Bubur Lambuk Dr Tajul Surau Al-Ukhuwah! Legasi yang dirindui, dipertahan setiap kali Ramadan tiba!
Published byJIKA penduduk Kampung Baru Kuala Lumpur berbangga dengan bubur lambuk yang sinonim dengan penempatan Melayu di ibu kota itu, bubur lambuk yang dihasilkan jemaah Surau Al-Ukhuwah, Seksyen 8, Bandar Baru Bangi tidak kurang hebatnya malah ia menjadi sebutan ramai kerana keistimewaan rasa dan aroma yang harum semerbak, lain dari yang lain.
Lebih istimewa, ia sentiasa ditunggu-tunggu setiap kali kehadiran Ramadan. Justeru, bagi mengubat kerinduan orang ramai, Surau Al-Ukhwah menganjurkan program bubur lambuk sempena Iftar Perdana dan sambutan Nuzul al-Quran 1445H pada 28 Mac 2024lalu.Penyelaras Program Bubur Lambuk Surau Al-Ukhuwah, Mat Ayob Wahab beerkata resipi adunan rempah ratus yang sudah digunakan sejak sekian lama, ditambah emanisan udang, sotong dan daging segar menjadikan bubur lambuk itu sebutan ramai bukan sahaja di Seksyen 8 tapi sekitar Bandar Baru Bangi, Selangor.Sebahagian sukarelawan terdiri daripada jemaah Surau Al-Ukhuwah, Seksyen 8, Bandar Baru Bangi yang mengambil bahagian dalam program memasak bubur lambuk.
Beliau berkata, bubur lambuk itu menggunakan pelbagai bahan antaranya daging segar, udang, sayur-sayuran, santan, lada sulah dan minyak sapi yang menaikkan aroma semerbak harum selain melalui proses memasak yang agak lama.
“Saya sediakan perencah utama dengan bahan-bahannya mengikut sukatan manakala jemaah surau yang menjadi sukarelawan membantu memasukkan bahan yang disediakan ke dalam periuk. Untuk mengekalkan cita rasa agar sedap dan berlemak, ramuan dan kebersihan adalah kunci utama.
“Jika memasak satu kawah, sukatan air mengikut saiz kawah dengan bahan-bahan yang siap diadun dan paling mencabar adalah untuk memastikan rasa lemak masin mesti seimbang. Jadi, kita kena tahu bagaimana untuk menyeimbangkan rasa itu agar tidak terlalu masin atau tawar."Walaupun sudah dimasak sejak 12 tahun lalu, menariknya, bubur lambuk yang dinikmati ahli kariah surau Al-Ukhuwah itu masih mengekalkan rasa yang sama seperti dahulu. Tentu ada yang bertanya apa rahsianya?" katanya yang juga Ahli Jawatankuasa (AJK) surau itu dan antara penduduk awal yang tinggal di kawasan kariah berkenaan.Mat Ayob Wahab.
Menurutnya, sejarah Bubur Lambuk Surau Al-Ukhuwah bermula 12 tahun lalu oleh pengasasnya, Prof Madya Dr Tajul Anuar Jamaluddin yang pernah menjadi penaung bersama ketika surau Al-Ukhwah dalam pembinaan kira-kira 12 tahun lalu. Beliau juga adalah pakar berkaitan geologi dan mantan Penyelaras Program Bencana Geologi, SEADPRI-UKM.
Mat Ayob berkata, legasi yang ditinggalkan Dr Tajul masih diteruskan AJK dan jemaah surau Al-Ukhuwah walaupun beliau (Dr Tajul) meninggal dunia lima tahun lalu.Setiap tahun katanya, terutama ketika Ramadan pasti ramai jemaah dan penduduk sekitar yang bertanya sama ada surau Al-Ukhuwah akan memasak bubur lambuk resepi Dr Tajul itu.Aktiviti merewang di kalangan sukarelawan Surau Al-Ukhuwah bagi menyiapkan bahan mentah untuk memasak bubur lambuk.
"Lebih tersentuh apabila ramai jemaah dan penduduk sekitar Bandar Baru Bangi malah dari Putrajaya menganggap hidangan itu istimewa dan mereka memanggilnya "Bubur Lambuk Dr Tajul", mungkin sebagai penghargaan atas usaha yang dilakukan bagi memperkenal makanan itu menggunakan resipi sendiri.
"Ketika bersama arwah dulu, saya menjadi pembantunya dengan menyiapkan semua keperluan untuk dimasak mengikut arahan yang diberikan dan kami dibantu oleh sukarelawan yang terdiri daripada jemaah surau dan memasak setiap minggu kerana permintaan dalam kalangan penduduk sentiasa ada. "Jadi, selepas arwah Dr Tajul meninggal dunia, saya bersama jemaah lain masih bersemangat meneruskan legasinya malah inilah masanya kami dapat berkumpul memasak bubur lambuk beramai-ramai walaupun dalam keadaan berpuasa tetapi masih ceria dan bertenaga," katanya.Mantan Pengerusi Surau Al-Ukhuwah, Kamarulbahrin Hashim (kanan) bersama seorang jemaah, Razif Rahim turut turun padang membantu mengacau bubur lambuk.
Katanya, seawal jam 9 pagi, mereka mula menyediakan bahan-bahan masakan sehingga ke proses memasak, siang udang, sotong, daging, mengupas bawang, mencuci beras, mengisi dalam bekas sebelum mengagihkan kepada jemaah surau, orang ramai yang datang berbuka puasa selain pengguna kenderaan yang lalu lalang di hadapan surau itu.
"Kami melakukan kerja-kerja memasak bubur lambuk ini secara gotong royong untuk mengekalkan semangat rewang yang menjadi amalan orang Melayu terutama di kampung dan kini hampir dilupakan terutama dalam kalangan generasi muda."Alhamdulillah, selain kos yang dikeluarkan oleh surau, kami juga mendapat sumbangan atau tajaan bekalan daging, udang dan sotong daripada jemaah yang dermawan menyebabkan kos keseluruhan kira-kira RM1,100 dapat dijimatkan dan penduduk dapat makan bubur lambuk sepuas hati," katanya.Seorang jemaah surau membuat persiapan terakhir mengisi bubur lambuk dalam bekas sebelum diagih-agihkan kepada jemaah dan mereka yang hadir untuk membuka puasa.
Inilah Bubur Lambuk Dr Tajul yang menjadi sebutan penduduk Seksyen 8 dan sekitar Bandar Baru Bangi, Selangor.
Ditanya keistimewaan Bubur Lambuk Dr Tajul, katanya ia menggunakan pelbagai jenis rencah yang diadun sendiri mengikut pengalaman arwah ketika memasak bubur lambuk di beberapa tempat selain menggunakan udang dan sotong segar berbanding tempat lain hanya menggunakan daging.
"Siapa yang pernah menikmati Bubur Lambuk Dr Tajul ini, mereka tahu ia datang dari surau Al-Ukhwah. Alhamdulillah, seperiuk 10 kilogram beras dapat menghasilkan kira-kira 350 pek untuk diagih-agihkan sempena Iftar Perdana dan Majlis Nuzul al-Quran."Saya berharap program bubur lambuk di Surau Al-Ukhwah ini akan diteruskan sampai bila-bila, biar menjadi warisan yang dipertahan jemaah di sini."Saya juga berharap ada generasi muda berminat mempelajari bagaimana memasaknya malah saya sedia memberi ilmu yang diperolehi daripada Dr Tajul," katanya.
Che Akhma Ismail
Sementara itu, Pengerusi Surau Al-Ukhuwah, Bandar Baru Bangi, Selangor, Che Akhma Ismail, berkata program bubur lambuk diadakan bagi memupuk silaturahim dalam kalangan jemaah, penduduk dan anak kariah Surau Al-Ukhwah. meliputi Seri Wirani, Fasa 1, 2 dan 3 yang dianggarkan berjumlah 400 orang.
Beliau berkata, ia kebetulan pula dengan sambutan Nuzul al-Quran, jadi ia dicantumkan sekali bagi mengangkat keagungan kitab suci itu sebagai contoh dalam pembentukan masyarakat prihatin selain surau sebagai pengikat semangat ukhwah penduduk sekitar."Aktiviti bermula sejak jam 9 pagi dengan program memasak bubur lambuk dan ia adalah tradisi surau ini sejak penubuhan surau 12 tahun lalu. Di sebelah petang selepas solat asar, kami menjemput penceramah jemputan, Ustaz Muhammad Naim Sadoon yang mengupas tajuk bagaimana al-Quran dapat membentuk sikap prihatin dalam masyarakat."Selepas itu, kita akan mengagih-agihkan bubur lambuk kepada orang ramai terutama dalam kalangan jemaah, mereka yang hadir sempena berbuka puasa dan pengguna kenderaan yang lalu lalang di hadapan surau ini," katanya.
Che Akhma berpuas hati dengan sambutan Iftar Perdana @ Nuzul al-Quran 1445H dan berharap penduduk mengimarahkan surau itu setiap kali waktu solat fardu, bukan hanya pada hari-hari tertentu saja.
Yang penting, beliau mahukan lebih ramai anak muda melakukan aktiviti di sini kerana mereka adalah pelapis dan harapan surau itu untuk terus meriah dengan pelbagai aktiviti ibadah. - KitaReporters
Ustaz Muhammad Naim Sadoon
Sebahagian dari jemaah muslimat yang hadir mendengar ceramah agama sempena Iftar Perdana @ Nuzul al-Quran 1445H