Syabas MARDI, Masjid Al-Hasanah! Projek urbankit untuk warga kota yang sibuk! Bantu golongan miskin!
Published byUrbankit adalah sistem akuaponik, menggabungkan tanaman sayuran, herba dan ulaman dengan ternakan ikan air tawar.
"SAYA melihat masyarakat di ibu kota terlalu sibuk, pagi tergesa-gesa menghantar anak-anak ke taska atau pengasuh, kemudian dalam perjalanan ke tempat kerja dah "sangkut" dengan kesesakan lalu lintas, di pejabat kerja harian menimbun dan tak pernah habis, jadi bila mereka mempunyai masa bercucuk tanam?
"Lalu, saya berfikir bagaimana mahu membantu bagi menangani masalah ini atau sekurang-kurangnya jika saya dapat mencipta sesuatu inovasi, ia dapat diwariskan kepada anak bangsa dan negara."Lantas, apabila bersama Institut Penyelidikan Pertanian dan Kemajuan Pertanian (MARDI), saya membuat kajian dan mengkaji beberapa sistem pertanian di pasaran."Hasilnya selepas dua tahun, lahirlah urbankit, sistem pertanian yang dicipta untuk warga kota yang sentiasa sibuk," kata Pegawai Penyelidik Kanan MARDI, Mohd Johaary Abdul Hamid.
Urbankit adalah projek komuniti pertanian antara MARDI dan Masjid Al-Hasanah bagi membantu peserta terdiri daripada golongan B40, asnaf dan anak-anak yatim serta ibu tunggal.
Beliau berkata demikian selepas meraikan pelajar dari Kolej Kediaman Mawar, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor yang mengunjungi kebun komuniti Masjid Al-Hasanah, Bandar Baru Bangi, Selangor bagi melihat sendiri bagaimana urbankit berperanan sebagai perantara untuk bercucuk tanam secara ringkas dan mendapat hasil lumayan.
Urbankit adalah sistem akuaponik, menggabungkan tanaman sayuran, herba dan ulaman dengan ternakan ikan air tawar. Ia dibangunkan khusus untuk penduduk di bandar dan pinggir bandar selain kediaman bertingkat, menggunakan alatan ringkas dan mudah.Hasil ikan, sayur-sayuran, ulam-ulaman dan herba menerusi urbankit selamat dimakan dan bertepatan dengan konsep teknologi hijau (organik) kerana tidak menggunakan racun perosak dan baja kimia."Pada tahun 2019 MARDI bekerjasama dengan Masjid Al-Hasanah membangunkan projek urbankit dengan geran sebanyak RM150,000 daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).
"Pihak masjid juga menyediakan lokasi dan 104 peserta, terdiri daripada komuniti B40, asnaf serta pelajar tahfiz selain 70 unit urbankit.
"Peserta diberi kursus intensif urbankit seperti penanaman, penjagaan dan penyelenggaraan. Ada empat tingkat dan di bawah sekali ialah tangki ikan, tidak perlu menyiram kerana ia menggunakan pengairan sistematik malah kerja penyelenggaraan hanya dilakukan sekurang-kurangnya empat bulan sekali," katanya.
Mohd Johaary Abdul Hamid
Beliau yang juga Ketua Biro Kebajikan Masjid Al-Hasanah berkata, urbankit menggunakan air yang dikitar semula, menjimatkan kos sehingga 60 peratus penggunaan air. Kos bekalan elektrik juga rendah iaitu kira-kira RM3.97 sebulan.
Dalam tempoh jangka panjang, pihaknya ada rancangan untuk menggunakan cahaya buatan bagi membolehkan urbankit diletak dalam rumah sebagai hiasan landskap.
Menurutnya, dalam sistem urbankit, tangki ikan ibarat jantung kerana ia mempunyai pam untuk menyedut najis dan lebihan makanan ikan ke penapis bio yang terdiri dari batu, hidroball dan tanaman berair untuk mewujudkan kitaran nitrogen.
