Salah sebuah kawasan perumahan yang ditenggelami air dalam kejadian banjir awal bulan Januari 2022 ini. - Kredit foto: Harian Metro
APABILA ditimpa musibah pasti ada tangan-tangan yang dalam diam menyalurkan bantuan dan menyumbang selagi termampu. Sama ada secara berkumpulan mahupun perseorangan. Bukan pahala yang dikejar tetapi lebih kepada niat murni untuk membantu. Musim banjir sudah hampir menuju ke penamatnya. Tiada lagi kedengaran jalan raya dan kediaman dinaiki air. 

Mangsa terlibat juga sudah kembali ke rumah masing-masing untuk proses pembersihan pula. Mungkin ada yang sudah siap mengemas atau masih dalam pasca pembetsihan. 

Yang hilang segalanya pasti 'masih terganggu' tidak tahu yang mana harus diduhulukan.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan bantuan banjir





Mangsa yang kehilangan segalanya seperti terpaksa memulakan kehidupan baru. Serba baharu seperti pasangan pengantin. Hakikatnya? Mengharapkan sinar di hujung kelam.
Di sinilah terletaknya peranan pelbagai agensi kerajaan dan swasta, pertubuhan sukarela termasuk individu tampil menghulurkan sumbangan bagi membantu meringankan beban mangsa yang terbabit musibah banjir. 
Tidak terkecuali Pertubuhan Kebajikan Sahabat Telekung Kuantan (STK) yang mengambil inisiatif mengumpul dana yang kemudiannya ditukar dalam bentuk barangan keperluan sebelum disalurkan.
Dalam tempoh beberapa hari sahaja, pertubuhan itu berjaya mengumpul dana berjumlah hampir RM35,000 bagi membantu mangsa banjir yang terjejas teruk akibat dilanda musibah itu, awal bulan Januari 2022 ini.
Che Ku Shaherawati Che Ku Jusoh (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada seorang mangsa banjir di Kg Sungai Buluh, Mentakab. - Kredit foto: STK
Pengerusinya, Che Ku Shaherawati Che Ku Jusoh, berkata dana yang terkumpul itu antara lain disumbangkan oleh Serantau Muslim (RM10,000), Sedekah Jumaat Komuniti STK (RM11,585) selain 200 sejadah sumbangan Makmur Gold dan 100 helai baju tidur wanita ditaja seorang individu enggan dikenali.
Menurutnya, STK mengambil inisiatif  dengan membuat hebahan lebih awal mengenai kutipan dana untuk mangsa banjir berikutan hujan lebat dan beberapa kawasan sudah mula dinaiki air bermula sejak 15 Disember 2021 lagi.
Katanya, kaedah itu secara tidak langsung telah mempercepatkan dan menjadi pemudah cara untuk mereka bertindak lebih awal bagi membantu mangsa banjir.
"Hebahan awal dilakukan menerusi poster dan daripada mulut ke mulut oleh sukarelawan STK juga melalui kumpulan WhatsApps kejiranan masing-masing.
"Dana yang diterima itu kami guna untuk pembelian perkakas elektrik seperti periuk nasi, kipas dan dapur gas dan sedikit wang tunai untuk perbelanjaan dan serahan sudahpun selesai dilakukan," katanya ketika dihubungi menerusi aplikasi WhatsApps di Kuantan pada 21 Januari 2022.

Che Ku Shaherawati (kanan) menyampaikan sumbangan kepada seorang mangsa banjir di Bukit Rangin Aman, Kuantan. - Kredit foto: STK  
Che Ku Shaherawati berkata, pada peringkat awal mereka berjaya menyumbang 150 set solat yang mengandungi sejadah, telekung, kain pelikat, baju tidur, kain batik dan wang tunai RM50 kepada sebahagian mangsa banjir yang terjejas teruk di kawasan Bukit Rangin Aman, Kuantan.
"Selepas mendapat tajaan barangan elektrik, dana yang masih terkumpul digunakan untuk membeli pakaian solat supaya lebih ramai mangsa dapat dibantu terutama mereka yang tinggal sehelai sepinggang. 
"Antara penerimanya ialah 50 penduduk di Taman Sri Inderapura, Kuantan dan 70 penerima masing-masing dari Kampung Gajah Mati, Kampung Sungai Buluh dan Kampung Batu Kapur di Mentakab di mana rumah mereka ditenggelami air sehingga ke bumbung rumah," katanya. 
Selain itu, katanya, STK turut mengagihkan 270 set solat kepada mangsa banjir secara dari rumah ke rumah selepas keadaan banjir pulih.
Che Ku Shaherawati (dua dari kanan) menyerahkan sumbangan kepada seorang mangsa banjir di Temerloh. - Kredit foto: STK
"Kami turut membantu 24 keluarga yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Kg Padang, Kuantan bertujuan meringankan beban yang ditanggung.  

"Misi bantuan kali ini agak berbeza berbanding sebelumnya kerana tiada barang keperluan dapur diberikan berikutan kebanyakan mangsa banjir tidak memasak atau tidak dapat menyimpan barangan basah disebabkan perkakas elektrik mereka rosak terkena banjir selain pihak berwajib dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sudah membantu," katanya.

Menurutnya, kutipan dana untuk mangsa banjir sudahpun ditutup dan fokus mereka beralih kepada kutipan dana 'Back to School' pula. 
Bersama kita sebagai satu Keluarga Malaysia yang bersatu padu lagi prihatin agar terus menghulurkan sumbangan bagi meringankan beban semua mangsa terbabit banjir. - KitaReporters
13
9
0
11
0

Copy Link: