.

Kawasan tanah yang dikenal pasti untuk dibuka pusat jagaan warga emas di Triang, Pahang.


KOLABORATIF terbaik akan dilaksanakan bersama Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), Semenyih, Selangor dalam usaha Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) cawangan Bera, Pahang, membuka pusat jagaan warga emas di daerah berkenaan dalam masa terdekat.

Malah setiap langkah serta tindakan bagi tujuan itu akan dilakukan dengan lebih cakna supaya usaha murni berkenaan yang turut mendapat perhatian dan sokongan bekas Perdana Menteri (PM) ke-9, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob berjaya direalisasikan.

Penaungnya, mantan Ahli Exco Negeri Pahang dan juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Guai, Bera, Dato’ Seri Norol Azali Sulaiman, berkata justeru itu, ahli Jawatankuasa Perkim akan dilantik sebagai ahli jawatankuasa pusat jagaan yang akan dibuka bagi memastikan kelancaran usaha berkenaan.


Azman Rasman berkongsi pengalaman dalam sesi perbincangan dan dialog dan mengenai pusat jagaan warga emas dengan ahli Jawatankuasa Perkim Cawangan Bera, Pahang sambil disaksikan oleh Mohiadin Bahado (kiri), Norol Azali Sulaiman (dua dari kiri) dan Juhari Abdul Kadir.


Menurutnya, kronologi usaha membuka pusat jagaan berkenaan membabitkan banyak peristiwa dan permasalahan yang timbul namun perkara itu berjaya diatasi malah menyuntik semangat kepada Ahli Jawatankuasa Perkim untuk menjadikan satu kejayaan serta kenyataan.

Tambahnya, lokasi untuk pusat jagaan berkenaan sudah dikenal pasti iaitu berdekatan pejabat Perkim sekarang membabitkan kawasan masjid lama Triang dengan keluasan dua ekar setengah yang akan dibersihkan daripada semak samun serta meratakan tanah.

“Saya akan mempraktikkan pengalaman selama menjadi Adun Guai bagi memastikan setiap urusan penubuhan pusat jagaan ini mengikuti prosedur ditetapkan pihak berkuasa negeri khusus daerah bagi mengelak timbul masalah kemudahan hari.

“Kami tidak menjadi masalah malah bukan halangan untuk hadir mesyuarat atau perjumpaan dengan pihak berkenaan berkaitan penubuhan pusat jagaan ini kerana ia adalah usaha murni demi kebaikan semua tanpa mengira bangsa, kaum dan agama sebagaimana dicanangkan Kerajaan Madani sekarang,” ujarnya.


Norol Azali (lima dari kiri) dan Ahli Jawatankuasa Perkim Cawangan Bera, Pahang (kanan), merakamkan kenangan bersama-sama pengurusan PJMM.


Norol Azali ditemui ketika bersama 17 Ahli Jawatankuasa Perkim berkenaan mengadakan sesi perbincangan serta dialog mengenai pelbagai perkara termasuk membabitkan kerja, prasarana, kelengkapan asas dan sebagainya untuk membuka pusat jagaan warga emas dengan pengurusan PJMM di dewan utama PJMM pada 11 Disember 2024. 

Turut hadir pada sesi itu, Pengerusi Perkim Cawangan Bera, Juhari Abdul Kadir; Pengerusi PJMM, Azman Rasman; Setiausaha PJMM, Muhammad Syafiq Mohiadin; Penasihat PJMM, Mohiadin Bahado; dan Pegawai Sosial Perubatan, Hospital Bera, Pahang, Azhar Ahmad.

Selepas mengadakan sesi itu, Norol Azali dan Ahli Jawatankuasa Perkim mengadakan lawatan sekitar PJMM termasuk menyantuni warga emas yang terlantar serta makan tengah hari bersama-sama sebelum bertolak ke Pusat Jagaan Nur Hasanah (PJNH), Beranang, Selangor untuk lawatan seterusnya.


Ahli Jawatankuasa Perkim Cawangan Bera, Pahang mendengar taklimat mengenai PJNH.


Sementara itu, Juhari berkata, idea daripada mantan PM berkenaan memberi dorongan yang tidak pernah pudar dalam kalangan Ahli Jawatankuasa Perkim memandangkan usaha itu amat baik dalam usaha mengatasi masalah warga emas yang ramai diabaikan ahli keluarga, hidup sebatang kara malah menjadi gelandangan di daerah itu. 

Jelasnya, sebagai sebahagian daripada masyarakat Perkim berasakan bertanggungjawab untuk memikul tugas membela nasib warga emas terbabit selain terkilan dengan sikap ahli keluarga khususnya anak yang tidak sanggup menjaga ibu bapa mereka.

Tambahnya, di samping itu, di daerah berkenaan belum terdapat pusat jagaan untuk warga emas meneruskan kelangsungan hidup selepas disisih oleh ahli keluarga termasuk mereka yang discaj dari hospital hilang tempat berlindung apabila tidak dipedulikan dan terpaksa hidup merempat.


Norol Azali bertanya sesuatu kepada Ahli Jawaatankuasa Perkim selepas menyantuni warga emas terlantar kerana keuzuran di PJMM.


Menurutnya, apabila di tempat di pusat jagaan itu nanti kita tidak akan menghalang saudara mara hatta anak sekali pun untuk datang ziarah ibu bapa mereka supaya warga emas tidak berasa tertekan atau sedih sepanjang hari. 

Juhari berkata, selepas sesi lawatan, perbincangan dan dialog dengan pengurusan PJMM serta PJNH dia bersama Ahli Jawatankuasa Perkim akan mengemas kini di samping menyiapkan kertas kerja untuk diusulkan kepada pelbagai pihak berkuasa agensi berkaitan.

“Kita akan melakukan sesuatu usaha yang terbaik malah cakna dalam semua perkara bersesuaian dengan saranan serta syor Kerajaan Madani supaya pelbagai lapisan masyarakat mengambil tanggungjawab bersama membela nasib rakyat,” ujarnya.


Norol Azali menyerahkan sumbangan kepada PJMM yang diterima oleh Azman.


Azman pula berkata, PJMM tiada sebarang masalah untuk berkongsi pengalaman, ilmu dan pengetahuan mengenai pengurusan pusat jagaan warga emas dengan sesiapa sahaja kerana ia adalah usaha murni yang tidak didendangkan oleh masyarakat. 

Menurutnya, kita membuat kerja Ikhlas membela nasib warga emas yang diabaikan ahli keluarga, hidup sebatang kara, uzur dengan menghidap pelbagai penyakit dan sebagainya, namun begitu ada pihak menyedari keadaan itu apabila membabitkan diri secara tidak langsung dengan menghulurkan sumbangan barangan keperluan asas serta kewangan.

Jelasnya, selepas beroperasi lebih lapan tahun, PJMM sudah membantu secara sukarela penubuhan pusat jagaan warga emasi di Jitra, Kedah: Pekan, Pahang: Batu Pahat, Johor dan di Taman Tasik, Semenyih, Selangor.

“PJMM juga membuka peluang kepada pelajar pusat pengajian tinggi, penyelidik, agensi kerajaan dan swasta untuk mengadakan program amal kebajikan kerana ia banyak membantu menghidup suasana kegembiraan dalam kalangan warga emas,” katanya. - KitaReporters


Norol Azali (duduk dua dari kanan) dan Ahli Jawatankuasa Perkim Cawangan Bera merakamkan kenangan bersama-sama warga emas.

13
19
0
16
0

Copy Link: