Membetulkan fakta sejarah! Tragedi 27 lemas di Sungai Kerian pada 13 Sept 1972! Terdapat kekeliruan!

Published by
KitaReporters

Kredit foto: bandarbaharu.pjk.com.my


Tragedi feri karam yang mengorbankan 27 orang termasuk 25 pelajar sekolah di Sungai Kerian, Perak pada 13 September 1972 merupakan satu tragedi yang tidak mungkin dapat dilupakan oleh masyarakat di negara ini.

Dalam kesibukan pada awal 6.30 pagi itu, kebanyakan orang ramai dan pelajar menggunakan perkhidmatan feri untuk ke seberang Sungai Kerian sama ada ke Bandar Baharu dan Parit Buntar yang pada masa itu tidak mempunyai jambatan.

Kerana tragedi ini meruntun jiwa sesiapa yang terbabit, justeru Jabatan Arkib Negara mengambil inisiatif mengadakan Majlis Pengkisahan Sejarah Feri Karam di Sungai Kerian sebagai satu bahan sejarah.

Ketua Pengarah Arkib Negara, Datuk Jaafar Sidek Abdul Rahman berkata, pengisahan tragedi itu bagi membolehkan arkib negara mengumpul semua maklumat yang betul berkaitan tragedi yang berlaku 52 tahun lalu.

Katanya, tragedi itu sebenarnya mengorbankan sejumlah 17 pelajar dari Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina (SMJKC) Kerian dan bukan 8 orang seperti yang dilaporkan awal, manakala jumlah pelajar dari Sekolah Rendah (SR) Methodist Parit Buntar yang lemas ialah 8 orang dan bukan 17.

“Ini adalah fakta yang perlu dibetulkan dan kerana itu kita mengadakan sesi ini supaya bahan sejarah ini menjadi satu fakta yang sebenarnya.

“Ia juga boleh menjadi sumber bahan sejarah untuk penyelidikan,” katanya dalam sidang media di Dewan Merdeka di Parit Buntar baru-baru ini.


Jaafar Sidek Abdul Rahman (kanan) menandatangi plak pada Majlis Pengkisahan Sejarah Feri Karam di Sungai Kerian, di Parit Buntar, baru-baru ini 


Mengikut laporan awal media, tragedi pada pagi 13 September 1972 itu mengorbankan 17 murid SR Methodist Parit Buntar, lapan pelajar SMJKC Kerian dan dua orang awam tercatat sebagai antara peristiwa hitam dalam sejarah negara.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 6.30 pagi semasa feri tersebut dalam perjalanan dari Bandar Bharu ke Parit Buntar. 

Feri tersebut membawa sebuah bas sekolah dengan sekurang-kurangnya 19 penumpang, penunggang basikal, sebuah kereta Morris Minor, seorang penunggang motosikal dan murid-murid sekolah.

Tegas Jaafar Sidek, pihaknya yakin bahan sejarah ini membuktikan dalam kejadian itu adanya berlaku tolong menolong antara kaum.

“Kita dapat lihat falam kes ini, sebagai contoh P. Annamalai sendiri menyelamatkan tujuh pelajar keturunan Cina dan ini menunjukkan ada kesepaduan masyarakat untuk tolong menolong dalam tragedi itu,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya mahu menjadikan bahan sejarah ini sebagai membuktikan perpaduan dan jati diri kepada masyarakat dalam tragedi berkenaan.


Jaafar Sidek Abdul Rahman (empat kiri) bersama dengan mereka yang hadir pada Majlis Pengkisahan Feri Karam di Parit Buntar, baru-baru ini.


Pada Majlis Pengkisahan Sejarah Feri Karam di Sungai Kerian itu juga diadakan sesi pengisahan sejarah melibatkan tiga saksi kejadian iaitu Abd Rahim Muda, P. Annamalai dan Chan Wan Teck.

Mereka yang hadir juga melawat ke tapak tragedi feri karam itu. - KitaReporters

7
9
0
13
0

Copy Link: