau dengan orang yang lebih tua.
"Ada yang solat tergesa-gesa kerana ketagih dengan gajet malah saya perhatikan kandungan dalam media sosial amat membimbangkan terutama pempengaruh yang sanggup melakukan apa sahaja semata-mata untuk mendapat "like" atau "follower" dalam kalangan netizen termasuk pelajar sekolah.
"Justeru, untuk kem ibadah ini, saya pesan kepada ibu bapa jangan memberikan anak-anak gajet ketika hadir ke sini kerana kami mahu peserta memberi sepenuh perhatian, lupakan telefon bimbit atau media sosial tapi kita fokus kepada adab dan akhlak dalam ibadah.
Peserta terbaik lelaki, Muhammad Firza Muhammad Redzuan menerima hadiah daripada Ustaz Nadzri Daud.
"Alhamdulillah, sekali pun tanpa gajet, mereka seronok mengikuti kem ibadah ini kerana ada ceramah yang santai, latihan dalam kumpulan, aktiviti yang boleh mengasah minda supaya tidak bosan, praktikal untuk wuduk, tayamum dan solat," katanya.
Beliau berpuas hati sepanjang dua hari itu kerana peserta seronok dapat mengikuti kem ibadah itu secara santai.
Dalam slot zikir dan doa misalnya, 45 minit pertama, peserta diberi kefahaman mengapa perlu berzikir dan doa dan 45 minit kedua, mereka perlu melakukan latihan dalam kumpulan, membuat persembahan doa selain permainan minda yang dibimbing fasi atau fasilitator (pemudah cara) yang terdiri daripada penuntut universiti.
Peserta terbaik perempuan, Khalidah Nawwarah Mohd Azizi menerima hadiah daripada Ustaz Nadzri
"Dulu kem ibadah siri 1, kami memberi penekanan mengenai kepimpinan, bagaimana memimpin dan meletakkan sifat kepimpinan dalam diri. Dan, dalam siri 2 ini ia lebih kepada isu semasa berkaitan dengan akhlak dan adab anak-anak dalam ibadah.
"Semua orang boleh menimba ilmu tapi akhlak dan adab ramai yang gagal malah mengecewakan. Itu yang kami mahu terapkan pada peringkat anak-anak dengan harapan mereka dapat membawa perkara yang baik ini hingga ke usia dewasa malah mendidik anak-anak mereka nanti mengikut acuan yang mereka belajar sekarang," katanya.
Selain memperbetulkan bacaan, rukuk dan sujud yang betul, cara mengambil wuduk mengikut sunah Nabi SAW, kami juga mereka khusyuk dalam solat, jangan sekali-kali bermain atau bergurau ketika bersolat kerana kita sedang menghadap Allah, perlu tertib dan bersopan.
Salah satu kumpulan Kem Ibadah: Aku Rindu Syurga menerima sijil penyertaan daripada Ustaz Nadzri (tujuh dari kiri)
"Melalui kem ibadah ini, matlamat kami ialah menarik mereka datang dan mengimarahkan surau atau masjid. Malah, Surau Al-Kauthar amat mesra dengan kanak-kanak dan anak-anak muda. Datang ke rumah Allah bukan sahaja untuk ibadah tapi melakukan aktiviti lain seperti gotong royong, bersukan dan belajar.
"Bayangkan jika surau atau masjid tiada anak-anak yang mengimarahkan, pastinya rumah Allah akan menjadi sekadar bangunan yang sunyi sepi, ibarat tiada berpenghuni. Ini yang kami lakukan dengan harapan menanam rasa cinta mereka kepada tempat ibadat," katanya.
Ustaz Nadzi Daud
Sementara itu, Ustaz Nadzri bersyukur kem ibadah itu dapat dijalankan dengan lancar selama dua hari dengan kehadiran 60 peserta terdiri daripada pelajar berusia tujuh sehingga 12 tahun.
Beliau berkata, pihak surau mengadakan program begini setiap kali cuti sekolah bagi membolehkan pelajar menggunakan masa lapang yang panjang untuk aktiviti-aktiviti berfaedah dan mengelak mereka terlalu leka dengan gajet dan perkara-perkara negatif. Ia juga jariah mereka kepada ahli kariah dan masyarakat tempatan.
"Syabas kepada Biro Pemuda yang berjaya mengadakan kem ibadah siri 1 dan 2 dengan baik dan mendapat sambutan peserta di kalangan anak-anak kariah. Mereka belajar ilmu yang bermanfaat mengenai adab dan akhlak dalam ibadah, moga mereka menggunakannya apabila di rumah nanti.
"Saya berharap ibu bapa dapat memberi kerjasama supaya ilmu yang anak mereka belajar di kem ibadah ini dapat dimanfaatkan, mungkin dalam solat jemaah boleh melantik mereka sebagai imam bagi menilai sejauh mana berkesan ilmu yang mereka belajar di kem ibadah ini," katanya. - KitaReporters