Suasana solat subuh pertama saf lelaki


Pada Sabtu, 12 Oktober 2024 baru-baru ini, Program Solat Subuh Macam Jumaat secara berjemaah telah diadakan di Surau Al-Khairiah Taman Universiti Wallagonia, Tapah, Perak. 

Program ini merupakan hasil kerjasama julung-julung kali antara Surau Al-Khairiah Taman Universiti Wallagonia, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Tapah. Program ini bertujuan untuk memperkukuh hubungan antara institusi pendidikan dan masyarakat setempat. 

Program ini telah mencatatkan kejayaan luar biasa dengan kehadiran lebih 1,168 orang jemaah. 

Solat subuh telah didirikan sebanyak dua kali bagi menampung kehadiran jemaah yang luar biasa. Solat subuh kedua didirikan untuk memberi peluang kepada lebih ramai jemaah. 

Program ini jelas menggalakkan untuk masyarakat menunaikan solat berjemaah dan memperkukuh ukhwah antara penduduk setempat juga bersama-sama pelajar-pelajar UiTM Kampus Tapah dengan penuh semangat kebersamaan dan keikhlasan dalam beribadah.


Solat subuh saf wanita


Seawal 5:30 pagi, Muhammad Adam Izzudin Hairul Azmi, Pengerusi Presiden Jawatankuasa Perwakilan Pelajar Non Resident menyusun pergerakan pelajar-pelajar UiTM untuk bersama-sama para jemaah berkumpul di Surau Al-Khairiah demi menunjukkan semangat yang tinggi untuk menyemarakkan program ini. 

Program Subuh Macam Jumaat dan Riadah Subuh ini dimulakan dengan solat subuh berjemah serta doa selepas solat subuh dan Tausiah Subuh yang disampaikan oleh Ustaz Mohd Shukor Abdillah Razali, Pegawai Penyelaras Masjid Dan Surau Daerah Tapah yang menekankan kepentingan solat subuh, rezeki dan kelebihannya dalam kehidupan seharian.


Gambar dari udara kemeriahan Program Subuh Macam Jumaat & Riadah Subuh di Surau Al-Khairiah Taman Universiti Wallagonia, Tapah.


Selepas tausiah, aktiviti “Refresh Santai” dengan menikmati minuman kopi panas tajaan Richiamo Coffee menambahkan lagi keeratan persaudaraan antara jemaah dan memberikan ruang berinteraksi selepas majlis. 

Sebelum itu, Pengerusi Surau juga sebagai Penyelaras program surau, Saadullah Mas’od, turut menyampaikan ucapan terima kasih kepada semua yang hadir dan mengajak lebih ramai penduduk untuk menyertai program-program seperti ini pada masa akan datang. 

Program ini bukan sahaja berjaya dari segi penyertaan, tetapi juga mencipta suasana penuh keberkatan dan keikhlasan. Diharapkan aktiviti seperti ini akan terus dianjurkan bagi menguatkan lagi ikatan dalam masyarakat.

Penghargaan yang tinggi dirakamkan kepada penyelaras program bagi pihak UiTM iaitu Syed Shadali Syed Abdullah, Penolong Kanan Pengurusan Kolej UiTM Kampus Tapah yang menyokong program ini, menjadikannya lebih bermakna dan berjaya. 

Syed Shadali juga menyatakan, program ini tidak menjangka mendapat sambutan yang luar biasa. 

Sedari awal jam 5.00 pagi pelajar-pelajar terbabit bersiap untuk menaiki bas ke lokasi Surau Al-Khariah Taman Unversiti Wallagonia.



Kehadiran yang mengagumkan menyaksikan lebih 1,100 peserta jemaah memenuhi dataran dan arena Surau Al-Khairiah.


Program ini telah dihadiri Salwana Muldan, Penolong Pendaftar Kanan UiTM Kampus Tapah; Lokman Hakim Hamid, Penolong pendaftar Pengurusan Kolej UiTM Kampus Tapah; Ustaz Rozaini Ibrahim, Pegawai Tadbir Agama Islam Daerah Tapah; Ustaz Shukor Abdillah Razali, Pegawai Penyelaras Masjid dan Surau Daerah Tapah; Aziz Ahmad Ibrahim, Ketua Polis Balai, Balai Tapah Road; Safri Mohamed Salleh, Pengerusi Masjid Jamek Tapah Road; dan Md Ali Bahaudin, Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Pembangunan Kampung Batu 3 dan 4 Tapah Road; serta pelbagai kepimpinan masyarakat setempat.

Seusai “Refresh Santai”, program diteruskan dengan sesi senamrobik yang bertujuan untuk meningkatkan kesihatan dan kecergasan semua peserta Program Subuh Macam Jumaat dan Riadah Subuh. 

Senamrobik ini dipimpin oleh 2 pelajar UiTM iaitu Nurul Najwa Hudzaimi dan Anis Najwa Nor Hisham dengan mendapat sambutan hangat dari semua yang hadir. Aktiviti ini bukan sahaja menyihatkan tubuh, tetapi juga mengeratkan silaturahim dalam kalangan peserta. 

Setelah itu, para peserta dijemput untuk menyertai aktiviti “Fun Walk” sejauh 5km yang bertemakan Sarong Melayu Klasik. 

Aktiviti ini bukan sahaja mengalakkan gaya hidup aktif, tetapi juga mempromosikan budaya dan warisan Melayu. Peserta digalakkan mengenakan kain sarong atau kain pelikat dengan pelbagai corak dan warna, menambah suasana ceria dan meriah pada acara tersebut.


Gambar Team Pelaksana Program Subuh Macam Jumaat dan Riadah Subuh 1.0 di Surau Al-Khairiah Taman Universiti Wallagonia dan Team UiTM Kampus Tapah.


Sebelum mengakhiri acara Program Subuh Macam Jumaat dan Riadah Subuh ini, para peserta berpeluang menyertai cabutan bertuah yang menawarkan pelbagai hadiah menarik. 

Hadiah yang disediakan termasuk Tablet Samsung, Smart watch, power bank, madle baju sukan dan hadiah-hadiah lain. 

Cabutan bertuah ini bertujuan untuk memeriahkan suasana dan memberikan penghargaan kepada peserta yang hadir. Semua peserta/jemaah yang menyertai program ini layak untuk mengambil bahagian dalam cabutan tersebut.

Pihak pengurusan dan jawatankuasa Surau Al-Khairiah Taman Universiti Wallagonia amat-amat menghargai sokongan semua pihak yang menjayakan program ini. - KitaReporters

24
11
0
11
0

Copy Link: