Bermesra dengan jiran

PERSEPSI masyarakat terhadap kejiranan di bandar biasanya agak negatif kerana masyarakat bandar lazimnya terlalu sibuk untuk menyertai apa juga aktiviti yang dianjurkan di kejiranan mereka

Namun bagi penduduk bandar raya Shah Alam di Taman Perumahan Platinum Seksyen 7, mereka membuktikan bahawa dalam kesibukan menjalankan kegiatan harian, mereka masih boleh mengeratkan jalinan ukhuwah dengan jiran-jiran

Mereka menziarahi rakan-rakan yang sakit, yang meninggal dunia, majlis hari raya, pertemuan sahabat wanita dan bergotong royong membershkan persekitaran taman perumahan.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan kejiranan dan jiran


Bersesuaian dengan tema hari Kemerdekaan tahun 2022 ini iaitu "Keluarga Malaysia Teguh Bersama", Persatuan Kejiranan Wanita Platinum membuat aktiviti "Sembang Santai Sarapan Pagi" di salah sebuah rumah penduduk di situ. 

Seramai lebih kurang 30 penduduk wanita menghadiri majlis santai yang bertujuan mengeratkan ukhuwah sesama mereka selain, mengenali jiran yang masih belum mereka kenal rapat

Majlis ini sangat istimewa kerana setiap seorang membawa juadah makan yang dimasak dari rumah masing-masing untuk dinikmati bersama jiran-jiran yang hadir. Resepi air tangan mereka menambah kemesraan setiap yang hadir. 


Sarimah Esa

Menurut Pengerusi wanita Persatuan itu, Sarimah Esa, Taman Perumahan Platinum ini sudah didiami penduduk sejak 17  tahun lalu. 

Perjumpaan kecil-kecilan yang diadakan sebulan sekali ini dapat merapatkan hubungan ukhuwah jiran-jiran di kediaman berkenaan. 

Kehidupan di bandar yang sibuk tidak menghalang mereka mengenali satu sama lain dan menjalankan aktiviti bersama bagi mengenali lebih dekat jiran jiran dan ahli keluarga mereka.


Sakinah Ishak

Sementara itu Sakinah Ishak seorang bekas guru berpendapat, mengenali jiran-jiran memperluaskan jaringan persahabatan dan dapat mempelajari banyak perkara daripada jiran-jiran yang mempunyai bakat tertentu seperti memasak, menjahit, berkebun, menghias rumah, membuat kek dan macam-macam lagi. 

Ia umpama kegiatan dua dalam satu di mana di samping mengenali jiran tetangga, kita juga dapat ilmu dan kemahiran yang dikongsi bersama. 


Noriah Ibrahim


Bagi  Noriah Ibrahim yang telah menetap di kejiranan Platinum Seksyen 7 sejak 17 tahun lalu, pula berpendapat daripada 100 peratus jiran di kawasan ini 80 peratus aktif menyertai aktiviti kejiranan dan mesra dengan jiran-jiran. 

Selebihnya agak pasif mungkin kerana komitmen kerja dan tanggungjawab keluarga yang terlalu membebankan . 

Bagaimanapun persatuan kejiranan Platinum akan sentiasa memberi dorongan dan sokongan kepada mereka untuk menyertai apa juga aktiviti kejiranan jika mereka ada kelapangan masa.


Junaidah Tahir


Junaidah Tahir pula mmberitahu, aktiviti kejiranan walaupun tidak kerap diadakan kerana kesibukan namun mereka dapat mengenali satu sama lain dengan lebih mesra melalui talian WhatsApp. 

Kecanggihan teknologi menjadi pemangkin kepada keakraban wanita Platinum yang sering berinteraksi dalam group media sosial itu. Sesekali mereka ada juga membuat rombongan ke tempat-tempat yang banyak manafaat pada kaum Wanita. 

"Paling seronok dalam WhatsApp group kami boleh berbincang mengenai resepi masakan, fesyen baju, tip kehidupan, doa-doa dan zikir harian, maklumat terkini serta ilmu-ilmu baharu yang dikongsi ahli group WhatsApp Wanita Platinum," katanya lagi. 


Juadah makanan untuk perjumpaan

Taman perumahan Platinum di Seksyen 7 Shah Alam ini telah diduduki penduduk sejak 17 tahun yang lalu. Kawasan ini sangat tenang dan tidak terlalu sibuk jika dibandingkan dengan kawasan perumahan yang lain di sekitar Seksyen 7. 

Kegiatan kejiranan banyak tertumpu kepada aktiviti mengeratkan persaudaraan sesama penduduk, majlis keagamaan kerana Surau Mawaddah berada di kawasan perumahan berkenaan. 

Penduduk di sini 95 peratus adalah berbangsa Melayu dan beragama Islam, maka tidak hairan banyak aktiviti sering juga diadakan di surau seperti majlis Maulidur Rasul, majlis korban, aktiviti riadah penduduk setempat dan pelbagai lagi. 

Justeru tinggal di bandar bukan alasan kita tidak mengenali jiran atau tidak ambil tahu mengenai jiran. 

Ibarat kata pepatah, "di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung". Walaupun penduduk Taman Perumahan Platinum terdiri daripada mereka yang datang dari pelbagai daerah dan negeri di Malaysia, namun mereka tetap bersatu dalam menjalinkan ukhuwah di kawasan perumahan yang menjadi tempat tinggal dan tempat mencari rezeki mereka. - KitaReporters


Bergambar dengan jiran sambil berkenalan

22
7
0
19
0

Copy Link: