Tahniah Ridzwan! Yang pertama berjaya berenang dari Pulau Perhentian ke tanah besar di Besut!
Published byRidzwan diawasi bot dan kayak ketika berenang di Laut Cina Selatan dari Pulau Perhentian ke Pantai Bukit Keluang, Besut sejauh 19 kilometer. - Gambar kredit Facebook Ridzwan Rahim.
TIADA hadiah mega mahupun wang ringgit atau piala emas yang disediakan, namun berbekalkan semangat dan ingin meneruskan hobi berenang seorang lelaki sanggup mengharungi gelora lautan untuk berenang dari Pulau Perhentian ke tanah besar Besut, Terengganu.
Ridzwan Abd Rahim, 44, dari Kajang, Selangor bukan sahaja sanggup menghabiskan wang ringgit dan berkorban masa malah terpaksa merentas negeri pada musim pandemik COVID-19 demi untuk menjayakan misi berenang dari pusat pelancongan terkenal Pulau Perhentian ke Pantai Bukit Keluang, Besut.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan berenang
Ridzwan Abd Rahim
Impian beliau tidak sia-sia apabila hajat untuk merentas Laut Cina Selatan dengan berenang di lautan dari pulau ke daratan sejauh 19 kilometer akhirnya berjaya dicapai.
Kejayaan berenang lautan terbuka yang mengambil masa kira-kira sembilan jam tanpa henti itu menobatkan beliau sebagai manusia pertama berjaya berenang secara solo bagi terusan Pulau Perhentian, sekali gus mencatat sejarah negara dalam sukan renang.
Perenang solo Ridzwan ketika berenang dari Pulau Perhentian ke Pantai Bukit Keluang, Besut
Ridzwan berkata, projek berenang berkenaan menerusi acara Perhentian Channel Solo Swim 2021 tidak ditaja oleh mana-mana pihak, sebaliknya ia atas usaha sendiri yang disokong oleh team beliau sendiri yang diketuai Abdul Razak Abdul Aziz.
Katanya, beliau gembira kerana projek ini telah dibuat dengan mendapat permit perjalanan polis serta pemakluman kepada semua pihak berkuasa yang berkaitan di Besut.
Ridzwan meneruskan misi berenang di tengah lautan pada waktu menjelang pagi
“Selama bertahun-tahun saya tertanya-tanya jika ia boleh berenang dari Pulau Perhentian ke tanah besar Terengganu dan kini soalan itu telah terjawab,” katanya.
Katanya, pada 21 Mac 2021, dia memutuskan untuk bertindak dengan melakukan aktiviti berenang tersebut atas rasa ingin tahu dan akhirnya merekodkan beliau menjadi orang pertama dalam sejarah yang melakukan ini renangan tersebut.
Pemandangan dari udara menyaksikan Ridzwan dipantau oleh dua bot dan seorang ahli kayak
“Projek berenang ini bukan mudah untuk disatukan di tengah-tengah semua sekatan pandemik COVID-19,” katanya.
Ridzwan menganggap ia satu keajaiban bahawa dia dan pasukannya berjaya ke Pulau Perhentian untuk melaksanakan rancangan tersebut.
Ridzwan melakukan sujud syukur sebaik selamat sampai di Pantai Bukit Keluang, Besut selepas sembilan jam berenang di laut.
Ridzwan berkata, beliau melakukan misi berenang bermula di pantai Alunan Resort, Pulau Perhentian pada jam 4 pagi, 21 Mac 2021 dan selamat sampai ke pantai Bukit Keluang, Besut pada jam 1 tengah hari pada hari yang sama.
Garisan merah menunjukkan laluan perjalanan Ridzwan dari Pulau Perhentian ke Tanah Besar Besut,Terengganu
Katanya, ketika dalam perjalanan dari pulau ke daratan dia dipantau oleh seorang ahli kayak, Hafizuddin Amlin dan dua bot dari team beliau.
Aksi Ridzwan ketika berenang di tengah lautan sambil diawasi oleh kayaker
Sebelum ini, katanya, pada tahun 2017 dia pernah melakukan aktiviti berenang dengan mengelilingi pulau tersebut secara solo tetapi kali ini ia lebih mencabar kerana menyeberangi lautan luas ke daratan atau tanah besar.
Beliau mengucapkan penghargaan terima kasih kepada Pejabat Daerah Besut, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba Dan Penyelamat (JBPM) Besut, Angkatan Pertahanan Awam (APM) Besut dan Maritim Tok Bali, Kelantan kerana membantu menjayakan program tersebut. - KitaReporters
Hafizuddin Amlin berkayak mengiringi Ridzwan dari Pulau Perhentian sehingga ke Pantai Bukit Keluang