Surau Al-Aminiah, Kampung Parit Serong, Bagan Datuk, Perak terbiar sepi bagai tugu ingatan yang sangat menyentuh kalbu.


JIKA Surau Al-Aminiah, Kampung Parit Serong, Bagan Datuk, Perak boleh berkata-kata, pasti ia akan meluahkan rintihan dan keluhan sedih kenapa dirinya ditinggalkan. Jika ia boleh menangis, pasti banyak air matanya tumpah dalam lautan kesedihan.

Surau tersebut sejak sekian berdekad lalu menjadi tumpuan penduduk kampung penulis untuk berkumpul bersolat fardu, solat sunat tarawih, solat sunat dua hari raya serta untuk sebarang aktiviti kemasyarakatan atau kegamaan.

Pada Hari Raya Aidilfitri, ia menjadi tumpuan bukan sahaja penduduk kampung tetapi juga ramai anak kampung di perantaun yang kembali ke desa untuk meraikan lebaran bersama keluarga tercinta, sanak saudara dan teman rakan.


Anjung Surau Al-Aminiah, Parit Serong. Tanda nama abadi walau surau ditinggal sepi.


Namun kisah itu sudah berlalu. Tiada lagi kemeriahan dan riang riuh di surau tersebut pada hari raya. Tiada lagi bunyi kentung memanggil penduduk datang ke suaru bersolat hari raya. Suasana sepi menyelubungi surau. Persekitaran suram.

Surau Al-Aminiah masih berdiri di tapak asal sejak ia wujud beberapa dekad lalu. Cuma kini ia ditinggalkan. Berdirinya sebagai saksi bisu kepada kemeriahan yang pernah mewarnai surau tersebut pada setiap Aidilfitri sejak era tahun 60-an ketika penulis masih bersekolah rendah.

Sesungguhnya masa banyak mengubah diari kehidupan manusia. Kampung Parit Serong dahulu ramai penduduk, dari darat ke baruh. Banyak rumah penduduk kampung berdiri megah membarisi kiri kanan jalan.

Kerana itu setiap menjelang hari raya, kemeriahan terasa, ditambah seri dengan kehadiran perantau yang balik berhari raya bersama ayah bonda. Pada pagi 1 Syawal berbondong-bondong mereka ke surau menunaikan solat hari raya Aidilfitri.

Surau jadi wadah pertemuan saudara mara dan rakan taulan yang lama tidak berjumpa, saling bertukar cerita mengimbau kenangan lalu. Yang tua, yang muda saling bergaul mesra dengan penuh semangat persaudaraan.

Pasti surau rasa bangga dan bahagia menyaksikan penduduk kampung beramai-ramai hadir mengimarahkannya. Terasa sangat bangga kerana diri dihargai dan menjadi tempat mengeratkan silatul rahim penduduk kampung.


Jalan Kampung Parit Serong sudah bertar, tetapi kampung agak sunyi, penduduk berkurangan.


Sayangnya itu sudah berlalu. Hari berganti dan masa beredar, penduduk Kampung Parit Serong makin berkurangan. Ramai generasi lama telah pergi menyahut seruan Ilahi. Banyak rumah ditinggalkan dan terbiar dan adanya sudah rebah menyembah bumi.

Kerana itu kemeriahan di surau pada Aidilfitri makin berkurangan. Anak perantau yang biasanya balik, ramai tidak lagi berbuat demikian kerana ayah bonda sudah tiada. Benarlah, ayah bonda faktor penarik yang kuat.

Ketika balik kampung sebelum Aidilfitri, penulis melihat surau tempat bermain dahulu sepi. Bangunan nampak masih kukuh tetapi bagai tidak diurus. Begitu juga dengan persekitatran yang tidak dijaga kebersihannya.

Menurut kawan-kawan kampung, Surau Al-Aminiah ‘ditinggalkan’ sejak beberapa tahun lalu. Penduduk yang makin sedikit menyebabkan surau tidak lagi disantuni.

Untuk solat berjemaah, solat sunat tarawih atau solat hari raya, penduduk dewasa yang tinggal hanya beberapa orang, pergi ke masjid di kampung sebelah, Kampung Sungai Haji Mohammad. Di sinilah gabungan penduduk dua kampung beribadat.

Maka tinggallah Surau Al-Aminiah dilupakan sehingga ke hari ini. Terasa sayu hati penulis apabila menatap surau yang pernah melalui detik kegemilangan kini terbiar diancam hujan dan panas.


Bahagian sisi Surau Al-Aminiah, Parit Serong, Bagan Datuk.


Walau pun ketika itu hanya ada kolam untuk mengambil air wudhuk dan suasana agak panas dalam surau kerana tiada kipas angin, keseronokan bersama-sama berhari raya mengatasi segalanya.

Selesai solat hari raya diadakan jamuan dengan juadah yang dibawa oleh jemaah. Pihak surau menyediakan minuman. Selepas itu jemaah berkunjung ke rumah penduduk sehinggalah bersurai menjelang tengah hari.

Selepas solat, saban tahun Pak Ajmain siap menuggu di kolong surau dengan buntil berisi duit syiling untuk diagih kepada kanak-kanak. Ada yang dapat sekupang (10 sen), dua kupang (20 sen) dan yang dapat lima kupang (50 sen).

Sekupang besar nilainya pada tahun 60-an. Nasi lemak dan kuih muih di kantin sekolah berharga lima sen. Bayangkan jika dapat 50 sen. Ketika itu sekati (600 gram) ikan kembong berharga hanya 25 sen!

Namun Pak Ajmain sudah lama pergi, begitu juga generasi lama yang ramai penulis kenali. Kampung sudah berubah, ada bekalan elektrik, air, telefon dan jalan bertar, kemudahan yang tidak pernah diimpikan sebelum ini.

Syukur dengan perubahan kampung tetapi ia tidak dapat mengembalikan keceriaan masa lalu. Perginya ramai penduduk menghadap Ilahi menyumbang kepada sunyinya kampung dan sepinya Surau Al-Aminiah, yang kini berdiri bagai ‘tugu’ ingatan yang sangat menyentuh kalbu.

‘Selamat Hari Raya Aidilfitri’ penduduk Kampung Parit Serong yang penulis sayangi. Salah silap mohon dimaafi. Semoga anda semua dalam perlindungan Allah. - KitaReporters


@kitareporters

Lidah Pengarang| Video| Selamat Hari Raya Aidilfitri! Raikan kemenangan dengan penuh kesyukuran! | KitaReporters: Berita Komuniti Cerita Menarik https://kitareporters.com/insan/QBeX6nlAby

♬ Serumpun - Mimifly

9
15
0
9
0

Copy Link: