HARUN Jusoh terlantar di katil hospital dibantu oleh mesin pernafasan ketika menerima kunjungan Yakeb dalam program 'Ziarah dan Santuni' pada 4 Mei 2021 lalu. - Kredit foto: Yakeb


SATU Syawal 1442 Hijrah yang menjelang tiba seminggu lagi, mungkin disambut agak sayu dan hiba oleh legenda bola sepak negara, Harun Jusoh, 73.

Jangkitan kuman yang dikesan dalam darahnya, mengakibatkannya dimasukkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu, Terengganu sejak Ahad, 2 Mei 2021 lalu. 

Nasib wira Sukan Olimpik Munich 1972 ini bagaikan sudah jatuh ditimpa tangga setelah sebulan lalu dia didapati menghidap penyakit radang sendi


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan bola sepak

HARUN Jusoh (dua dari kanan) menerjah bola sambil disaingi pemain Korea Utara dalam perlawanan penentuan pingat gangsa Sukan Asia Tehran 1974 yang dimenangi Malaysia 2-1. - Kredit foto: takhtejamshidcup.com


Menerusi program 'Ziarah dan Santuni', kesempitan hidup Harun walau bagaimanapun tidak sesekali diabaikan oleh Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) yang tampil menghulurkan bantuan pada Selasa, 4 Mei 2021 lalu. 

Bekas sayap kiri Terengganu dan Malaysia era 70-an terdahulu sudah tidak mampu menguruskan keperluan diri dan hanya terlantar di atas katil di kediamannya, Kampung Che Kundur, Batu Buruk, Kuala Terengganu.

“Kunjungan kami turut membawa sumbangan barangan keperluan beliau. Kami difahamkan Harun akan terus dirawat di hospital sehingga enam hari lagi kerana jangkitan kuman itu,” lapor Yakeb dalam laman Twitternya.

Pengerusi Yakeb, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed berkata, “Harun telah dimasukkan ke hospital itu sejak Ahad, 2 Mei 2021. Dia sedar ketika kami menziarahinya namun kurang dapat bercakap.”


NOORUL Ariffin Abdul Majeed (kanan) menyampaikan bantuan barang keperluan kepada isteri Harun Jusoh, Sharifah Azizah Syed Omar (dua dari kanan) di Kampung Che Kundur. - Kredit foto: Yakeb.


Program ini merupakan langkah susulan Yakeb selepas menghantar wakilnya di Terengganu ke rumah Harun yang ditemani isterinya, Sharifah Azizah Syed Omar, 69, pada 22 April 2021 lalu.

Penyakit itu menyebabkan beliau perlu diberi penjagaan rapi kerana tidak mampu bergerak dan hanya bergantung sepenuhnya kepada susu khas untuk meneruskan hidup.

Lebih sebulan keadaan kesihatan Harun didapati merosot dan menurut Azizah dalam laporan sebuah akhbar harian, “dia perlu dibantu apabila hendak mandi dan memakai lampin pakai buang.

“Saya turut dibantu oleh anak kami sebab tidak mampu buat sendirian selain memerlukan khidmat jururawat.

“Saya amat berharap untuk melihat suami saya sembuh selain memohon doa daripada para peminat bola sepak negara," kata Sharifah Azizah.


SHARIFAH Azizah Syed Omar (kanan) mengakui memerlukan bantuan khidmat jururawat dalam menguruskan Harun Jusoh untuk mandi dan meneruskan kehidupan harian. - Kredit foto: Yakeb


Harun tidak diturunkan pada ketiga-tiga perlawanan Malaysia dalam Kumpulan A Olimpik menentang tuan rumah, Jerman Barat di Munich, Amerika Syarikat dan Maghribi (Ingolstadt) pada 27, 29 dan 31 Ogos 1972.  

Skuad bimbingan Allahyarham Jalil Che Din ini dikalahkan tuan rumah 3-0, menewaskan Amerika 3-0 dan tewas kepada Maghribi 6-0, sekali gus gagal ke pusingan kedua biarpun hanya memerlukan satu mata lagi.

Rakan sepasukannya termasuk Shaharudin Abdullah, Wong Kam Fook, Bahwandi Hiralal, Abd. Rahim Abdullah, Datuk Soh Chin Aun, Allahyarham Datuk Namat Abdullah, Allahyarham Salleh Ibrahim, mendiang Wong Choon Wah dan mendiang Datuk M. Chandran.


HARUN Jusoh (depan, dua dari kanan) bersama skuad pimpinan Mokhtar Dahari (berdiri, kiri) pada Kelayakan Olimpik 1976 di Jakarta. 


Harun turut membantu meraih pingat gangsa Sukan Asia Tehran 1974 sambil menyumbat empat gol ketika Malaysia membelasah Filipina 11-0 dan Korea Selatan 3-2.

Skuad negara yang dianggotainya juga menjuarai Pestabola Merdeka 1973 dan menewaskan kelab gergasi England, Arsenal 2-0 serta seri 1-1 dalam perlawanan persahabatan 1975 di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

Dia dan adiknya juga bekas fulbek Malaysia, Allahyarham Yahaya Jusoh (meninggal dunia 2013) turut membawa Terengganu muncul naib juara Piala Malaysia 1973 selepas dihampakan Selangor 2-1 di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.

Sehingga kini terdapat 289 bekas pemain bola sepak negara yang sudah berdaftar malah mendapat pelbagai kemudahan dan manfaat sebagai ahli Yakeb. - KitaReporters


HARUN Jusoh (depan, empat dari kiri) dalam kesebelasan negara menentang Arsenal pada 1975. - Kredit foto: Dunia Sukan Utusan 

0
0
1
0
0

Copy Link: