Pernah berkurung dalam bilik! Anak nak makan KFC tapi tiada duit! Ibu tunggal bangkit demi anak-anak!
Published byTiada wanita mahukan rumah tangga yang dibina dengan cinta luhur berakhir dengan perceraian. Apatah lagi ketika itu anak-anak masil kecil dan memerlukan perhatian serta kasih sayang daripada ibu dan bapa.
Namun, apakan daya kudrat manusia untuk melawan takdir. Andai jodoh hanya sampai di situ sahaja, maka berakhirlah ia.
Bagi seorang wanita, lebih malang perceraian itu
andai diri tidak bersedia terutama dari segi kewangan. Bergantung sepenuh
kepada suami ketika rumah tangga masih lagi utuh, ia memberi kesan besar
setelah berlakunya perceraian sedangkan diri tidak mempunyai sebarang pekerjaan
dan simpanan wang.
Perasaan perit, pedih, tertekan mula bermain-main pada minda. Amukan rasa emosi yang tidak menyenangkan itu sangat menyeksakan apatah lagi kalau mempunyai anak-anak kecil.
Kalau anak-anak itu memiliki bapa yang bertanggungjawab, lapanglah sedikit rasa ketat pada dada. Kalau sebaliknya, pasti berganda rasa sedih di jiwa.
Bergelar ibu tunggal terutama pada masa kini sangat mencabar. Selain berperang dengan perasaan sendiri dan anak-anak, seseorang ibu tunggal itu juga perlu bergelut dengan stigma masyarakat sekeliling.
Hidup sentiasa perlu beralas adab dan bicara sentiasa disusun elok agar tidak menimbulkan fitnah. Apabila disebut janda atau ibu tunggal, pelbagai andaian buruk mula dilemparkan. Begitulah pahit manis kehidupan ibu tunggal.
Siti Hafizah Sabtu... Bukan mudah bergelar ibu tunggal atau janda kerana terpaksa berhadapan dengan stigma buruk masyarakat sekeliling.
Namun, ramai ibu tunggal pada era ini berjaya bangkit sehingga bergelar usahawanita cemerlang.
Gagal dalam rumag tangga tidak bermakna gagal dalam hidup. Kegagagalan tersebut dijadikan batu loncatan untuk berjaya. Demi anak-anak, seorang ibu mampu bangkit menjadi manusia luar biasa.
Pengalaman bergelar ibu tunggal sejak Januari 2020, membuatkan seorang wanita bernama Siti Hafizah Sabtu, 37, bertekad mengubah kehidupannya. Rumah tangga yang terbina atas rasa cinta akhirnya roboh. Ketika itu, dia tidak mempunyai apa-apa kecuali anak-anak yang masih kecil.
Menurut wanita yang menetap di Senawang, Negeri Sembilan ini, pada awal perceraian, dia seakan-akan tidak boleh menerima kenyataan.
Bertindak mengurung diri dalam bilik, siang malam Siti
Hafizah tertekan memikirkan masa depan anak-anak sementelah dia tidak mempunyai
sebarang pekerjaan. Bagaimana dia mahu menyara empat orang anaknya. Dadanya
makin sesak. Esak tangisnya mula kedengaran. Fikirannya terus buntu, pegun
tanpa sebarang buah akal.
“Seminggu lepas bercerai, saya berkurung dalam bilik. Saya buntu tak tahu nak mula dari mana untuk meneruskan kehidupan. Apa nak kena buat supaya ada duit nak sara empat anak saya yang masih kecil ni?
"Nak cari kerja, saya memang tak pernah bekerja selama ni. Sejak remaja sampai habis diploma, saya terus kahwin pada tahun 2011.
"Kalau saya kerja, siapa nak jaga anak? Hantar pengasuh entah berapalah saya perlu bayar untuk empat orang anak ni,” cerita Siti Hafizah yang mempunyai empat orang anak berumur antara empat hingga 11 tahun.
Menurutnya, perkara yang paling dia bimbang saat bergelar ibu tunggal ialah kewangan. Nafkah anak-anak yang diberikan oleh bekas suami memang tidak mencukupi. Sebagai ibu, hatinya luluh melihat keinginan anak-anak terbantut gara-gara tidak mempunyai wang.
Demi anak-anak Siti Hafizah akhirnya bangkit menempa kejayaan.
“Pengalaman paling pahit apabila jadi ibu tunggal yang tidak bekerja ini adalah bab kewangan. Saya memang susah bab duit.
"Paling sakit apabila nafkah anak-anak tak mencukupi. Anak-anak minta nak makan KFC saya tak mampu nak beli. Nak beli mainan dekat kedai Eco yang cuma RM2.40 itu pun bercatu.
"Ada yang tanya kenapa tak minta tolong dengan keluarga atau keluarga bekas suami? Boleh je minta semua tu tapi sampai bila? Teringat ayat anak sulung saat lalu dekat kedai mainan, dia boleh tanya adik-adik dia.
“Adik nak mainan ke?” Adik angguk kepala. Dia jawab, “tunggu mommy ada duit, nanti mommy belikan. Mommy tengah tiada duit, adik sabar ya.” Masa dengar tu, dalam hati dah menangis. Maafkan mommy. Mommy tak mampu.
"Itulah pengalaman pahit masa mula jadi ibu tunggal. Seperkara lagi, apabila jadi ibu tunggal, apa saja yang kita buat dan cakap, akan jadi perhatian orang. Senang cakap, jadi ibu tunggal kena behave. Bimbang tindakan kita disalahertikan,” ceritanya.
Bangkit demi anak-anak
Kekuatan seorang ibu adalah anak-anak. Seorang ibu sanggup melakukan apa sahaja demi anak-anak. Begitulah yang dilalui Siti Hafizah dalam membesarkan anak-anak sendirian.
Kalau ikutkan rasa down, sebulan dua pun belum tentu cukup. Tetapi bagaimana keadaan anak-anak kalau berterusan bersikap sedemikian? Jangan disebabkan perceraian, anak-anak menjadi mangsa.
“Saya fikir, sampai bila saya nak berkurung dalam
bilik. Sampai bila hanya nak harapkan duit nafkah yang tak seberapa tu? Nafkah
itu untuk anak, bukan untuk saya. Saya kena cari duit sendiri walau apa juga
situasi.
“Kemudian saya all out jadi ejen lip matte secara online. Alhamdulillah, saya berjaya capai target jualan RM10k dalam masa tiga bulan. Ini kiranya kejayaan peribadi terbesar saya.
"Terus tanya anak-anak siapa nak makan KFC? Semua angkat tangan. Rasa nak menangis je bila ingat saat tu. Lepas tu anak sulung tanya, “boleh tak kita beli mainan dekat kedai Eco? Beli dua mainan je.” Apabila cakap okay, happy gila muka anak-anak. Rasa penat tak tidur malam tu berbaloi sangat. Apabila kita gembirakan anak-anak, rezeki mencurah-curah masuk.
“Boleh saya katakan, anak-anaklah yang jadi faktor saya bangkit daripada kemelut perpisahan dengan bekas suami. Saya tak nak terus bersedih kerana hal itu cuma jadi penghalang saya cari duit untuk sara anak-anak. Kalau saya sedih, macam mana nak cari duit?” soal Siti Hafizah.
Siti Hafizah bersyukur kini dia mempunyai produk sendiri.
Walaupun kini Siti Hafizah sudah boleh menarik nafas lega, namun akuinya masih banyak lagi yang perlu dilakukan dalam perniagaan. Dia kini mula berjinak-jinak dengan perniagaan sendiri.
"Setapak demi setapak disusun penuh hati-hati dalam dunia perniagaan. Kalau sebelum ini dia menjual barang milik orang lain, kini dia mula menjual barang milik sendiri.
“Saya belum rasa yang saya berjaya lagi. Saya masih baru lagi berjinak-jinak dalam dunia bisnes dengan mengeluarkan produk sendiri. FS Hijab Spray pun baru sahaja berusia dua bulan di pasaran.
"Cuma di sini saya nampak betapa luasnya dunia bisnes ini sebenarnya. Sebelum ini, saya buat bisnes online jual produk orang. Tapi segalanya berubah apabila saya kecewa dengan tindakan HQ produk tersebut.
“Lepas capai RM10k pertama, jualan saya jatuh merudum apabila HQ mula menjual menggunakan link HQ sehingga ejen susah nak cari makan. Saya baru nak serius betul-betul dengan bisnes lip matte tapi tiba-tiba pendapatan saya hilang begitu saja.
"Apa yang saya buat, saya keep focus. Mulakan langkah dengan bergerak sendiri. Saya buat produk sendiri atas dorongan sahabat. Kami brainstorm idea sama-sama.
"Alhamdulillah selepas FS Hijab Spray dilancarkan, 200 botol terjual tak sampai sebulan. Syukur sangat. Mungkin pada orang lain jumlah 200 botol ini kecil, tapi pada saya ia satu kejayaan yang sangat besar,” luahnya.
Selepas seminggu bercerai, Siti Hafizah berkurung dalam bilik kerana terlalu sedih dan tertekan.
Bercerita mengenai perniagannya ini, menurut Siti Hafizah dia memilihnya kerana ia tidak memerlukan modal yang besar. FS Hijab Spray adalah produk semburan untuk tudung.
Sebelum memulakan perniagaan ini, Siti Hafizah sudah mengkaji kehendak pelanggan-pelanggannya. Walaupun sebelum ini Siti Hafizah tidak pernah bekerja, namun dia sebenarnya sudah biasa dengan perniagaan dalam talian.
“Sebagai mana yang saya pernah katakan, saya
bukanlah orang kaya yang ada modal besar untuk memulakan perniagaan sendiri.
Bajet saya terhad. Justeru saya pilih produk yang tidak memerlukan modal besar.
“Semburan untuk tudung adalah produk yang tidak memerlukan bajet tinggi. Lagipun, saya dah kaji pelanggan saya iaitu mereka yang suka pakai tudung bawal. Apatah lagi dengan kemunculan pelbagai jenama tudung bawal di pasaran dan menjadi kesukaan ramai wanita.
"Jadi, kemunculan FS Hijab Spray adalah untuk menyertai kehangatan pasaran tudung bawal kerana semburan ini mampu menjadikan penampilan si pemakai tudung bawal bertambah ayu.
“Sebelum wujudnya FS Hijab Spray, saya sudah lama berada dalam dunia perniagaan dalam talian. Saya bermula sejak tahun 2012. Saya sudah jual bermacam-macam produk orang sebagai ejen dan stokis. Saya sudah faham perjalanan bisnes yang menggunakan sistem ejen. Saya mahir menguruskan Facebook Ads,” ceritanya.
Sudah dua bulan produk FS Hijab Spray berada di pasaran.
Adat dalam perniagaan pasti ada jatuh bangun. Kalau mahu bergelumang dengan bidang ini, diri dan mental kena kuat.
Menurut Siti Hafizah, banyak perkara boleh buat kita lemah semangat. Salah satunya apabila dikhianati orang yang paling dipercayai.
Malah, ketika dia menjadi ejen, dia pernah rugi beribu-ribu ringgit disebabkan restock terlalu banyak dan akhirnya barang tidak laku atas pelbagai sebab. Ketika itu, memang sangat tertekan memikirkan barang banyak tetapi susah nak jual.
“Orang bisnes kena pandai pilih kawan. Macam saya, saya baru sahaja berjinak-jinak sebagai pengasas produk. Produk saya pun cuma ada satu saja buat masa ini.
"Insya-Allah dalam tahun 2023 ini, akan ada tiga produk di bawah jenama FS. Jadi, saya kurang memikirkan masalah, sebaliknya lebih fokus memikirkan peluang yang ada di depan. Semuanya demi anak-anak saya,” luahnya.
Pengalaman sama ada pahit atau manis ia tetap memberi manfaat buat orang yang berfikir. Nasib dan rezeki setiap orang berbeza. Tak salah andai kita berkongsi pengalaman tersebut kepada orang yang senasib agar boleh dijadikan panduan.
Tegas Siti Hafizah, sebagai ibu tunggal, jangan mudah berputus asa. Terus kuat demi anak-anak.
“Saya berpisah pada tahun 2020 iaitu ketika seluruh dunia dilanda pandemik. Keadaan ketika itu memang semua orang sedia maklum bagaimana cabarannya buat sesebuah rumah tangga apatah lagi bagi saya sebagai ibu tunggal.
"Sayalah ibu, sayalah ayah bagi anak-anak. Jika boleh dianggap sebagai nasihat, saya hanya ingin golongan ibu tunggal supaya tidak mudah putus asa. Walau apa juga ujian yang datang, teruslah kuat demi anak-anak.
“Jika anda boleh keluar bekerja, teruskan bekerja. Jika tidak boleh bekerja kerana fokus kepada anak-anak, buatlah sesuatu yang boleh mendatangkan kewangan kerana zaman sekarang, duit amat penting untuk meneruskan kelangsungan hidup.
"Orang boleh bercakap apa sahaja tentang kita sebagai ibu tunggal. Kita tak boleh halang mulut orang untuk terus berkata-kata. Apa yang boleh kita buat adalah terus berusaha,” akhirinya. - KitaReporters
Rakan-rakan sentiasa memberi sokongan dan semangat.