Keluarga Malaysia: Bantu Maizatul! Dihalau dari rumah sewa! Bawa 3 anak tinggal di bilik usang!
Published byBeginilah bilik usang yang menjadi tempat tinggal seorang wanita bersama tiga anaknya di Kampung Sungai Rakit, Chalok Kedai, Setiu, Terengganu. - Kredit gambar: Izham Amiruddin
TINGGAL di kediaman selesa pastinya menjadi impian ramai orang apatah lagi jika sudah mempunyai anak-anak yang kian membesar, namun tidak semua antara kita bernasib baik.
Begitulah kisah kehidupan dilalui seorang wanita di Kampung Sungai Rakit, Chalok Kedai, Setiu, Terengganu yang tinggal di sebuah pondok yang berupa bilik usang seluas 0.93 meter bersama tiga anaknya sejak setahun lalu.
Empat beranak ini tiada pilihan lain meskipun sering berdepan ancaman haiwan berbisa yang membahayakan keselamatan diri mereka.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan pondok usang
Sebuah bilik kecil menjadi tempat tinggal wanita bersama tiga anaknya yang tidak terurus.
Menurut Nor Maizatul Osman, 38, dia terpaksa memilih tinggal di bilik usang berkenaan bersama anak-anaknya selepas diarahkan keluar dari rumah sewa selepas tidak mampu membayar sewa bulanan.
"Saya cuma bekerja di warung itu dengan pendapatan RM500 sebulan dan mula mengalami masalah kewangan akibat kesempitan hidup berikutan pandemik Covid-19. Setelah tidak mampu membayar sewa, kami anak-beranak diarahkan keluar.
"Mahu atau tidak saya tiada pilihan lain kecuali terpaksa membawa tiga anak menumpang teduh di sebuah bilik belakang warung tempat bekerja setelah dibenarkan majikan.
"Tempat tinggal kami juga tiada bekalan elektrik dan air, namun ini sahaja termampu saya sediakan untuk anak-anak buat masa ini," katanya.
Ujar wanita ini lagi, kehidupannya sekeluarga sering dihantui ketakutan memandangkan bilik kecil mereka itu dikelilingi semak-samun yang mengundang risiko adanya haiwan berbisa sehingga seperti ular boleh mengancam keselamatan mereka empat beranak.
Kian menyedihkan, musim tengkujuh melanda kini menyebabkan keadaan bilik sentiasa dimasuki air hujan kerana sebahagian bumbungnya telah bocor.
Izham Amirudin yang berkunjung menemui keluarga wanita bersama tiga anak Nor Maizatul.
Sementara itu, seorang individu dikenali sebagai Izham Amiruddin yang terharu dengan nasib empat beranak tersebut berkongsi kisah kehidupan dilalui Nor Maizatul sekeluarga dan berharap ada pihak tampil membantu.
Menerusi akaun Facebook miliknya, Izham yang berkunjung ke tempat tinggal keluarga tersebut turut memaparkan beberapa keping gambar yang dirakam bersama anak wanita berkenaan.
Katanya, tiga anak Nor Maizatul iaitu Nor Natrah,13; Nasrizal Daniel,11; dan Nordhiana Delisa, 9; juga masih mengalami masalah kesihatan selepas terlibat kemalangan jalan raya.
Orang ramai yang bersimpati boleh menghulurkan bantuan menerusi akaun Bank Simpanan Nasional milik Nor Maizatul bernombor 0211-3410-0009-2684 atau menghubungi di talian 018-916 7465. - KitaReporters