Disangka kembar lapan! Rupanya wanita lahirkan 10 bayi kembar! Tapi belum ada pengesahan rasmi
Published byGosiame Thamara Sithole ketika hamil 10 bayi kembar. - Kredit foto : Koolfm.com.my
SEORANG wanita Afrika Selatan bakal mencatat nama sebagai wanita yang melahirkan paling ramai bayi dalam Guiness World Records sebaik kelahiran tersebut disahkan oleh doktor.
Gosiame Thamara Sithole, 37, didakwa melahirkan bayi kembar 10 atau decuplets dengan tujuh bayi lelaki dan tiga perempuan melalui pelbagai kaedah pembedahan pada 7 Jun 2021 lalu.
Bagaimanapun, setakat hari ini, belum ada pengesahan rasmi mengenai kelahiran tersebut.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan ibu bersalin
Gosiame Thamara Sithole bersama suaminya Toboho Tsotetsi. - Kredit foto : Anadolu Agency
Memetik sumber Anadolu Agency, wanita itu yang pada awalnya dijangka melahirkan bayi kembar lapan akhirnya melahirkan 10 bayi kembar tersebut di Hospital Pretoria, Johannesburg.
Menurut suaminya, Teboho Tsotetsi, isterinya melahirkan tujuh bayi lelaki dan tiga perempuan ketika kandungan berusia tujuh bulan tujuh hari.
Pasangan yang mempunyai pasangan anak kembar berusia enam tahun sebelum ini mengakui Sithole hamil secara semula jadi tanpa menjalani sebarang rawatan kesuburan.
Keadaan kandungan Gosiame Thamara Sithole yang luar biasa saiznya. - Kredit foto: BBC
“Ketika peringkat awal kehamilan, saya mengalami kesulitan kerana mengalami simptom mabuk yang teruk serta sakit kaki selain bimbang keselamatan janin saya berikutan kehamilan berisiko.
“Namun saya bersyukur kerana berjaya melahirkan kesemua bayi saya dengan selamat,” kata Sithole.
Menurut Tsotetsi, doktor akan meletakkan bayi kembar sepuluh mereka di dalam inkubator untuk tempoh beberapa bulan sebelum dia dan isterinya dibenarkan membawa bayi mereka pulang.
Bulan Mei 2021 lalu, seorang wanita dari Mali melahirkan bayi kembar sembilan di sebuah hospital di Maghribi (Morocco).
Video| Mula-mula sangka 2, 3! Kemudian jangka 7! Apabila bersalin keluar 9 anak! Rekod dunia!
Sementara itu, Timbalan Ketua Fakulti Perubatan di Universiti Sains Kesihatan Sefako Makgatho, Profesor Dini Mawela berkata, bagi mengelakan sebarang risiko para doktor terpaksa mengeluarkan bayi-bayi tersebut lebih awal.
“Apa yang menjadi kebimbangan doktor adalah risiko bayi-bayi akan menjadi kecil kerana tidak mempunyai ruang mencukupi jika berada lebih lama di dalam rahim ibu mereka.
“Kehamilan seperti yang dialami Sithole dengan jumlah bayi yang ramai adalah sesuatu yang jarang berlaku tanpa menjalani sebarang rawatan kesuburan,” katanya. - KitaReporters