Puteri Andalas buktikan umur bukan penghalang! Ruhayah, nenek tujuh cucu, masih gigih berkarya!
Published byKredit foto-foto: FB Puteri Andalas Novelis
Ketika kebanyakan wanita sebayanya mengisi usia emas dengan bersantai sambil melayan cucu-cucu di rumah, berbeza pula Ruhayah Mahmod, 73, yang masih gigih menekuni minatnya dalam bidang penulisan.
Bagi Ruhayah, tiada istilah ‘tarik brek’ atau memperlahankan aktiviti walaupun umurnya sudah melewati usia emas, jauh sekali untuk berehat meskipun pada hakikatnya beliau boleh goyang kaki selepas bersara daripada sebuah institusi perbankan pada tahun 1997 lalu.
Sebaliknya, kian meningkat usia, Ruhayah atau nama penanya, Puteri Andalas makin ghairah serta bersemangat untuk terus menghasilkan novel dan buku apatah lagi beliau merasakan dirinya masih ‘hijau’ kerana agak lewat menceburi bidang itu.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan bidang penulisan
“Kak Puteri menceburi bidang penulisan
agak lewat iaitu selepas bersara daripada pekerjaan pada usia 49 tahun dan
sehingga sekarang masih dalam proses belajar.
“Sebenarnya minat terhadap dunia penulisan sudah tumbuh sejak di bangku sekolah di Sekolah Covent, Klang. Ketika berusia 12 tahun, tulisan Kak Puteri sudah mendapatkan tempat dalam akhbar Utusan (Malaysia).
“Kak Puteri juga aktif dalam pelbagai kegiatan kurikulum dengan mewakili sekolah ke pertandingan pidato, syarahan, berpantun, persembahan pentas dan lain-lain.
“Namun Kak Puteri tidak dapat mengembangkan bakat apabila mula bekerja, ditambah pula sibuk dengan tugas rumah tangga selepas berkahwin dan mempunyai anak,” katanya.
Puteri Andalas bertuah kerana memiliki suami, Kamalludin Hussain yang memahami minatnya serta memberi galakan. - Kredit foto: Puteri Andalas.
Puteri Andalas lebih bersemangat apabila suaminya, Kamalludin Hussain menghadiahkan sebuah komputer sambil berpesan agar “jangan hangat-hangat tahi ayam.”
Menurut Puteri Andalas, beliau terpaksa memendam hasrat untuk menjadi penulis kerana kekangan masa namun tidak pernah memadam impiannya itu.
Sebaik sahaja bersara pada 1997, beliau menggunakan kesempatan itu untuk kembali mengasah bakat dalam bidang penulisan.
“Ketika itu terfikir juga, mampukah Kak Puteri menulis lagi memandangkan lama tidak menulis selepas meninggalkan alam persekolahan, tambahan pula faktor umur Kak Puteri yang hampir memasuki setengah abad.
“Sesuai lagikah corak penulisan Kak Puteri dengan zaman sekarang atau mampukah Kak Puteri menulis mengikut trend penulis-penulis muda masa kini? Mahukah penerbit menerima hasil karya Kak Puteri?
“Tapi, Kak Puteri fikir apa salahnya mencuba malah datang semangat untuk membuktikan bahawa walaupun sudah berusia, Kak Puteri mampu menulis sebagaimana penulis muda,” ceritanya.
Apa yang membuatkan Puteri Andalas lebih bersemangat adalah apabila suaminya, Kamalludin Hussain menghadiahkan sebuah komputer untuk beliau memulakan bidang baru itu sambil berpesan agar “jangan hangat-hangat tahi ayam.”
“Hadiah itu benar-benar menyuntik semangat Kak Puteri serta memberi motivasi dan inspirasi. Dan pesanan suami supaya Kak Puteri jangan sekadar hangat-hangat tahi ayam menambahkan iltizam Kak Puteri untuk menulis,” ceritanya.
Puteri Andalas menulis pelbagai bentuk penulisan sama ada cerpen, novel, syair, puisi dan biografi tokoh terkemuka tanah air - Kredit foto: Puteri Andalas.
Malah, beliau sangat berterima kasih kepada ketiga-tiga anaknya yang sangat menyokong serta memahami permintaannya terhadap mereka.
“Sedari awal, Kak Puteri sudah memberitahu anak-anak perancangan saya untuk menulis selepas bersara dan meminta mereka memahami bahawa Kak Puteri memerlukan masa untuk diri sendiri serta tidak mahu dibebani dengan perkara lain.
“Kak Puteri berterus-terang, jika mereka sudah berkahwin serta ada anak, Kak Puteri tidak sanggup dibebankan dengan tugas menjaga cucu-cucu (anak-anak mereka) sebagaimana dilakukan oleh nenek-nenek lain.
“Kak Puteri sudah bekerja selama 26 tahun, letih, jadi Kak Puteri mahu berehat dan melakukan apa yang Kak Puteri minat tanpa gangguan. Alhamdulillah, anak-anak faham dan menguruskan keluarga mereka sendiri,” ujar nenek kepada tujuh orang cucu itu.
Untuk peringkat awal, Puteri Andalas menguji sejauh mana kemampuannya dengan menghasilkan cerpen ringan berbentuk remaja dan kekeluargaan.
“Cerpen pertama Kak Puteri berjudul ‘Rebah’ disiarkan oleh majalah URTV pada 1997. Ia benar-benar membakar semangat Kak Puteri untuk terus menulis sehinggakan pernah dalam sebulan tiga buah cerpen Kak Puteri tersiar dalam majalah yang berbeza.
Puteri Andalas, 73, adalah ibu kepada tiga orang anak dan tujuh orang cucu. - Kredit foto: Puteri Andalas.
“Ketika itu Kak Puteri guna nama pena Putri sebelum ditukar kepada Putri Klang dan seterusnya Puteri Andalas yang kekal sehingga sekarang,” katanya.
Keseluruhannya beliau sudah menghasilkan sebanyak 21 buah cerpen yang disiarkan dalam pelbagai penerbitan seperti majalah URTV, Wanita, Jelita, Mingguan Wanita, Perempuan dan lain-lain. Cerpen-cerpen itu kemudian dibukukan sebagai sebuah antalogi.
Wanita kelahiran Singapura tapi dibesarkan di kampung halaman ayahnya di Telok Gadong, Klang, Selangor ini tidak menoleh lagi apabila meneroka pula penulisan novel pada tahun 2000.
Novel pertamanya berjudul ‘Jalinan Kasih’ yang diterbitkan Alaf 21 mendapat sambutan hebat apabila diulang cetak sebanyak tujuh kali yang mana jumlah keseluruhan adalah 35,000 naskhah.
Setakat ini beliau sudah menghasilkan 8 buah novel yang kebanyakannya bertemakan percintaan dan kekeluargaan. Antaranya yang popular adalah ‘Cinta di Blue Mountains’ dan ‘Dia Tidak Berdosa’.
Pada masa sama, beliau turut menghasilkan buku kumpulan puisi dan syair serta biografi tokoh.
Biografi Toh Puan Sagiyah Salikin adalah antara hasil tulisan Puteri Andalas. Beliau menggunakan nama sebenar, Ruhayah Mahmod sebagai penulis buku ini.
“Kak Puteri sangat terharu apabila Toh Puan Sagiyah Salikin, isteri kepada Tun Ahmad Sarji meminta Kak Puteri menulis biografi dirinya. Bukan sahaja beliau seorang tokoh wanita malah adalah bekas guru Bahasa Malaysia Kak Puteri.
“Beliau adalah antara guru yang memberi galakan kepada Kak Puteri untuk menulis semasa di sekolah dahulu. Tak sangka, selepas 40 tahun berpisah, kami berjumpa semula dan beliau meminta Kak Puteri menulis kisah hidupnya untuk dibukukan.
“Lebih membanggakan, baginda Sultan Selangor, Sultan Shafaruddin Idris Shah berkenan mencemar duli untuk melancarkan buku itu,” ujarnya.
Pengalaman menulis biografi Toh Puan Sagiyah memberi pula ilham kepada Puteri Andalas untuk menghasilkan autobiografi dirinya sendiri.
Puteri Andalas merakamkan kisah hidup sendiri melalui autobiografi berjudul ‘Pena Senja: Sebuah Autobiografi, Aku Dan Buku’ . - Kredit foto: Puteri Andalas
Buku berjudul ‘Pena Senja: Sebuah Autobiografi, Aku Dan Buku’ yang baru saja siap dicetak minggu lalu, mengumpulkan perjalanan hidup beliau dari hari pertama kelahirannya hingga sekarang.
“Penghasilan buku ini memberi satu kepuasan kepada diri Kak Puteri walaupun ia mengambil masa yang lama serta melalui pelbagai cabaran untuk disiapkan.
“Kak Puteri bukanlah seorang tokoh yang hebat sebagaimana nama-nama besar dalam penulisan seperti Khatijah Hashim, Zaharah Nawawi dan lain-lain tapi buku ini lebih berupa koleksi untuk diri sendiri, keluarga, saudara-mara, sahabat-handai dan pembaca yang sentiasa menyokong Kak Puteri.
“Kak Puteri akan terus menulis selagi terdaya. Bagi Kak Puteri umur hanya angka dan sesiapa pun mampu lakukan jika ada kemahuan,” katanya. - KitaReporters