Rakyat tak wajar dibebankan dengan kemelut politik tiada kesudahan! Agong perkenan lantik Anwar PM10!
Published byYang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah rakyat jelata tidak wajar dibebankan dengan kemelut politik yang tiada kesudahan tatkala negara memerlukan sebuah kerajaan yang stabil untuk merancakkan landskap ekonomi dan pembangunan negara.
Sehubungan itu, Al-Sultan Abdullah memberi perkenan untuk melantik Dato' Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10 selaras dengan kuasa baginda yang diperuntukkan di bawah Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2) (a) Perlembagaan Persekutuan.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Anwar Ibrahim
Yang di-Pertuan Agong, mengingatkan kepada semua pihak bahawa yang menang tidak menang semua dan yang kalah tidak kalah semua.
"Justeru, bagaikan biduk lalu, kiambang bertaut, hulurkan tangan antara satu dengan yang lain bagi merapatkan semula saf antara semua ahli-ahli Dewan Rakyat demi masa depan negara tercinta.
"Seri Paduka baginda menegaskan bahawa negara ini umpama harta pusaka di mana para pemimpin adalah pemegang amanahnya. Harta pusaka ini perlu dijaga kerana ianya bakal diwarisi generasi muda yang akan membawa negara terus ke mercu kejayaan.
"Seri Paduka baginda turut berpesan kepada Perdana Menteri dan Kerajaan baharu baginda yang bakal dibentuk untuk mengambil resmi padi, semakin berisi semakin tunduk.
"Hakikatnya, rakyat jelata tidak wajar dibebankan dengan kemelut politik yang tiada kesudahan tatkala negara memerlukan sebuah Kerajaan yang stabil untuk merancakkan lanskap ekonomi dan pembangunan negara.
"Ahli-ahli Dewan Rakyat yang telah dipilih oleh rakyat turut diingatkan supaya mempamerkan solidariti dengan memberikan keutamaan, komitmen yang tinggi dan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat," titah baginda dalam satu kenyataan media pada 24 November 2022. - KitaReporters