Ahli Jawatankuasa KRT Jalan Kenanga,Dungun, bergerak dari rumah ke rumah agih barangan keperluan kepada komuniti Islam


RAMADAN yang bakal berakhir dan sampai ke penghujungnya memberi banyak peluang kepada pelbagai pertubuhan, pemimpin,individu dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) tampil menyampaikan sumbangan dan bantuan kepada golongan yang memerlukannya terutama ketika menghadapi pandemik COVID-19.

Menariknya, ada juga NGO bukan Islam yang turut merebut keberkatan bulan bulan Ramadan untuk berkongsi kebaikan dengan menganjurkan program kebajikan dengan mendekati rakan-rakan Islam.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan orang Cina/Tionghoa

Lim Dau Kiat menyerahkan sumbangan kepada seorang penduduk


Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Jalan Kenanga, Dungun, Terengganu, menjadi contoh terbaik bukan sahaja di Terengganu malah di negara ini apabila ahli jawatankuasanya yang terdiri daripada kaum Tionghoa turut mendekati komuniti Islam untuk program agihan barangan keperluan sempena Ramadan tahun 2021 ini.

Dua program berasingan iaitu Bersamamu Dalam Terjah Sahur dan KRT Tionghoa Santuni Komuniti Jelajah Prihatin, sudah cukup untuk menggambarkan aktiviti yang dilakukan itu sesuatu yang menarik dan mendapat pujian masyarakat setempat. 


Lim Dau Kiat bersama ahli jawatankuasa menyampaikan sumbangan Ramadan kepada seorang penduduk


Pengerusi KRT Jalan Kenanga, Lim Dau Kiat berkata, menerusi program pertama pada 1 Mei 2021, pihaknya mengambil inisiatif dan pendekatan dengan menyalurkan sumbangan bersempena bulan Ramadan dan sambutan Aidilfitri serta Hari Ibu

Katanya, menerusi program pertama itu KRT terbabit memilih sebanyak 50 buah rumah layak untuk mengagihkan barangan dapur, kurma dan hamper


Lim  Dau Kiat


Menurutnya, program tersebut dengan sasaran kali ini kepada golongan kurang berkemampuan dan warga emas sekitar Jalan Kenanga dan berhampiran.

“Semua ahli Jawatankuasa berjalan dari rumah ke rumah untuk mempastikan agihan itu sampai kepada pihak yang memerlukannya,” katanya.


Mohd Farid Omar (kanan) bersama Lim Dau Kiat memantau ahli jawatankuasa KRT Tionghoa menyiapkan pek bungkusan sebelum diedarkan kepada penduduk setempat.


Beliau berkata, program kedua ialah Tejah Sahur yang diadakan pada 8 Mei 2021 dengan tujuan menyampaikan sumbangan juadah sahur kepada petugas barisan hadapan yang sedang menjalankan tugas di premis masing-masing.

Antara yang diberi tumpuan ialah Hospital Daerah Dungun, sekolah, bank dan kedai serbaneka yang masing-masing mempunyai petugas pada waktu malam.

“Sebanyak 60 bungkus nasi lemak berjaya diagihkan kepada semua petugas membabitkan premis tersebut untuk mereka bersahur,” katanya. 


Ahli Jawatankuasa KRT Jalan Kenanga ketika jelajah singgah sahur di Hospital Daerah Dungun untuk agihan juadah bersahur.


Penolong Pegawai Perpaduan Daerah Dungun, Mohd Farid Omar, yang turut hadir pada kedua-dua program tersebut  menyifatkan usaha dan inisiatif yang ditunjukkan oleh KRT berkenaan haruslah mendapat pujian kerana biarpun kesemuanya ahli Jawatankuasanya adalah daripada kaum Cina tetapi itu bukan merupakan satu halangan pada mereka untuk melaksanakan program-program pada bulan Ramadan.

Katanya, ia tercetus atas rasa simpati, keprihatinan dan tanggungjawab bersama dengan petugas-petugas bangsa Melayu


Mohd Farid Omar


“Saya sendiri berasa terharu dan sedih apabila melihat ada insan menangis kerana terkejut apabila menerima kunjungan daripada KRT yang bukan Islam memberi sumbangan biarpun berskala kecil tapi bagi mereka satu penghormatan kegembiraan kerana ada yang bertanya khabar dan menghulurkan sumbangan bersempena Ramadan,” katanya.

Katanya, program tersebut sesuai dengan matlamat Jabatan Perpaduan Negara Dan Integrasi Nasiuonal (JPNIN) yang ingin melihat konsep perpaduan antara kaum dalam komuniti tanpa mengira perbezaan agama, bangsa dan budaya menjadi amalan kepada KRT. - KitaReporters


 Lim Dau Kiat bersama ahli jawatankuasa menyerahkan bungkusan nasi lemak kepada seorang pengawal keselamatan sekolah pada program singgah sahur.

4
1
0
1
0

Copy Link: