KEANEHAN dan kepelbagaian ragam hidup manusia adakalanya membuat kita hairan serta terfikir kenapa ia terjadi sedemikian. Mungkinkah keadaan ini juga sudah suratan takdir bagi individu berkenaan atau disengajakan. Ini semua bergantung kepada mereka yang terlibat. : KitaReporters

Beginilah keadaan rumah Atuk Sidek yang uzur dan usang. Malahan ada tempat-tempat tertentu sudah dimakan anai-anai. - Kredit Foto: LZS Daerah Sepang, Selangor.

Lagi kisah-kisah berkaitan Lembaga Zakat Selangor:

https://kitareporters.com/search?search=LZS


Suasana seperti ini turut meyelubungi kehidupan seorang warga emas di sebuah perkampungan tradisonal di Salak Tinggi, Sepang, Selangor yang sanggup mendiami sebuah rumah usang miliknya, sekalipun ada pihak yang ingin membantu membaik pulih seperti premis kediaman milik penduduk lain di kampung itu. 

Bagaimanapun, beliau yang lebih mesra dan sinonim dengan panggilan Atuk Sidek menolak pelawaan tersebut dengan memberikan alasan suasana dan keadaan barangan yang ada di rumah itu memberi kenangan indah buatnya bersama keluarga suatu ketika dahulu. 


Salah seorang pegawai Lembaga Zakat Selangor Daerah Sepang bertanyakan sesuatu kepada Atuk Sidek semasa ziarah prihatin di rumahnya di Kampung Salak Tinggi, Sepang pada 21 November 2020. Keadaan sebahagian dinding rumahnya juga sudah mulai jatuh.
Baginya, suasana sekitaran dalaman rumah dan barangan yang ada memberi kenangan terindah serta tidak mudah dilupakan terutama semasa bersama keluarga dan isteri tidak lama dahulu.
Kerana sayangkan rumah dengan keluasan 23.22 meter persegi yang dijadikan sebagai tempat kediaman, tempat tidur dan melaksanakan ibadah solat, beliau kini berusia 85 tahun sanggup memberikan alasan sedemikian sekalipun terpaksa mengunakan zing terpakai menutup mana-mana dinding yang rosak dan berlubang.
Rumah usang yang sudah hampir 70 tahun itu kini mula dimakan anai-anai, pada bahagian tertentu keadaan gelegarnya melengkung dan melandai serta dinding berlubang di sana sini. Keadaan struktur rumah yang uzur itu agak sedih dan menyayat hati sesiapa sahaja memandangnya. 

Atuk Sidek dalam usia 85 tahun masih sihat sekalipun kudrat tenaganya semakin berkurangan akhir-akhir ini.

Atuk Sidek yang tinggal seorang diri di rumah itu sebelum ini menyara hidupnya dengan bekerja sendiri mengumpul barangan terpakai. Beliau juga pernah berkahwin kira-kira 51 tahun yang lalu, tetapi bercerai pada 1973 tanpa dikurniakan cahaya mata.

Beliau yang sentiasa tersenyum reda berteduh hidup di rumah usangnya yang kecil. Bagaimanapun sejak akhir-akhir ini kekuatan tenaganya sudah merosot tidak segagah seperti dahulu.

Disebabkan terlalu sayangkan rumah kediamannya itu, dia sanggup membaiki dan menampal setiap kerosakan dengan barangan terpakai dimiliki sekadar tenaga yang termampu. 

Warga emas ini yang sentiasa tersenyum bersama salah seorang pegawai Lembaga Zakat Selangor Daerah Sepang berbincang mengenai cadangan usaha membaikpulih rumahnya yang usang dan uzur.
Pihak Lembaga Zakat Selangor (LZS) pernah mencadangkan untuk membantu baik pulih rumah tersebut, namun beliau menolak kerana ingin mengekalkan suasana rumah sedia ada yang dirasakan lebih selesa dan nostalgia buatnya. 

Bagaimana pun pada Sabtu 21 November 2020, semasa ziarah prihatin LZS ke rumah Atuk Sidek di kampung itu, akhirnya beliau bersetuju menerima cadangan membaik pulih rumah berkenaan setelah kali ketiga usaha memujuknya atas alasan keselamatan dan keselesaan dirinya.

Semoga melalui inisiatif LZS ini dapat membantu dirinya menjalani kehidupan lebih baik dan selesa seperti penduduk lain di kampung berkenaan. 

Buat masa ini beliau menyara kehidupan harian melalui bantuan kewangan bulanan sumbangan LZS dan didoakan sentiasa sihat dan mampu berdikari dalam menjalani kehidupan hariannya. - KitaReporters


1
0
1
0
0

Copy Link: