MAHASISWA Universiti Utara Malaysia (UUM) mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Pengajian Tinggi Dato’ Dr Noraini Ahmad, Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan pengurusan UUM kerana memberi kelonggaran perjalanan pulang pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang berada di kampus dan juga menyewa rumah di luar kampus. : KitaReporters

Muhammad Fikri (Kiri) dan Jason mengemaskan barangan mereka sebelum dibenarkan pulang.


Beberapa pelajar yang ditemui amat gembira kerana akhirnya setelah lebih 40 hari mereka berada di kampus dan mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerajaan mengumumkan kebenaran pulang dengan mengambil kira faktor keselamatan dan kebajikan mereka.

Pelajar semester dua Sarjana Muda Kewangan dengan Kepujian Jason Ng Shang Bao berkata, kebenaran pulang ke Kuala Lumpur ini akan digunakan sebaik mungkin untuk bersama keluarga dan tetap mematuhi larangan PKP ketika berada di rumah nanti.

"Saya gembira dan mengucapkan terima kasih kepada PM, Menteri Pengajian Tinggi, KKM, MKN dan tidak lupa juga UUM yang sentiasa menjaga kebajikan dan keselamatan semua pelajar ketika PKP ini," katanya ketika diminta mengulas mengenai pengumuman kebenaran pulang oleh kerajaan.

Sumitra dan rakan mengemaskan pakaian sebelum pulang.


Sementara itu, pelajar Sarjana Muda Ekonomi Sains dengan Kepujian yang akan pulang ke Rawang, Sumitrra A/P Paramalingam juga melahirkan ucapan kasih kepada kerajaan kerana memaklumkan berita gembira ini.

"Saya pasti bukan sahaja rakan-rakan di kampus ini dan IPT seluruh negara yang menantikan pengumuman ini, malah ahli keluarga juga menantikannya setelah kerajaan mengumumkan PKPK sejak 18 Mac 2020 sehingga dimaklumkan kebenaran pulang,' kata Sumitra lagi.

Menurutnya lagi walaupun kebenaran pulang telah dimaklumkan namun pematuhan penjarakan sosial juga perlu dititikberatkan oleh semua semasa pergerakan pulang bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

"Kami akan memberikan kerjasama kepada pihak pengurusan universiti dengan mematuhi semua peraturan yang telah ditetapkan sepanjang tempoh penghantaran ini agar berjalan lancar dan selamat sampai kerumah nanti," ujarnya lagi.

Pengarah Bahagian Perkhidmatan dan Sokongan Pelajar UUM Dr Rajwani Md Zain (kiri) menyiapkan makanan ringan untuk diagihkan kepada pelajar yang akan pulang ke kampung.


Berkongsi kegembiraan yang sama, Muhammad Fikri Burhan yang berasal dari Perak berkata, sebaik sahaja pengumuman itu dibuat semua pelajar khususnya UUM menarik nafas lega dan bersyukur kerana dapat bersama keluarga terutama semasa Ramadan ini.

‘Kami memahami bukan kerajaan tidak membenarkan pulang sejak PKP diumumkan tetapi memikirkan keselamatan pelajar maka tindakan menghalang kami pulang telah diambil," katanya ketika ditemui semasa mengemas pakaian untuk pulang ke rumah.

Katanya, semua pelajar tidak dapat menyembunyikan perasaan mereka untuk bersama keluarga ketika PKP diumumkan, namun berkat kesabaran mematuhi segala arahan kerajaan dan usaha Menterinya Dato’ Dr Noraini Ahmad dari awal lagi yang menyuarakan hasrat untuk menghantar pulang dengan keadaan selamat, maka akhirnya dibenarkan pulang setelah MKN dan KKM membenarkannya.

“Saya pasti rakan-rakan lain yang beragama islam juga tidak sabar menanti saat berbuka puasa dan bersahur bersama keluarga,’ katanya yang akan pulang ke Bidor, Perak. 

TNC HEPA UUM Prof Madya Dr Hendrik Lamsali.


Dalam pada itu Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Prof Madya Dr Hendrik Lamsali berkata, persiapan dan pengurusan telah dibuat untuk mengerakkan penghantaran pulang pelajar bermula pada 27 April 2020.

"Kita akan menghantar pulang pelajar dari kampus ini mengikut semua peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan sepanjang perjalanan pelajar pulang ke kampung halaman masing-masing secara berperingkat-peringkat yang membabitkan zon hijau sahaja," ujarnya.

"Kesemua pelajar juga diarahkan melalui ujian saringan gejala sebelum menaiki bas dan akan dibekalkan dengan makanan, topeng muka termasuk pemakluman mengenai penjarakan sosial ketika di dalam bas nanti sehingga tiba didaerah tempat tinggal mereka.

"Pelajar juga telah dimaklumkan mereka akan dihantar terus ke balai polis atau pejabat daerah yang berhampiran sebelum dihantar ke rumah masing-masing oleh agensi kerajaan termasuk frontliners peringkat daerah bagi mengelakkan dari pelajar pergi ke tempat lain kecuali tempat tinggal mereka," ujarnya lagi. - KitaReporters

6
0
0
0
0

Copy Link: