"PERISTIWA Israk Mikraj bukan cerita baharu malah sudah menjadi pengetahuan umum sejak ribuan tahun lalu tapi kebanyakan umat Islam tidak terasa untuk bangun menjadi umat terhebat.

"Ada inspirasi dalam peristiwa itu terutama sikap umat Islam yang malas, tidak suka membaca, mudah sentap, hati tisu dan baru berdakwah kepada adik beradik tapi apabila mereka menolak terus putus asa.

"Kita berdakwah tak ada sesiapa pun baling batu tapi Nabi Muhammad SAW bukan setakat dibaling batu, dimaki malah dilempar najis tapi baginda tetap sabar, tidak mudah melatah malah memaafkan mereka kerana baginda menganggap golongan itu tidak tahu dan jahil," kata pendakwah bebas, Ustazah Asma Harun dalam ceramah Israk Mikraj di Surau Al-Ukhuwah, Seksyen 8, Bandar Baru Bangi, Selangor. 

Sebahagian daripada 800 jemaah Muslimat yang penuh sesak untuk mendengar ceramah Israk Mikraj oleh Ustazah Asma Harun di Surau Al-Ukhuwah, Seksyen 8, Bandar Baru Bangi, Selangor.  


Ceramah Israk Mikraj anjuran AJK Muslimat Surau Al-Ukhuwah dengan kerjasama pusat prasekolah Little Caliphs Seksyen 8, Bandar Baru Bangi, Selangor. Turut hadir, Ketua Muslimat Surau Al-Ukhuwah, Norul Azilah Abd Rahman dan Board of Education Little Caliphs International Sdn Bhd, Zaleha Abd Hamid.

Pelbagai acara lain diadakan termasuk persembahan murid tadika Little Caliph Seksyen 8, Bandar Baru Bangi dan gerai jualan yang menjual pelbagai produk termasuk jubah untuk wanita, minyak wangi dan produk kecantikan.

Program pertama Muslimat Al-Ukhwah untuk tahun 2024 itu mencatat sambutan luar dugaan dengan kehadiran kira-kira 800 jemaah muslimat sehingga ramai terpaksa mendengar ceramah di luar dewan solat.

Ustazah Asma Harun


Ustazah Asma berkata, kebanyakan jemaah ada ramai kawan atau jiran bukan Islam tapi mereka tidak mampu menyampaikan risalah Islam, kalimah "La Ilaha Illa-Allah" dan tidak pernah menceritakan siapa Nabi Muhammad SAW.

Ini katanya menggambarkan betapa lemahnya dakwah umat Islam, jika perkara mudah pun mereka tidak mampu menyampaikan apatah lagi untuk bercerita dan meyakinkan golongan bukan Islam kisah Israk Mikraj.

"Umat Islam hari ini tiada keinginan untuk menyampaikan risalah Islam kepada orang lain apatah lagi kepada bukan Islam. Terlalu lemah! 

"Justeru kita perlu memperbaiki diri dan kekurangan itu. Kajian mendapat antara punca kelemahan itu ialah kurang membaca.


Murid tadika Little Caliphs Seksyen 8, Bandar Baru Bangi, Selangor membuat persembahan kepada hadirin sebelum ceramah Israk Mikraj. 


"Anda pasti setuju dengan saya bahawa bangsa Melayu tidak minat membaca berbanding masyarakat Barat atau orang Jepun, bukan semua tapi majoriti. 

"Saya pernah tinggal di Australia sekitar 2013 dan saya lihat minat membaca mereka luar biasa, sudah menjadi satu budaya berbanding kita yang lebih suka menonton drama yang tiada manfaat berbanding membaca buku.

"Kita juga tidak suka membeli buku kononnya membazir tapi bila membeli beg tangan tak apa pula walaupun di rumah dah ada satu almari beg tangan atau kasut dan sanggup berbelanja beratus-ratus ringgit untuk makan tapi membeli buku berharga RM25 pun kita terlalu berkira dan lokek," katanya.

Tapi katanya lagi, jika seseorang itu mempunyai jiwa yang besar, dia akan membeli buku dalam jumlah yang banyak. 

Selain membaca, dia akan mewakafkan ke rumah kebajikan, hospital  atau hadiah kepada kawan-kawan kerana jika dia meninggal dunia dan buku yang diwakafkan itu terus dibaca, pahala akan terus mengalir kepadanya walaupun di alam kubur.


Sebahagian jemaah muslimat tidak melepaskan peluang bergambar dengan Ustazah Asma ketika persiapan dilakukan kru sebelum ceramah bermula.


Beliau berkata, jika kita ada lima anak, beli buku untuk dikirimkan kepada anak-anak kita atau ceritakan kisah perjalanan agung Nabi dalam peristiwa Israk Mikraj ini, mudah-mudahan ia menjadi pahala apabila anak-anak pula bercerita kepada cucu dan cicit.

"Dalam kisah Israk Mikraj, Allah memulakan bicara dengan perkataan "Subhanallah" (Maha Suci Allah) dan memanggil Nabi Muhammad SAW hamba-Nya bukan kekasih , Rasul atau ketua Nabi?

"Dalam kehidupan, mudah menjadi ibu terbaik, pekerja terbaik tapi susah menjadi hamba Allah terbaik. 

"Ketika mendengar azan di masjid, kita selalu buat acuh tak acuh, walaupun tidak berkata dengan mulut tapi perbuatan kita menggambarkan kita bukan hamba Allah yang terbaik. Sekejap la, nak habiskan drama dulu baru nak gi solat lah padahal semua urusan itu boleh dilakukan selepas menghadap Allah, betul tak?," katanya dan disambut "betul" oleh jemaah.  


Murid tadika Little Caliphs Seksyen 8, Bandar Baru Bangi, Selangor membuat persembahan kepada hadirin sebelum ceramah Israk Mikraj. 


Menurutnya, jika membaca sirah Nabi Ibrahim AS, Allah menguji baginda bukan sekadar ayahnya syirik kepada Allah tapi membina patung untuk manusia lain mensyirikkan Allah, tiada zuriat sehingga berusia 80 tahun, meninggalkan isterinya dan Nabi Ismail di kawasan gurun yang gersang dan menerima wahyu supaya menyembelih anak sendiri.

"Nabi Ibrahim bukti hamba Allah yang terbaik tapi kita tidak mungkin diuji sehebat Nabi Ibrahim atau Nabi Muhammad SAW, jadi apabila menerima ujian usahlah mengeluh tapi terima dengan hati terbuka kerana di sebalik ujian, Allah mahu mengangkat darjat seseorang.

"Perjalanan agung Nabi Muhammad SAW dalam peristiwa Israk Mikraj adalah anugerah Allah kepada hamba-Nya yang sabar dan bagi mengubati kesedihan baginda yang mengalami pelbagai pancaroba. 

Jemaah yang datang awal duduk di barisan depan bagi memastikan mereka dapat mengikuti ceramah dengan selesa dan menatap wajah Ustazah Asma dengan jelas.


"Dalam perjalanan itu, Nabi SAW dipandu oleh Jibril yang dijadikan Allah daripada cahaya dan memiliki akal tapi tiada nafsu. Baginda menunggang Buraq, seekor binatang yang dikurniakan Allah nafsu tapi tiada akal tapi Rasulullah SAW (manusia) dikurniakan akal dan nafsu.

"Ibrahnya, dalam perjalanan menuju Allah gunakan akal (Jibril lambang akal) dan tunduklah nafsu (Buraq lambang nafsu) dan temani dengan iman iaitu komunikasi antara Nabi SAW dan Jibril sepanjang perjalanan ke langit ketujuh," katanya.

Ustazah Asma berkata, sepanjang perjalanan bertemu Allah, nabi tidak pernah bosan bertanya soalan kepada Jibril kerana baginda mahu menimba sebanyak mungkin ilmu. Manusia juga jika mahu perjalanannya menuju Allah, gunakan akal, tundukkan nafsu dan usah berhenti menimba ilmu. 

Norul Azilah Abd Rahman


Sementara itu, Ketua Muslimat Surau Al-Ukhuwah, Norul Azilah Abd Rahman, berkata aktiviti pertama dalam kalendar takwim Muslimat Surau Al-Ukhuwah berjaya dilaksanakan seperti dirancang malah beliau terharu dengan sambutan hebat hadirin sehingga melimpah ruah hingga ke luar dewan solat.

Beliau berkata, sambutan hebat itu turut memberi semangat kepada AJK Muslimat Surau Al-Ukhuwah untuk mengadakan program seumpama itu pada tahun depan, mungkin penceramah lebih hebat dan dalam skala lebih besar, insya-Allah.

"Saya berterima kasih kepada semua AJK Surau Al-Ukhuwah yang bekerja kuat, komited dan dedikasi serta pemilik Little Caliphs, Zaleha Abd Hamid yang banyak memberi kerjasama termasuk menaja penceramah selain menghantar murid prasekolah untuk mengadakan persembahan sebelum ceramah  

"Ini adalah bukti kerja berpasukan dan hasilnya dinikmati semua walaupun kami terpaksa mengorbankan masa lapang untuk datang membuat persiapan bagi memastikan program ceramah Israk Mikraj ini berjalan dengan lancar," katanya. - KItaReporters

AJK Surau Al-Ukhwah bergambar kenangan bersama Ustazah Asma sebelum ceramah bermula. 

20
12
0
17
0

Copy Link: