Ramai mahu jadi ibu susuan! Jadikan anak angkat! Amirul Nafis akan besarkan Faleeq! Isteri meninggal!

Published by
KitaReporters

Kisah Allahyarham Izzatu Hafizah Abuhurairah yang tular dalam media sosial



RAMAI yang mahu menjadi ibu susuan kepada bayi dua bulan, Muhammad Faleeq Haq Amirul Nafis selepas ibunya meninggal dunia akibat jangkitan kuman pada 6 Januari 2025 lalu. Ada yang tawar hendak ambil jadi anak angkat.

Bagaimanapun bapa bayi itu, Amirul Nafis Amiruddin, 27, berkata dia akhirnya memilih seorang wanita yang baru kematian anak ketika ditinggalkan di taska sebagai ibu susuan kepada anaknya.

Wanita itu akan menyerahkan susu yang masih dalam stok di rumahnya untuk selama dua bulan. Pemilihan itu juga kerana arwah anak wanita terbabit juga leaki.

"Malah saya juga menerima banyak permintaan daripada ibu yang mahu menjadikan Faleeq sebagai anak angkat.

"Terima kasih atas prihatin tetapi saya akan membesarkan anak ni dibantu oleh ayah dan jiran-jiran. Saya akan bawa dia ke tempat kerja sebagai peneman," katanya. 

Terdahulu, kisah kematian Allahyarham Nur Izzaty Hafizah Abuhurairah, 19, tular dalam media sosial selepas meninggal dunia ketika tidur dalam pelukan suaminya sebaik selesai menyusukan bayi mereka yang berusia dua bulan. 


Bertabahlah wahai ayah dan suami, Amirul Nafis Amiruddin 


Amirul Nafis berkata demikian ketika menerima kedatangan Skuad Prihatin PERKESO Rawang yang diketuai Pengurus Pejabat Rawang, Jamilah Siro dan tiga lagi pegawai Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) yang menyampaikan penyerahan baucar Faedah Pengurusan Mayat dan sumbangan Kotak Prihatin kepada waris di rumahnya di Tasik Puteri pada Selasa 14 Januari 2025.

Beliau mencarumkan isterinya Nur Izzaty Hafizah di bawah Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR).

Dia berbuat demikian selepas tahu banyaknya manfaat ketika membantu ibunya yang juga penerima PERKESO mendapat bantuan daripada pertubuhan tu.

"Selama 8 tahun saya berulang alik mengambil lampin pakai buang, susu, katil khas, kerusi roda dan banyak lagi keperluan ibu yang diserang strok dan dia dilindungi oleh PERKESO." katanya. 

Daripada situlah Amirul Nafis mencarum nama isterinya lebih setahun lalu. 


Skuad Prihatin PERKESO Rawang mengunjungi Amirul Nafis dan bayinya untuk menyampaikan manfaat pertubuhan tersebut.


Sebaik dimaklumkan berhubungan kematian isterinya, PERKESO terus meluluskan permohonannya yang layak menerima manfaat termasuk pencen seumur hidup buat Amirul Nafis dua beranak itu.

Berdasarkan semakan PERKESO, Allahyarham adalah pencarum SKSSR sejak 3 April 2024 dan warisnya iaitu Amirul Nafis Amiruddin (suami) dan Muhammad Faleeq Haq Amirul Nafis (anak) layak menerima Faedah Pengurusan Mayat sebanyak RM3,000 secara sekali bayar. 

Suami arwah juga layak menerima Pencen Penakat sehingga beliau mencapai umur 55 tahun, manakala anaknya menerima pencen sama sehingga mencapai umur 21 tahun.


Hati seorang ibu....  Jamilah Siro menerangkan penyerahan baucar Faedah Pengurusan Mayat dan sumbangan Kotak Prihatin kepada waris kepada Penyelaras DUN Kuang, Dr Hasnal Rezua Merican.


Bagus dan tahniah bapa muda, demikian pujian Dr Hasnal kepada Amirul Nafis dan anaknya.


Penyelaras Dewan Undangan Negeri (Dun) Kuang, Dato' Dr Hasnal Rezua Merican hadir untuk menyerahkan baucar tersebut dan sumbangan daripada pejabatnya.

Dr Hasnal memuji kebijaksanaan Amirul Nafis yang mencarum untuk isterinya dan meminta suami-suami yang lain supaya menjadikan beliau sebagai teladan supaya masa depan anak tidak diabaikan jika salah seorang ibu atau bapa tu meninggal dunia.

Dia berjanji akan mengatur rancangan supaya penghulu dan ketua penduduk di kawasan DUN Kuang mengambil tindakan yang sama untuk mencarum isteri yang jadi suri rumah untuk mendapat perlindungan PERKESO.  

Sementara itu, Jamilah memberitahu setakat ini, sudah 2,000 suri rumah di Rawang mencarum kepada SKSSR.  

PERKESO memaklumkan, SKSSR dilancarkan pada 1 Disember 2022 dengan menawarkan perlindungan komprehensif kepada suri rumah dengan caruman tahunan hanya RM120.

Skim itu bertujuan untuk menyediakan perlindungan keselamatan sosial kepada golongan suri rumah daripada bencana domestik, keilatan semasa menguruskan rumah tangga dan kematian. 




Amirul yang mengusahakan bengkel kereta bersama rakannya bersyukur kerana masa depan anaknya ada sedikit jaminan. 

Ketika wakil PERKESO tiba dia baru saja pulang daripada melawat pusara isterinya, dengan anaknya dijaga oleh bapanya.

Dia yang masih belum dapat menerima kehilangan isterinya yang baru habis pantang itu berjanji akan menjaga bayinya walaupun terpaksa belajar banyak perkara baharu.

"Sepanjang kehilangan ibunya, baru sekali tiga hari lalu dia menangis, seolah-olah mencari arwah dan kami balutkan dia dengan pakaian ibunya supaya bau itu dapatlah merawat kerinduannya," katanya. - KitaReporters


Jiran, Norzi Alias ada untuk membantu menjaga Faleeq.


Terima kasih semua yang prihatin.

13
16
0
12
0

Copy Link: