Jamil Dol menunjukkan rumahnya yang sudah siap dibina sejak dua tahun lalu tetapi masih belum menerima bekalan elektrik dan air.


Hanya tiang! Salah sebuah rumah yang terbengkalai pembinaannya akibat tiada bekalan kemudahan asas di Kampung Baharu Batu Lima, Jalan Labis-Chemplak, Labis, Johor.


Lebih 200 pemilik tanah lot kediaman di Kampung Baharu Batu 5, Jalan Labis-Chemplak, Labis, Johor mendakwa mereka 'dianaktirikan' oleh pihak berwajib kerana kawasan tersebut tidak disediakan kemudahan asas seperti bekalan elektrik dan air terawat selain kemudahan jalan.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kampung tersebut, Hamzah Mahat, 63, berkata, setakat ini terdapat tujuh biji rumah siap dibina oleh pemilik tanah lot yang dikurniakan oleh kerajaan negeri pada tahun 1986 itu, namun kediaman tersebut tidak dapat diduduki kerana tidak mempunyai kemudahan asas tersebut 

"Apa yang kami kesalkan masalah ini sudah berlarutan lebih 3 dekad dan permohonan kami untuk mendapatkan kemudahan asas di kawasan tersebut tidak mendapat perhatian sewajarnya daripada pihak berwajib walaupun sudah membuat permohonan mengikut prosedur yang diperlukan.

Hamzah Mahat


"Disebabkan tiada jalan, kawasan ini terbiar menjadi belukar dan tidak dapat dibangunkan sebagai kawasan penempatan selama lebih 20 tahun.

"Sebelum ini, pemilik berpakat mengeluarkan wang sendiri sebanyak RM2,000 setiap pemilik untuk membersihkan kawasan serta membuat jalan," katanya ketika ditemui pada 2 November 2024 lalu.

Katanya, selepas pembinaan jalan masuk, pemilik mula mendirikan rumah dengan hasrat untuk menetap di kampung tersebut memandangkan rata-rata mereka tidak mempunyai kediaman lain selepas bersara.

Menurutnya, setakat ini terdapat tujuh buah rumah sudah siap sepenuhnya dan terdapat 16 permohonan untuk membina rumah di bawah projek Rumah Mesra Rakyat  (RMR) yang kebanyakannya sudah diluluskan tetapi kerja-kerja pembinaan tidak dapat dimulakan berikutan tiada bekalan air dan elektrik di kawasan tersebut.

Jamil Dol


Jalan tanah yang tidak diturap di sekitar kawasan kampung dan dibina hasil sumbangan pemilik lot sudah mulai ditumbuhi semak samun.


Sementara itu Jamil Dol, 59, pekerja kilang sawit Felcra Bukit Kepong, Johor yang akan bersara wajib pada bulan Disember 2024 ini melahirkan rasa sedih kerana terpaksa menduduki rumah yang sudah siap dibina sejak dua tahun lalu tanpa kemudahan asas tersebut mulai bulan Disember 2024 ini kerana tidak memiliki kediaman lain.

Katanya, sebelum ini dia sekeluarga tinggal di kuarters yang disediakan oleh majikannya. Namun selepas menamatkan perkhidmatan pada hujung bulan November 2024 ini, dia tidak lagi dibenarkan tinggal di kuarters tersebut dan terpaksa berpindah ke rumah baharu itu walaupun tanpa kemudahan asas.

Tambahnya, dia telah membelanjakan RM170,000 wang simpanan untuk mendirikan rumah tersebut dan kecewa terpaksa bergantung kepada air hujan dan lampu solar apabila berpindah ke rumah tersebut pada bulan depan (Disember 2024).

Rumah Rosmin Sadat yang sudah siap sepenuhnya sejak hampir dua tahun lalu turut tidak boleh didiami disebabkan tiada kemudahan asas.


Rosmin Sadat


Rosmin Sadat, 57,  yang sudah bersara  terpaksa menangguhkan hasrat untuk pulang ke kampung sejak lebih setahun lalu dan terpaksa menyewa di Kuala Lumpur walaupun rumahnya sudah disiapkan sejak hampir dua tahun lalu.

Dia melahirkan rasa kecewa terpaksa mengeluarkan belanja yang agak tinggi bagi tujuan menyewa rumah di Kuala Lumpur hanya kerana tidak boleh menduduki rumah baharunya itu walaupun kesemua kelengkapan seperti perabut sudah dipindahkannya sebelum ini.

"Saya berharap masalah kami ini diberi perhatian segera oleh pihak berwajib kerana rata-rata kami tidak mempunyai kediaman lain selepas bersara dan ini satu-satunya lot rumah yang kami miliki untuk membina rumah kediaman selepas bersara.

"Tidak ada alasan untuk membanggunkan kawasan ini kerana ianya bukan kawasan terpencil memandangkan kedudukannya hanya kira-kira enam kilometer dari Pekan Labis dan terletak di tepi jalan utama Labis-Chemplak," katanya. - KitaReporters

Salah satu daripada tujuh buah hrmah yang sudah siap dibina tetapi tidak oleh diduduki kerana tiada bekalan air dan elektrik di Kampung Baharu Batu Lima, Jalan Labis-Chemplak, Labis, Johor.

7
14
0
10
0

Copy Link: