Anak muda zaman sekarang sangat kurang menceburi dunia perternakan haiwan kerana ia tidak gah atau perniagaan yang dianggap berbau busuk dan kotor. Perniagaan ini tidak menjadi pilihan kerana ramai inginkan keuntungan yang cepat sedangkan dunia penternakan perlu kesabaran tinggi.

Namun bagi pelajar Bacelor (Ijazah Sarjana Muda) Sains Pengurusan Perkhidmatan Makanan, Fakulti Sains dan Teknologi Makanan Universiti Putra Malaysia (UPM), dunia penternakan dan pertanian mempunyai masa depan yang sangat cerah buatnya, tetapi golongan muda ramai yang tak mahu mencuba bidang ini. 


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan penternak dan penternakan


Muhammad Amirul Haris Asral telah menceburi dunia penternakan lembu pedaging seawal usianya 12 tahun yang dididik oleh ayahnya sendiri seorang pengembala lembu.

Anak sulung daripada dua beradik ini sejak umur 12 tahun telah diajar oleh bapanya cara memotong daging lembu pada usia yang sangat muda walaupun kanak-kanak lain sibuk bermain dengan kawan-kawan.

Jelasnya, kerana minat yang mendalam dalam bidang pertanian, beliau memilih UPM sebagai sebuah platform yang digunakan sebaik mungkin bagi memajukan perniagaan dalam penjualan daging segar yang kini beliau usahakan bersama adik lelakinya.

Amirul berkata, mereka mempunyai lebih daripada 300 ekor lembu, kerbau dan kambing di dua ladang penternakan yang terletak di Jasin, Melaka dan Bangi, Selangor dengan keluasan ladang berjumlah 32 ekar.




“Kami berniaga daging setiap hari di Dato' Abu Bakar Baginda, Bangi kerana permintaan daging segar amat tinggi. Sebelum ini, ayah hanya fokuskan kepada penjualan lembu sahaja. Namun, saya yang mengusahakan agar daging ini dijual sendiri setiap hari. 

“Setiap hari, saya berjaya menjual seekor hingga 3 ekor lembu. Ramai orang yang mencari daging segar. Jika lambat, pada waktu tengah hari daging saya habis dijual.

“Lagi-lagi bila nak raya, ramai orang sudah menempah awal daging lembu. Setiap hari seorang pelanggan akan beli lebih daripada 3kg daging,” katanya.

Tambahnya, walaupun kos yang diambil sekarang dikatakan tiada kaitan dengan perniagaan yang diusahakan, namun kos pengurusan makanan banyak membantu penjualan dagingnya.

“Kos pengurusan makanan sangat berkait rapat dengan bahan mentah iaitu daging yang diusahakan. Dalam kos yang diambil, terdapat kos pemprosesan makanan yang mengajar saya bagaimana untuk melakukan packaging (pembungkusan) daging tersebut secara komersial dan cara mengawet daging agar tahan lama," tambahnya.



Muhammad Amirul Haris  yang merupakan bekas pelajar diploma dalam bidang pertanian di UPM juga telah menggunakan model menyediakan makanan lembu menggunakan rumput jeruk dan jagung yang ditanam sendiri.

“Selain itu, saya juga mempunyai perniagaan yang diusahakan sendiri iaitu tanaman tebu dan pisang dengan memperoleh pendapatan sebulan RM8,000 ke RM10,000. Namun pada bulan puasa dan raya ini, pendapatan lebih sedikit daripada hari-hari biasa," katanya lagi.

Menurutnya, daging adalah satu sumber makanan utama yang mampu bertahan dalam pasaran kekal walaupun bencana alam berlaku kerana semua orang perlu makan. 

“Bukan mudah untuk untuk jadi senang, setiap perkara yang dilakukan perlukan usaha yang gigih bagi mencapai sesuatu dalam kehidupan. Usia muda bukan satu penghalang untuk mengecapinya.

“Di Malaysia, tidak ramai orang yang mahu berniaga dalam bidang ternakan. Jika anda diberi peluang ambillah dan Insya-Allah akan memberi hasil yang sangat lumayan jika anda bersabar," tegas beliau. - KitaReporters


13
19
0
11
0

Copy Link: