KELAS asas al-Quran dan tadabbur serta kelas tafsir al-Quran umpama kolaborasi terbaik Pusat Jagaan Pertubuhan Kebajikan Warga Emas Langkasuka, Kubang Pasu (Pewaris) dengan penduduk di sekitar Kampung Lahar, Mukim Malau di Jitra, Kedah yang diaktifkan sejak empat bulan lalu.

Timbalan Pengerusi Pewaris, Mohd Afandi Mohd Kasim mengendalikan kelas al-Quran dan tadabbur, manakala Pegawai Agama Islam, Pusat Islam Universiti Utara Malaysia (UUM), Ustaz Mohd Yusnaidi Md Sabri mengemudi kelas tafsir al-Quran yang diadakan pada Jumaat  setiap minggu kini semakin mendapat sambutan.


Warga emas di Kampung Lahar tetap bersemangat mengikuti kelas mengaji dan tafsir al-Quran yang disediakan oleh Pusat Jagaan Pertubuhan Kebajikan Warga Emas Langkasuka, Kubang Pasu (Pewaris).


Mohd Afandi berkata, pembukaan asrama sementara pusat jagaan warga emas Pewaris di kampung itu memberi manfaat yang amat berguna kepada penduduk sekitar untuk mengikuti kelas mengaji al-Quran dan tafsir bagi mengisi masa lapang mereka pada hujung minggu secara percuma.

Menurutnya, pembukaan kelas itu juga sebagai tanda terima kasih di atas sikap terbuka penduduk untuk menerima pembukaan pusat jagaan berkenaan di kampung itu malah sering berkongsi rezeki dan menginfak sumbangan bagi membantu operasi.

Tambahnya, mereka juga turut menyantuni warga emas yang menjadi penghuni di asrama pusat jagaan berkenaan apabila mengambil kesempatan beramah mesra dan bertanya khabar supaya tidak berasa terlalu tertekan berjauhan daripada ahli keluarga atau anak.


Beberapa penduduk dan pelawat berada di luar dewan bagi melihat perjalanan kelas mengaji al-Quran.


“Kami berharap kewujudan asrama sementara warga emas oleh Pewaris ini berada dalam keadaan sentiasa harmoni selain berupaya memberi ketenangan kepada penghuni serta akan disantuni dengan sebaik mungkin sebagaimana diamanah oleh ahli keluarga mereka,” ujarnya.

Beliau ditemui ketika menerima kunjungan wakil pertubuhan bukan Kerajaan (NGO) untuk menyampaikan infak serta sumbangan pelbagai barangan makanan asas kepada Pewaris bagi meringankan bebanan operasi.

Turut hadir pada majlis itu, Setiausaha Pewaris, Azmi Mat Napiah; Pengerusi Persatuan Kebajikan Mahmudah Malaysia, Azman Rasman; Ketua Sahabat Kelas al-Quran, Bandar Tun Hussein Onn, Cheras, Selangor, Alias Ahmad; dan wakil Sahabat Prihatin Semenyih, Selangor, Mohiadin Bahado.


Mohd Afandi Mohd Kassim mengendalikan kelas mengaji al-Quran untuk penduduk warga emas di Dewan Imam Nawawi, Asrama Pusat Jagaan Warga Emas Pewaris Langkasuka, di Kampung Lahar, Mukim Malau, Jitra Kedah.


Sementara itu, Azmi pula berkata, banyak kemudahan yang diperoleh Pewaris untuk asrama itu adalah infak atau sumbangan serta wakaf daripada pelbagai pihak seperti katil perubatan, kerusi roda dan sebagainya untuk kegunaan warga emas terutama yang menghadapi masalah kesihatan.

Jelas beliau, kerana baru beroperasi dan dalam proses mendapatkan lesen, pihak Jabatan Kebajikan  Masyarakat (JKM) hanya membenarkan Pewaris mengambil empat warga emas sahaja buat sementara waktu untuk dijaga.

Menurutnya, bagaimanapun penduduk kampung juga banyak bantu menghulurkan sumbangan di samping beberapa agensi serta individu perseorangan yang turut padang dating menziarah asrama pusat jagaan untuk melihat sendiri warga emas dijaga. 

Menurutnya, sebaik sahaja mendapat lesen yang sah dan boleh menambah bilangan warga emas untuk dijaga, mungkin ramai akan datang melihat operasi asrama pusat jagaan itu mengurus serta menyantuni warga emas.


Azmi Mat Napiah memberi penerangan kepada penduduk mengenai sumbangan pelbagai barangan makanan asas yang diterima untuk dinikmati warga emas di asrama pusat jagaan itu.


Mengenai kelas mengaji berkenaan, Azmi berkata, aktiviti itu memberi peluang kepada warga emas yang datang dari pelbagai daerah juga negeri bergaul dengan penduduk dalam program ilmu agama yang sangat berguna di samping menghindarkan wasangka kurang tepat.

Katanya, selain kelas mengaji itu, seorang ustazah ditugaskan setiap hari untuk datang mengajar mengaji warga emas terbabit kesannya ada seorang daripada mereka sudah berjaya khatan al-Quran selepas empat bulan menghuni asrama pusat jagaan itu.

“Selain membawa warga emas ini beriadah, mereka turut didedahkan dengan aktiviti membuat bedak sejuk sebagai salah satu usaha menghilangkan rasa tertekan atau bosan mereka sepanjang berada di asrama pusat jagaan.

“Pewaris juga akan sentiasa melakukan penambahbaikan demi keselesaan warga emas yang disantuni sebagaimana yang menjadi harapan ahli keluarga atau saudara mara mereka selepas meminta untuk menjaganya,” ujar beliau. - KitaReporters


Mohd Afandi (dua dari kanan) menerima sumbangan wang zakat serta derma dan pelbagai barangan makanan asas daripada wakil NGO, Alias Ahmad.

22
17
0
24
0

Copy Link: