Video| Mandi air bomba! Duit raya RM20! Sunathon Perdana di Masjid Al-Hasanah aman! Tiada lari diri!

Published by
KitaReporters

 

.


"SUNATON Perdana 4.0 di Masjid Al-Hasanah (MAH) tahun ini (2025) aman, tak ada kes peserta melarikan diri lagi untuk mengelak daripada bersunat. Alhamdulillah.

"Rata-rata ceria sejak pendaftaran pada awal pagi, berlari ke sana sini bersama rakan-rakan, ada juga bermain video game atau sekadar bersarapan dengan keluarga masing-masing sehingga nama mereka dipanggil untuk disunat di bilik khas yang disediakan.

"Setakat menjerit kecil tu biasa lah tapi untuk meraung meronta-ronta memang tak ada. Mereka semakin matang dan tahu bahawa bersunat itu adalah wajib bagi lelaki Muslim," kata Ketua Biro Kebajikan MAH, Mohd Johaary Abdul Hamid.


Majlis perasmian Sunaton Perdana 4.0 diadakan di dewan solat Masjid Al-Hasanah, Bandar Baru Bangi, Selangor.


Beliau berkata, selepas majlis perasmian dan mengambil gambar beramai-ramai, kanak-kanak dibawa ke luar masjid untuk mandi bersama-sama dengan pancutan air daripada pasukan bomba Bandar Baru Bangi selama 10 minit. Selepas itu, mereka ditempatkan di dewan masjid sebelum nama mereka dipanggil untuk berkhatan.

"Kami menjemput anggota bomba dari Bandar Baru Bangi Bagi memberi keseronokan bermain air, tahu lah kan budak-budak memang sukakan air dan ia juga akan menjadi kenangan seumur hidup selain memberi keselesaan apabila berkhatan nanti.


Mohd Johaary Abdul Hamid


"Selepas itu, mereka ditempatkan di dewan masjid sebelum nama dipanggil untuk berkhatan. Dan, ketika inilah, pelbagai ragam boleh dilihat, ada masih ceria, berlari ke sana sini seperti sebelumnya tapi beberapa peserta nampak mendiamkan diri dan melayan perasaan sendiri, mungkin gementar atau gemuruh ketika menunggu giliran.

"Biasa la ragam begini, pengalaman seumur hidup kan. Tapi, alhamdulillah ibu bapa yang hadir banyak membantu untuk memujuk dengan kata-kata lembut bagi meredakan tekanan perasaan anak-anak mereka.

Bagi yang masih ceria, mereka masih boleh tersenyum ketika nama dipanggil dan terus masuk ke bilik berkhatan tanpa perlu ditemani ibu atau ayah," katanya lagi.



Bukan main seronok dapat mandi manda dengan pancutan air daripada pasukan bomba Bandar Baru Bangi.


Menariknya program bersunat di MAH ialah setiap peserta yang selesai berkhatan, mereka akan disambut sukarelawan dan mendapat duit raya RM20.

"Kami memang menyediakan peruntukan itu bagi memberi keceriaan selain kenangan kepada peserta bahawa mereka pernah bersunat dan mendapat duit raya daripada MAH.

"Pemberian ini juga membuktikan MAH sentiasa menyantuni golongan kanak-kanak dan berperanan sebagai pusat komuniti yang sentiasa menjaga kebajikan masyarakat Islam setempat," kata Mohd Johaary.


Peserta melayan perasaan masing-masing menunggu giliran sebelum berkhatan.


Mohd Johaary berkata, ini adalah tahun keempat program Sunaton Perdana diadakan yang membabitkan seramai 101 kanak-kanak berusia di antara 6 hingga 12 tahun di Bandar Baru Bangi dan kawasan sekitar termasuk Kajang serta Putrajaya.

Beliau berkata, program itu diadakan bagi memudahkan ibu bapa melaksana tanggungjawab berkhatan untuk anak-anak mereka secara beramai-ramai dan mengurangkan beban kewangan mereka.

"Setiap anak-anak hanya dikenakan bayaran RM110 berbanding kos di antara RM250 hingga RM300 jika dilakukan di hospital atau klinik swasta. 

"Tiada bayaran dikenakan untuk anak-anak yatim dan asnaf, manakala kaedah berkhatan menggunakan laser haba kerana tempoh bersunat yang singkat, kadar penyembuhan lebih cepat dan tidak terlalu sakit.


Bersiap sedia dipanggil nama untuk dikhatan tapi masih sempat melayan telefon bimbit


"Program tahun ini juga lebih tersusun. Kami menyediakan sarapan pagi selain potluck, baju-T, tag nama, enam doktor pakar dan 10 jururawat dari MyMedikal Healthcare untuk operasi berkhatan selain 20 sukarelawan bagi melancarkan program terutama untuk pendaftaran dan menentukan giliran bersunat," katanya.

Keseluruhannya, beliau berpuas hati kerana program Sunaton Perdana 4.0 ini dapat diselesaikan dalam tempoh yang singkat, kira-kira jam 3 petang, semua peserta sudah berkhatan.

"Ia hasil kerjasama baik semua pihak termasuk ibu bapa, petugas daripada MyMedic dan peserta selain sukarelawan yang banyak membantu sehingga proses berkhatan menjadi lebih mudah dan lancar.


Dalam kes-kes tertentu, ibu terpaksa dipanggil untuk menenangkan si anak yang dalam proses bersunat.


"Inilah program keempat, maksudnya kita sudah ada pengalaman mengendalikan dengan baik malah hasil bedah siasat, kami dapat mengenal pasti perkara-perkara kecil untuk ditambah baik tahun ini (2025)," katanya.

Beliau berharap program berkhatan ini dapat diadakan sampai bila-bila kerana bersunat adalah satu tuntutan kepada anak-anak lelaki Muslim yang sudah akhir baligh selain ia membantu meringankan beban ibu bapa dengan peningkatan kos berkhatan.

"Berikutan sambutan baik ibu bapa terhadap aktiviti berkhatan ini, MAH akan mengadakan program yang sama pada akhir tahun ini, maksudnya kami mengadakan dua kali acara bersunat tahun ini, Insya-Allah," kata Mohd Johaary lagi. - KitaReporters


Alhamdulillah sudah selesai bersunat dan inilah peluang bermain "game" sepuas hati.

13
11
0
10
0

Copy Link: