Wira tak didendang! Anggota bomba sibuk selamatkan orang lain, rumah sendiri tenggelam banjir
Published byBANJIR yang melanda negeri Pahang dan Johor dikatakan makin teruk dan sudah merebak ke negeri-negeri lain pula. Keadaan hujan tanpa henti sedikit sebanyak memburukkan lagi keadaan yang telah tersedia buruk akibat pandemik Covid-19 sejak hujung tahun 2019 lalu. : KitaReporters
Kredit foto-foto: FB Jabatan Bomba & Penyelamat Malaysia.
Walaupun berhadapan dengan pelbagai jenis dugaan, rakyat Malaysia masih mahu mengekalkan perasaan simpati itu apabila begitu banyak sumbangan dalam pelbagai bentuk telah diterima oleh para mangsa.
Di samping barisan NGO, parti politik dan pihak orang perseorangan turun membantu mangsa banjir, penglibatan barisan hadapan atau frontliners bencana negara juga tidak boleh dinafikan sama sekali.
Antara frontliners yang turut membantu sejak dari awal berlakunya bencana banjir ini adalah seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), ambulans, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), RELA dan banyak lagi agensi lain yang turut terlibat sama.
Anggota-anggota frontliners ini berusaha siang dan malam untuk memastikan tiada mangsa yang terperangkap di kawasan banjir dalam apa jua cara sekali pun.
Namun dalam kesibukan tugas itu, kita tidak pernah merasai kesusahan yang dialami mereka yang disembunyi di sebalik uniform yang penuh megah bergaya itu.
HASNUDDIN HUSSIN
Rumah Hasnuddin Hussin yang ditenggelami banjir. - Kredit foto: Friends Of Bomba Bukit Angin Temerloh
Selaku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Angin, Penolong Kanan Penguasa Bomba Hasnuddin Hussin turut ditimpa nasib yang sama apabila rumah kediamannya di Seberang Temerloh turut ditenggelami banjir.
Beliau memberitahu pihak media bahawa rumahnya mula dinaiki air sejak Selasa, 5 Januari 2021 lalu. Namun demi tugas, beliau terpaksa mengutamakan nyawa orang lain berbanding harta benda yang ditinggalkan di kediamannya tersebut.
Hasnuddin juga merupakan abang ipar kepada penyanyi terkenal, Elyana (Erneelya Elyana Emrizal), yang baru-baru ini tular dalam media kerana keadaan kesihatan dirinya yang tidak sihat akibat serangan kanser.
"Sebenarnya esok (Sabtu, 9 Januari 2020) adalah hari terakhir saya bertugas dan bersara selepas 41 tahun sembilan hari dalam perkhidmatan bomba.
"Walaupun sedih melihat keadaan rumah yang terjejas tetapi saya tidak boleh jadikan ia penghalang untuk bertugas ketika musim bencana banjir ini," katanya kepada media pada Jumaat, 8 Januari 2020.
Tambah Hasnuddin lagi, terdapat barangan yang tidak dapat diselamatkan berikutan rumahnya ditenggelami air dengan begitu pantas.
"Walaupun saya tidak akan menyarung uniform selepas ini namun saya tetap terus turun padang membantu mangsa banjir menggunakan pengalaman yang ada.
"Selepas ini anak perempuan saya, Penolong Penguasa Bomba, Nur Hayyu Firdause, 32, yang bertugas di Ibu Pejabat Kuala Lumpur akan meneruskan legasi keluarga ini dalam perkhidmatan bomba," ujarnya.
Semoga pihak kerajaan menghargai pengorbanan barisan hadapan negara seperti Hasnuddin ini yang lebih mementingkan amanahnya dalam tugas berbanding urusan peribadi.
Sekiranya pihak kerajaan tidak menghargai insan-insan hebat sebegini, ia bermakna negara kita telah kehilangan wira yang tidak didendang. - KitaReporters
Kredit foto-foto: FB Jabatan Bomba & Penyelamat Malaysia