Gambar hiasan... Zaibar Automobile Industries Sdn Bhd.


UNTUK menghilangkan stres serta menenangkan minda apabila setiap hari terpaksa melayan pelanggan bagi mendapatkan khidmat yang terbaik, 16 kakitangan Zaibar Automobile Industries Sdn Bhd, Shah Alam, Selangor meluangkan masa menyantuni warga emas tersisih meneruskan sisa hidup menerusi program Jalinan Kasih Zaibar.

Program tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu juga sebagai menyahut saranan pihak berkenaan untuk melakukan aktiviti amal kebajikan di pusat jagaan atau rumah kebajikan kendalian pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang hanya bergantung kepada sumbangan serta infak pelbagai pihak untuk terus beroperasi.

Program CSR mereka itu ibarat serampang dua mata apabila bukan setakat turun padang bagi meliburkan warga emas di Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), di Kampung Sungai Purun, Semenyih, Selangor, juga menghulurkan sumbangan pelbagai barangan keperluan asas serta melakukan kerja gotong-royong membersih bilik penghuni dan juga kemudahan disediakan yang berlangsung pada 21 September 2024.


Kakitangan Zaibar Automobile Industries Sdn Bhd membersihkan pelbagai kemudahan disediakan untuk warga emas termasuk kipas.


Pengarah syarikat berkenaan, Nor Ilyana Zainuddin, berkata selepas menerima saranan beberapa pihak berkenaan, mereka membuat perancangan termasuk aktiviti yang akan dilakukan di PJMM supaya dapat membabitkan semua kakitangan di samping memberi banyak manfaat. 

Menurutnya, paling penting program itu membuka peluang kepada kakitangan syarikat untuk menyantuni warga emas dengan penuh kasih sayang serta menyelami sejarah penjalanan hidup mereka yang penuh dengan dugaan sehingga terdampar di PJMM.

Tambahnya, program itu memang menyentuh emosi kakitangan syarikat kerana ada antara mereka kali pertama melihat warga emas yang dalam kalangan orang kurang upaya (OKU), dibuang keluarga khusus darah daging sendiri, gelandangan, hidup sebatang kara, uzur dan sebagainya berlindung di PJMM.


Nor Ilyana Zainuddin (tiga dari kanan) menyerahkan sumbangan Zaibar Automobile Industries Sdn Bhd kepada Azman Rasman.


Jelasnya, situasi itu menimbulkan keinsafan kepada kakitangan terutama yang masih memiliki ibu bapa untuk berasa lebih bertanggungjawab menjaga, mengurus dan menyantuni mereka dengan baik dan sempurna sehingga hujung nyawa.

“Syarikat berharap keadaan ini akan memberi kesan yang menyelami jiwa nurani mereka untuk menjadi anak yang bertanggungjawab kepada ibu bapa serta lebih berdisiplin, amanah dan bersemangat dalam meneruskan tugasan kepada syarikat,” katanya ketika ditemui pada program berkenaan.

Turut hadir pada program berkenaan, seorang lagi pengarah syarikat itu, Nor Adilah Zainuddin; Pengerusi Program, Aishah Tajul Ariffin; Pengerusi PJMM, Azman Rasman; Penasihat PJMM, Mohiadin Bahado; dan Pengurus PJMM, Sazali Mohiden.


Kakitangan wanita Zaibar Automobile Industries Sdn Bhd menukarkan cadar dan sarung bantal bilik penghuni warga emas wanita.


Program berkenaan dimulakan dengan semua kakitangan syarikat itu menyediakan sarapan pagi kepada semua warga emas termasuk yang terlantar di atas katil, melakukan aktiviti gotong-royong membersih bilik, kipas, menukar sarung bantal, cadar serta pampers penghuni yang uzur.

Sebelum makan tengah hari bersama-sama warga emas yang ditaja, kakitangan syarikat berkenaan turut mengedarkan barangan sagu hati serta mengadakan permainan menguji minda penghuni sebagai salah satu aktiviti meliburkan di samping berkaraoke.


Kakitangan Zaibar Automobile Industries Sdn Bhd bergotong-royong menyediakan makan tengah hari untuk warga emas termasuk yang terlantar di atas katil.


Sementara itu, Aishah berkata, program itu juga sebagai antara usaha untuk berkongsi rezeki dengan mereka yang memerlukan bantuan atau pembelaan selepas syarikat sentiasa melaksanakan tanggungjawab mengeluarkan zakat.

Menurutnya, sumbangan barangan keperluan asas seperti pampers pakai buang orang dewasa, susu, minyak masak, gula dan sebagainya termasuk kerusi roda diharap dapat memenuhi sebahagian keperluan PJMM untuk kegunaan warga emas di situ.

“Selain membantu rumah anak yatim sebelum ini, program itu diharapkan berterusan setiap tahun di samping menjadi contoh kepada syarikat korporat lain untuk sama turun padang menjayakan CSR di pusat jagaan dan rumah kebajikan,” ujarnya. - KitaReporters


Azman (kiri) memberi penerangan mengenai warga emas yang uzur dan terlantar di atas katil kerana menghidap pelbagai penyakit.

25
15
0
15
0

Copy Link: