Terbaik Zulhisham! Gigih tanpa jemu lakukan fisioterapi santuni warga emas! Pusat Jagaan Darul Hanan!

Published by
KitaReporters


MENCARI bekalan akhirat menjadi dorongan seorang pemuda lepasan Universiti Teknologi MARA (UiTM), Arau, Perlis, Muhammad Zulhisham Abu Hassan, 26, mendampingi warga emas sebagai Penolong Jurupulih Anggota (Fisioterapi), di Pusat Jagaan Warga Emas Darul Hanan, Pulau Pinang sejak tiga tahun lalu.

Menganggap warga emas di pusat jagaan itu sebagai bapa atau ibu sendiri yang perlu disantuni dengan baik, Muhammad Zulhisham yang masih bujang selain meminati bidang fisioterapi juga ingin melihat penghuni di pusat berkenaan kekal cergas dan aktif walaupun berusia lanjut.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan pusat jagaan warga emas

Muhammad Zulhisham Abu Hassan (kanan) memberi tunjuk ajar kepada seorang warga emas di Pusat Jagaan Warga Emas Darul Hanan, Pulau Pinang, melakukan terapi.


“Dengan tubuh badan yang sihat, dapatlah mereka ini melakukan amal ibadat dan aktiviti harian dengan sempurna. 

"Di samping itu, saya ingin mencari bekalan akhirat, semoga khidmat saya di sini menjadi asbab dapat masuk ke syurga,” ujar beliau yang lebih senang disapa Zulhisham sahaja.

Beliau berkata, menyantuni warga emas di pusat itu bukanlah suatu yang mudah, kerana dia perlu banyak bersabar dengan pelbagai karenah mereka terutama apabila ada antara warga emas berkenaan menjadi seorang pelupa selain perlu diberi tunjuk ajar beberapa kali.

Menurutnya, dia tidak berasa jemu atau bosan malah berasa seronok melayani warga emas terbabit yang diibaratkan sebagai bapa atau ibu sendiri kerana perlu disantuni dengan mesra serta manja di samping pandai memujuk untuk membolehkan mereka mengikuti  latihan terapi yang diadakan.

Jelasnya, memahami masalah warga emas terbabit dia terpaksa banyak bersabar menunjukkan beberapa gerakan terapi yang perlu dilakukan untuk mudah difahami kerana pada sesi berikutnya mereka mampu untuk melakukan sendiri.


Zulhisham memberi penerangan mengenai terapi yang dilakukan warga emas kepada pelawat.


Zulhisham berkata, tugas sebagai ahli fisioterapi di pusat jagaan itu ialah memulih dan mengekalkan fungsi fizikal warga emas pada tahap yang optimum. Ahli terapi akan merancang program dan teknik yang berkesan untuk memulihkan pesakit berdasarkan masalah dihadapi.

Terang beliau, mengendalikan pesakit warga emas bukan sesuatu perkara yang mudah, paling utama ahli terapi harus peka dengan keadaan fizikal pesakit kerana mereka mungkin mudah untuk terjatuh, ditambahkan lagi jika seseorang itu menghadapi lemah anggota badan serta masalah sendi.

Jelasnya, apabila sesi terapi dilakukan dia akan sentiasa berada di sisi warga emas terbabit ketika melakukan senaman ataupun sebarang aktiviti untuk mengelakkan perkara tidak diingini berlaku terutama yang boleh mendatangkan kecederaan.

Menurutnya lagi, di pusat jagaan berkenaan kemudahan alatan fisioterapi yang hampir lengkap memudahkan lagi aktiviti terapi terutama melibatkan kes yang memerlukan pesakit untuk mengaktifkan semula anggota badan yang bermasalah seperti sakit sendi, strok, arthritis, sakit belakang, kekurangan mobiliti dan sakit lutut.

“Tambahan pula saya mendapat kerjasama yang amat baik daripada petugas asrama bertugas serta kakitangan lain pusat ini kerana sokongan mereka memudah dan melancarkan lagi aktiviti terapi dilakukan,” ujarnya.


Zulhisham tidak pernah berasa jemu atau bosan menyantuni warga emas kerana mereka itu diibaratkan sebagai bapa dan ibu sendiri.


Menerangkan tugas beliau seterusnya, Zulhisham berkata, sebelum aktiviti fisioterapi dijalankan, ahli terapi akan memaklumkan kepada petugas asrama untuk menyiapkan warga emas terbabit dengan pakaian yang bersesuaian bagi melakukan senaman.

Petugas asrama juga turut membantu ahli terapi dengan membawa pesakit yang berkerusi roda ke Anjung Terapi pusat itu dan jika perlu mereka turut membantu mengangkat pesakit ke atas katil untuk mendapatkan rawatan.

Menurutnya, sebelum melakukan rawatan dan senaman, pertama sekali beliau akan menerangkan apakah jenis senaman dan teknik yang akan dilakukan kepada warga emas itu dan kedua dia akan menunjukkan demonstrasi senaman untuk mereka lebih faham dan jelas.

Akhir sekali, beliau akan meminta warga emas itu untuk melakukan senaman secara berdikari sambil dibantu olehnya bagi memastikan mereka terus kekal fokus dan bersemangat, sebagai ahli terapi  dia akan meniupkan kata-kata semangat.

Zulhisham berkata, bagi warga emas terlantar dia akan memberikan rawatan dan senaman di bilik terlebih dahulu dengan mengajar senaman yang boleh dilakukan di atas katil. 

Apabila mereka menunjukan perubahan dari segi fizikal, barulah membawa ke  Anjung Terapi untuk mendapatkan rawatan dan melakukan senaman.



Jelasnya, dia kadang-kadang berasa terharu dan tersentuh perasaan melihat sesetengah warga emas menunjukkan kesungguhan untuk kembali cergas dan sihat yang seharusnya ahli keluarga khusus anak berada di sisi membantu bapa atau ibu mereka itu. 

“Apabila berkhidmat di Darul Hanan ini saya berasa amat teruja dan gembira untuk membantu warga emas selain beranggapan seperti berada di sebuah gudang pahala, semua tugasan yang dilakukan di sini sudah pasti akan dikurniakan ganjaran pahala oleh Allah SWT.

“Melihat perubahan pesakit yang kembali sihat dan boleh melakukan aktiviti harian setelah selesai  mendapatkan sesi fisioterapi membuatkan saya berasa puas hati dan gembira. Disamping itu tugas saya ini sentiasa dipantau pengurus pusat jagaan ini, Siti Sarah Yahya,” katanya. - KitaReporters


Zulhisham menjelaskan tugas seorang fisioterapi di pusat jagaan berkenaan kepada pelawat yang kagum melihat kesabaran beliau menyantuni warga emas.

21
14
1
13
0

Copy Link: