Bukan sekadar tempat beribadat! UPSI bantu transformasikan perpustakaan Masjid Jamek Tanjong Malim!
Published byMasjid Jamek Tanjong Malim, Perak.
MASJID Jamek Tanjong Malim, Perak, dilengkapi dengan ruang perpustakaan, namun ia gagal berfungsi secara aktif dan profesional.
Masjid tertua di daerah Muallim itu yang dibina pada tahun 1926 dan dirasmikan oleh Sultan Iskandar Shah pada 15 Jun 1932 seharusnya mampu menjadi pusat pembudayaan ilmu dan bukan setakat tempat menunaikan ibadat.
Sehubungan itu, Perpustakaan Tuanku Bainun (PTB), Universiti
Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim, Perak, diberi tanggungjawab
melaksanakan transformasi ruangan dan pembangunan koleksi perpustakaan masjid
itu dengan menggunakan peruntukan khusus daripada masjid berkenaan.
Ketua Pustakawan PTB, Noriha Muhammad berharap dengan transformasi perpustakaan masjid yang diberi wajah baharu, dilengkapi dengan buku terkini dan dekorasi yang menarik dapat melengkapkan lagi peranan masjid berkenaan.
Noriha Muhammad menyampaikan ucapan pada majlis perasmian berkenaan.
Pihak UPSI, katanya, turut menyerahkan sumbangan 50 naskhah buku terkini bernilai RM1,000 kepada pihak pengurusan masjid.
“Transformasi atau penaiktarafan ini bertujuan untuk menjadikan peranan masjid sebagai pusat penyebaran ilmu pengetahuan kerana masjid dan perpustakaan adalah nadi kepada keutuhan masyarakat serta melambangkan pusat perpaduan umat Islam,” ujarnya.
Menurut beliau, projek yang membabitkan 18 staf PTB itu
turut disertai 20 pelajar daripada
Kelab Al-Mursyiddin Pusat Islam (AMC) UPSI serta
Kelab Sahabat PTB (KSPTB).
Manakala Pengerusi masjid itu, Mohd Subakir Ali, berkata
usaha PTB dapat mengembalikan semula fungsi sebenar masjid sebagai tempat yang
bukan sahaja menunaikan ibadat tetapi juga sebagai pusat pembudayaan ilmu.
Menurut beliau, ruang yang kecil pada ketika itu tidak dapat menampung jemaah yang semakin bertambah menyebabkan masjid baharu lebih besar di tapak sedia ada didirikan dengan peruntukan sumbangan RM18,000 daripada masyarakat setempat.
Salina Samsudin melihat buku di Perpustakaan Masjid Jamek Tanjong Malim yang berwajah baharu sambil disaksikan oleh Dr. Safry Kamal Ahmad.
Sementara itu, ketika berucap pada majlis perasmian Program
Bacaan Yasin Perdana, Penyerahan Kit SPM 2024 kepada enam sekolah menengah di Dewan
Undangan Negeri (DUN) Behrang serta perasmian perpustakaan masjid berkenaan pada
30 Disember 2024, Ahli DUN Behrang, Salina Samsudin, berkata usaha murni yang
dilakukan oleh PTB UPSI serta pengurusan masjid itu perlu dicontohi kerana ia mampu
membentuk jati diri masyarakat.
Beliau melahirkan rasa gembira dengan transformasi yang
dibuat oleh pihak PTB UPSI dan membuktikan keterlihatan universiti itu sebagai
pakar rujuk dalam lapangan masing-masing.
“Saya menyarankan ahli jawatankuasa masjid menggerakkan
pelbagai aktiviti pembudayaan ilmu supaya masjid ini dapat diimarahkan lagi
bukan sekadar untuk solat sahaja tetapi penuh dengan aktiviti di samping memberi
galakan generasi muda datang ke masjid,” katanya.
Salina turut merasmikan nama baharu perpustakaan masjid berkenaan iaitu Perpustakaan Tuan Haji Zainuddin, seorang tokoh ulama tempatan yang banyak berjasa dalam pengurusan masjid itu.
Hadir sama pada majlis perasmian itu Orang Besar Jajahan Muallim, Toh Paduka Setia Dato’ Ir. Dr. Safry Kamal Ahmad serta Pengarah Pusat Islam UPSI, Muhammad Tarmizi Abdul Rahman. - KitaReporters
Salina menyampaikan ucapan perasmian dengan mengharapkan usaha PTB UPSI dan masjid berkenaan wajar dicontohi.