KEPRIHATINAN terhadap kebajikan warganya, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim, Perak, akan membantu sepenuhnya keluarga alumninya, arwah Nur Farah Kartini Abdullah, 25, dalam semua urusan dengan universiti itu. 

Naib Canselor, Prof Datuk Dr Md Amin Taff yang meluangkan masa bertemu ibu dan abang-abang mangsa, berkata UPSI menyediakan penginapan di Rumah Tamu, Kampus Sultan Azlan Shah keluarganya bermalam, malah selepas ini bagi memudahkan ahli keluarga menjalankan urusan ekoran kematian Nur Farah Kartini. 

“Selain itu, UPSI turut menyediakan van jenazah di bawah Pusat Islam untuk melancarkan proses pengkebumian jenazah,” ujarnya.

Prof Md Amin berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan wang tunai kepada keluarga mangsa di Scholar’s Suites, Kampus Sultan Azlan Shah, Proton City pada 17 Julai 2024.  

Beliau bersama pengurusan tertinggi yang bersimpati dengan keluarga mangsa berharap mereka tabah dan sabar menghadapi ujian kehilangan menyayat hati tanpa dijangka itu. 


Allahyarhamah Nur Farah Kartini Abdullah antara pelajar cemerlang ketika belajar di UPSI.


Memetik laporan media, pada Isnin 15 Julai 2024 lalu, mayat Nur Farah Kartini alumini UPSI yang berasal dari Miri, Sarawak ditemukan di kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Sri Klebang, Hulu Selangor, kira-kira jam enam petang.

Mangsa yang dilaporkan hilang sejak 10 Julai 2024 itu selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggan.

Jenazah arwah Nur Farah Kartini telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Nyiur Manis, Pekan, Pahang pada petang 18 Julai 2024.

Jelasnya, sebagai universiti yang sentiasa sayang dan prihatin terhadap alumninya, UPSI akan membantu meringankan urusan keluarga arwah melalui bantuan kenderaan sepanjang keluarga berada di Semenanjung, bantuan penginapan di Rumah Tamu UPSI, bantuan proses pengebumian, khidmat sokongan kaunseling dan psikologi, derma serta sokongan sumbangan kewangan dan lain-lain bantuan yang diperlukan dalam meringankan urusan keluarga.

“Seluruh warga UPSI, malah rakyat negara Malaysia sangat bersedih dan berduka cita dengan nasib yang menimpa arwah Nur Farah Kartini iaitu seorang pelajar yang cemerlang serta aktif membantu UPSI dalam pelbagai program pelajar,” ujarnya. 

Beliau berkata, selain urusan makan minum sepanjang keluarga berada di UPSI, Fakulti Komputeran dan Meta-Teknologi akan membantu membawa pulang barang-barang milik arwah supaya mempermudah urusan.

Tambahnya, UPSI menerusi Fakulti Pembangunan Manusia juga akan menyediakan khidmat psikologi untuk keluarga arwah.


Prof Md Amin Md Taff menyampaikan sumbangan kepada ibu Allahyarhamah Nur Farah Kartini di Scholar’s Suites, Kampus Sultan Azlan Shah, pada 17 Julai 2024.


Sementara itu, bersimpati dengan keluarga mangsa yang datang dari Miri, Sarawak, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UPSI turut menggerakkan kutipan sumbangan dan diserahkan kepada ibu Nur Farah Kartini.

Yang Dipertuanya, Amirul Haiqal Amirrudin Baki, berkata arwah seorang yang sangat baik, mesra dan jasanya akan dikenang oleh semua mahasiswa.

“Sehubungan itu, sebagai tanda prihatin, MPP mengambil inisiatif mengumpul sumbangan ini untuk disampaikan kepada keluarga Almarhum,” katanya.

Sebaik sahaja keluarga arwah Nur Farah Kartini bergerak ke Balai Polis Kuala Kubu Baru untuk urusan berikutnya, Prof Md Amin bersama warga UPSI  mengadakan bacaan Yasin dan tahlil atas inisiatif Kolej Awang Had Salleh dan Pusat Islam di Masjid Ar-Rasyidin, Kampus  Sultan Azlan Shah yang dikendalikan oleh Pembantu Hal Ehwal Islam, Mohd Ali Abdul Malek.

Selesai majlis berkenaan, Prof Md Amin dalam ucapan ringkasnya, berkata UPSI sentiasa menjaga hubungan ukhuwah kekeluargaan dengan prihatin terhadap kebajikan kakitangan dan pelajar. - KitaReporters


10
15
0
17
0

Copy Link: