Terima kasih! Diskaun 50% tol dihargai! Kerajaan tetap prihatin walaupun ekonomi dalam pemulihan!
Published byORANG ramai menyambut baik keputusan kerajaan untuk memberi 50% diskaun tol kepada pengguna jalan raya sempena sambutan Tahun Baharu Cina yang akan disambut pada 29 Januari 2025 ini sebagai satu tindakan prihatin kerajaan walaupun masih dalam pemulihan ekonomi negara.
Ahli Parlimen Selayang, William Leong mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Madani kerana diskaun itu separuh harga berbanding sebelum ini bebas tol, sekurang-kurangnya dapat membantu rakyat untuk balik ke kampung meraikan kedatangan tahun baharu itu.
"Kita faham kerajaan masih dalam pemulihan ekonomi dan dengan keadaan kewangan negara sekarang, kerajaan tetap mengutamakan kebajikan rakyat sebagaimana hala tuju untuk membantu rakyat terutama golongan sasaran di negara ini.
"Kerajaan kini sedang dalam usaha untuk mengukuhkan kewangan negara dan sedaya upaya mahu membantu meringankan beban yang ditanggung oleh rakyat." katanya.
Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengumumkan kerajaan memberi diskaun 50% kada biasa tol berkenaan sebagai penyelesaian sementara sebelum mengambil strategi memastikan kemudahan itu memenuhi kumpulan sasaran.
Anwar berkata kerajaan mahu menyediakan struktur kemudahan negara termasuk diskaun tol itu memenuhi golongan sasaran kerana selama ini pemberian bebas tol diambil peluang oleh golongan kaya dan pemandu kenderaan mewah menikmati kemudahan yang tidak sepatutnya mereka dapat.
William yang juga Bendahari Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Ketua PKR Selayang turut meminta rakyat menggunakan peluang menyambut tahun baharu dengan menjalinkan hubungan mesra antara keluarga, jiran dan penduduk di kampung bagi mengekalkan keharmonian yang selama ini terjalin.
Beliau mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina dan menasihatkan pengguna jalan raya berhati-hati ketika memandu.
"Pastikan kenderaan berada dalam keadaan elok. Kalau mengantuk berehatlah dulu. Kita pulang untuk bertemu dengan ahli keluarga, sahabat handai dan rakan-rakan lama di sekolah dekat kampung." katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Fesyen, Peragaan dan Peraduan Malaysia (MFMPA), Dr Jason Hee pula berharap diskaun tol 50% itu tidak akan menyekat peluang rakyat untuk pulang ke kampung bagi meraikan Tahun Ular yang membuka peluang untuk kejayaan dan kesejahteraan kepada semua.
"Sebagai Persatuan yang sebelum ini mengadakan Karnival Kebaya 2024, sentiasa menjelajah negara MFMPA berharap kerajaan dapat mengkaji kesan jangka panjang termasuk terus menyediakan perjalanan bebas tol yang betul-betul dapat dinikmati oleh golongan sasaran." katanya.
Sambil mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina, Dr Jason berkata pemberian diskaun tol atau bebas tol di musim perayaan ini bukan saja dapat meringankan bebas kewangan pengguna tetapi juga dapat memupuk rasa harmoni dan kesatuan ketika setiap kali sambutan musim perayaan.
"Kami menghargai pemberian diskaun ini. Tetapi dibandingkan tahun-tahun sebelum ini, tol adalah percuma dan MFMPA berharap kajian subsidi tol ini dapat menghapuskan terus tol untuk golongan B40," katanya yang sedikit bimbang diskaun itu akan memberi beban kewangan tambahan kepada pengguna jalan raya. - KitaReporters