Dari sini, ammonia akan diurai oleh dua jenis bakteria baik sehingga terhasil nitrit dan nitrat yang amat diperlukan tumbuhan untuk tumbesaran.
"Akar tumbuhan pula akan menapis secara semula jadi segala kekotoran dan menghasilkan air bersih untuk disalirkan kepada tangki ikan. Inilah dikatakan proses menang menang, kedua-dua hidupan itu, ikan dan tumbuhan membantu di antara satu sama lain untuk pertumbuhan dengan bantuan penapis bio," katanya.
Katanya, deruan air yang mengalir juga menjadi terapi minda dan anda boleh berada seharian di sini untuk menikmati ketenangan selepas penat bekerja di pejabat.
Urbankita juga antikarat kerana diperbuat dari bahan aluminium selain kurang penyelenggaraan dan jauh lebih murah untuk jangka panjang berbanding kaedah konvensional.
Pelajar dari UiTM bertanya sesuatu dengan petugas kebun komuniti Masjid Al-Hasanah mengenai operasi pengurusan urbankit.
"Aktiviti di tapak urbankit memupuk semangat kerjasama dalam kalangan peserta pelbagai lapisan latar belakang. Sayuran dan ikan yang dihasilkan di sini berkualiti dan bagus dimakan kerana tiada menggunakan bahan kimia, semuanya dilakukan secara semula jadi.
"Urbankit turut diperluas ke beberapa lokasi lain antaranya Bandar Rinching, Semenyih. Dan, Masjid Al-Hasanah kini menjadi pelopor di Malaysia dan mungkin di dunia selain rujukan kepada pihak yang mahu mengusahakan di tempat mereka."Tahun depan, masjid ini dipilih antara empat masjid di Selangor bertanding sebagai pusat ibadah terbaik peringkat kebangsaan," katanya.
Mohd Johaary juga berkata, urbankit amat berbaloi jika diusahakan dalam komuniti atau persatuan penduduk kerana lebih menjimatkan dan tidak memerlukan kos tinggi.
Mesin itu boleh digerakkan kerana ia menggunakan roda, tahan karat selain penjagaannya mudah, boleh dilakukan tugas secara giliran.
Petugas kebun komuniti Masjid Al-Hasanah menunjukkan cara untuk menyiang ikan keli yang diternak menggunakan urbankit.
"Saya berharap urbankit boleh memupuk peserta menjadi usahawan, pembayar zakat tegar malah jutawan terutama dalam pengeluaran jus pegaga.
"Apabila mendapat mesin nanti, saya yakin pengeluaran dapat ditingkatkan untuk pasaran dalam dan luar negara. Pastinya ini akan memberi manfaat kepada peserta dan masjid.
"Kami turut memberi galakan kepada beberapa surau di bawah kariah Masjid Al-Hasanah untuk menanam pegaga bagi menampung kekurangan bekalan menghasilkan jus pegaga selain mencari kawasan-kawasan baru menempatkan urbankit antaranya di Semenyih dan Hulu Langat."Alhamdulillah, saya dan rakan-rakan berjaya mendapat geran RM1 juta daripada Kementerian Kewangan bagi meluaskan prospek urbankit di enam lokasi antaranya di Perkim Pengkalan Chepa Kelantan; Masjid Behrang, Perak; Pusat Aktiviti Warga Emas di Jengka, Pahang; penjara Sungai Buloh; KRT Batu Caves; dan yang membabitkan penyertaan ibu-ibu tunggal dan penduduk Presint 9, Putrajaya.
Pelajar Kolej Kediaman Mawar UiTM berharap dapat menjalankan projek pertanian di kampus mereka di Shah Alam menggunakan konsep urbankit.
"Syukur, melalui projek urbankit kami dapat berkongsi rezeki antara masjid, koperasi dan peserta.
"Inilah cita-cita saya dan berharap kebaikan ini akan berterusan walaupun saya sudah tiada lagi di dunia, sekurang-kurangnya pahalanya akan mengalir dan menjadi bekalan saya di alam sana," katanya.
Beliau juga yakin dengan urbankit dan potensi tanaman pegaga kerana terbaru MARDI menghasilkan sup pegaga secara serbuk, dan ia diharap dapat dimanfaat untuk projek urbankit di Masjid Al-Hasanah dan tempat-tempat lain. "Terima kasih atas sokongan semua pihak sehingga membolehkan urbankita memenangi pelbagai hadiah kecemerlangan, antaranya Anugerah Usahawan Sosial - Anugerah MCY 2022 semasa Sidang Kemuncak Tahun Pengkomersialan Malaysia (MCY Summit) pada 3 Ogos 2023."Saya juga bercadang membangunkan urbankit untuk pelajar sekolah bagi sesi pembelajaran pilihan di sekolah selain sistem akademik supaya selepas meninggalkan alam persekolahan atau universiti, mereka sudah ada pilihan pekerjaan sama ada menjadi usahawan urbankit atau kerja makan gaji," katanya.
Prof Madya Dr Mohd Rozi Mat Nawi
Sementara itu, bagi Pengetua Kolej Kediaman Mawar, UiTM, Prof Madya Dr Mohd Rozi Mat Nawi, lawatan itu di bawah program Inovasi Pelajar bagi melihat sendiri projek urbankit dan pendedahan kepada pelajar kerana pihaknya bercadang melaksanakan konsep pertanian itu nanti.
"Alhamdulillah kami mendapat penerangan jelas mengenai teknologi urbankit dan ia sangat memberi manfaat apabila ia dilaksanakan di kolej kediaman Mawar tidak lama lagi."Peruntukan kewangan yang diperolehi daripada UiTM, kami akan guna untuk membeli dan membina konsep seperti urbankit.
"Cuma, kami berharap, Masjid Hasanah dan MARDI akan memberi latihan supaya pelajar yang mengambil bahagian nanti mahir menggunakan teknologi hijau itu bagi menghasilkan bekalan sayur kepada kampus atau menjualnya di pasaran bagi menambah pendapatan.
"Saya juga berminat dengan jus pegaga, dan diberitahu pengeluarannya agak kurang berbanding permintaan. Jadi, kami akan beri perhatian dan mungkin menampung kekurangan sedia ada untuk membekalkan kepada koperasi Masjid Al-Hasanah," katanya.
Latifah Amir
Dalam pada itu, salah seorang peserta projek urbankit, Latifah Amir, berkata sayur-sayuran yang dihasilkan sangat segar berbanding jika membeli di luar.
Dulu, mereka menanam pelbagai tanaman seperti cili, tomato, bayam brazil, bendi dan ulam raja. Kini, kebanyakan tanaman ialah daun pegaga kerana mereka menghasilkan jus pegaga untuk pasaran.
"Pasaran jus pegaga amat memuaskan malah pengeluaran sedia ada tidak mencukupi untuk menampung permintaan, bukan hanya di sekitar Bangi tapi negeri-negeri lain."Pihak MARDI juga memberi kepakaran bagi memastikan jus yang dulu tahan kira-kira dua minggu kini dapat bertahan sehingga 14 bulan," kata beliau.
Menurutnya, projek ini dijalankan sejak empat tahun lalu dan semua peserta mendapat latihan daripada MARDI cara menggunakan urbankit tapi kini hanya ada 16 peserta yang betul-betul serius.
"Urbankit dapat memberi pendapatan tambahan, sesuai untuk golongan ibu tunggal, B40, asnaf dan penduduk yang tinggal di rumah bertingkat kerana ia mengurangkan perbelanjaan dapur dan boleh dilakukan tanpa menggunakan tanah.
"Semua ikan boleh diternak tapi kami memilih ikan keling kerana ia mudah. tahan lasak dan tidak perlu banyak penjagaan berbanding ikan air tawar lain agak manja.
"Alhamdulillah, sejak menjadi peserta, saya tidak perlu membeli sayur lagi, apatah lagi harga sekarang pun mahal selain boleh dijual atau sedekah kepada jiran," katanya lagi. - KitaReporters