Salah satu rangkaian perniagaan GISB yang ditutup selepas serbuan dilakukan 


PERGI (ketika ditahan dan dibawa ke markas khas di Pulau Pinang ) sehelai sepinggang. Balik bawa dua beg pakaian penuh, makan enam kali sehari dan ditawarkan bekerja di kantin markas itu.

Demikian kisah seorang gadis yang ditahan dan kini sudah dibebaskan serta dikembalikan ke pangkuan ibunya.

Dia ditahan ketika serbuan oleh pihak berkuasa ke rangkaian perniagaan Ikhwan Global Sdn Bhd (GISB) di Bandar Country Homes, Rawang, Selangor. 

Pada masa itu dia hanya bekerja sebagai tenaga sukarelawan di sebuah sekolah tadika di situ, diangkut bersama-sama ahli-ahli  pertubuhan itu.



Seorang gadis berusia 17 tahun pula yang mahu dikenali sebagai Seri berkata dia ditahan bersama rakan-rakannya yang sedang membantu kanak-kanak tadika di situ dan dibawa ke tempat berkenaan tanpa sempat menghubungi ibunya. Malah telefon yang dibawanya tidak dapat digunakan kerana kehabisan bateri.

Dia kemudian ditempatkan di sebuah kompleks di Pulau Pinang dan diberi penjagaan yang dianggapnya sebagai sangat luar biasa.

"Kami masuk sekolah seperti biasa. Makan minum tak berhabisan. Bayangkan sehari makan dalam enam kali dengan nasi dan lauk pauh yang sangat enak. Macam dijaga melebihi jagaan di rumah. 

"Kami juga bebas bersiar-siar di kawasan kompleks itu. Tiada kekerasan digunakan dan pakaian setiap masa diberi baharu," katanya yang kemudian ditawarkan bekerja di kantin markas itu.

Seri yang juga bekas pelajar tahfiz juga rajin membantu kakitangan di dapur di kompleks itu untuk menyediakan makanan kepada penghuni terbabit.

Sebelum ini, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata seramai 448 orang sudah dikembalikan kepada keluarga dan sehingga kini masih ada 112 kanak-kanak ditempatkan di pusat jagaan itu.

Beliau memaklumkan, lima kanak-kanak kini berada di bawah penjagaan Orang Yang Layak dan Sesuai, manakala 107 lagi ditempatkan di lapan institusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selepas mahkamah mengeluarkan perintah tetap serta interim.

“Ada ibu bapa yang ingin menuntut semula anak mereka tetapi mungkin dinasihatkan pihak tertentu untuk tidak berbuat demikian kerana takutkan tindakan kerajaan. Itu tidak adil," katanya.


Terima kasih kerana menjaga kebajikan anak saya dengan begitu baik sekali, kata ibu Seri.


Sementara itu, ibu Seri yang enggan disebut namanya, berkata sejak ditahan beberapa bulan lalu, dia berusaha menghubungi pihak berkuasa dan memohon bantuan polis untuk berhubung bertanya khabar tentang anaknya.

"Ibu mana tak bimbang. Saya hantarnya ke sekolah pagi itu dan tiba-tiba mendapat tahu Seri dibawa ke Pulau Pinang. Saya berhubung dari semasa ke semasa dengan pihak berkuasa untuk mengetahui keadaan  anak saya. Bila dia balik dan beritahu semua layanan yang diterima, Alhamdulillah," katanya.

Dia, yang sebelum itu diuji dengan kematian bapanya dan keadaan dapur tambahan di rumah sewanya yang dibuat oleh suaminya untuk kegunaan memasak bagi menyediakan jualan kena roboh, reda dengan ujian berkenaan yang dianggapnya sebagai "hadiah" sekembalinya daripada menunaikan haji pada tahun lalu (2024).

Dia berterima kasih kepada kerajaan kerana menjaga anak gadisnya dengan begitu baik dan masih berfikir sama ada mahu membenarkan anaknya bekerja di kompleks itu yang ditawarkan kepada anaknya kerana pengurus dapur kebajikan itu terpikat dengan kemahiran anaknya berniaga dan berkelakuan baik. 



Pada 25 September, 2024, berlaku kekecohan apabila pihak berkuasa termasuk polis dilaporkan mengambil tindakan tegas dengan membuat serbuan ke atas premis GISB @ GISBH yang dikatakan mengeksloitasi agama dan kanak-kanak.

Operasi yang dipanggil Operasi Op Global itu turut dibantu oleh 287 individu iaitu rakan strategik daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Kimia Malaysia bagi membanteras kegiatan jenayah itu. - KitaReporters

10
17
0
16
0

Copy Link: