Sumbangan Nur Ramadan daripada Kak Wan! 300 asnaf terima bantuan! Anjuran bersama MAIWP dan DBKL!
Published by
Program Nur Ramadan peringkat Parlimen Bandar Tun Razak berlangsung dengan penuh penghayatan dan menyemarakkan semangat ibadah dalam kalangan masyarakat setempat bertempat di Masjid Al-Muqarrabin, Bandar Tasik Selatan, Sungei Besi pada pagi 15 Mac 2025.
Anjuran bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jabatan Wilayah Persekutuan dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), ia dirasmikan oleh Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail sekali gus menyaksikan sesi penyampaian sumbangan Nur Ramadan Wilayah Persekutuan kepada kira-kira 300 orang asnaf.


Majlis dimulakan dengan lafaz syukur ke hadrat Allah S.W.T., diiringi selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. bagi memuliakan kedatangan Ramadan, bulan yang penuh keberkatan.
“Bulan Ramadan membawa seribu satu keberkatan. Seperti sabda Rasulullah S.A.W., ia adalah bulan kesabaran dan pengajaran, di mana awalnya rahmat, pertengahannya pengampunan, dan akhirnya pembebasan daripada api neraka,” kata Dr. Wan Azizah yang lebih mesra disapa 'Kak Wan'.


Turut hadir antaranya Pengarah Eksekutif Pembangunan Sosioekonomi DBKL, Ismadi Sakirin; Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin; Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Datuk Mohd Nizam Yahya; Pengarah Bahagian Khidmat Pengurusan Jabatan Wilayah Persekutuan, Suzana Alias; dan Naqib Masjid Al-Muqarrrabin, Ustaz Ahmad Muzakkir Ahmad Hadiri.

Isteri kepada Perdana Menteri Malaysia itu mengingatkan bahawa Ramadan bukan sekadar bulan untuk menahan lapar dan dahaga, tetapi masa terbaik untuk memperkukuh hubungan dengan Allah S.W.T. melalui pelbagai amalan ibadah.
Beliau turut mengajak para hadirin memperbanyak amal ibadah, termasuk solat tarawih, membaca al-Quran, berqiamulail, serta memperkukuh ukhuwah sesama insan.
“Sempena 14 Ramadan 1446 Hijrah ini, marilah kita memperbaharui niat dan tekad agar Ramadan kali ini menjadi yang terbaik buat kita semua. Mudah-mudahan, ia membawa kita lebih dekat kepada Allah dan menjadikan kita insan yang lebih baik daripada sebelumnya,” tambah Dr. Wan Azizah.

Dr. Wan Azizah menyantuni salah seorang penerima sumbangan Nur Ramadan.
Dengan kata-kata penuh makna, beliau mengajak hadirin menghayati keindahan Ramadan sebagai bulan untuk memperbaiki diri dan memperkukuh keimanan.
Katanya, perkataan yang paling indah adalah menyebut nama Allah, sementara lagu yang paling merdu ialah laungan azan dan al-Quran diibaratkan sebagai media terbaik yang membimbing kehidupan, manakala solat menjadi senaman yang menyihatkan jiwa dan raga.
Dr. Wan Azizah berpendapat, puasa adalah diet yang paling sempurna, wuduk menyegarkan tubuh dan hati, waima perjalanan yang paling indah bagi seorang Muslim ialah menunaikan haji.
Akhir sekali, beliau mengingatkan bahawa sebaik-baik renungan adalah memikirkan dosa yang lalu dan memohon taubat kepada Allah S.W.T.

Dr. Wan Azizah turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang bertungkus-lumus menjayakan program ini, khususnya DBKL, Jabatan Wilayah Persekutuan, MAIWP, Pengurusan Masjid Al-Muqarrabin, serta seluruh jawatankuasa dan urusetia yang terlibat.
Menutup ucapannya, beliau berharap agar bulan Ramadan yang suci ini membawa keberkatan, iman, dan takwa kepada semua yang hadir.
Majlis diakhiri dengan sesi tazkirah ringkas dan jamuan berbuka puasa, yang memperlihatkan semangat perpaduan serta penghayatan nilai-nilai Islam dalam kalangan masyarakat dan komuniti setempat. - KitaReporters
