72 JAM PERANG DENGAN API! TERBAIK BOMBA!!

Published by
KitaReporters
KETIKA ini, mata umum banyak tertumpu kepada usaha pasukan keselamatan yang berhempas pulas menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan berikutan penularan wabak COVID-19 di setiap pelusuk negara. Bagaimanapun, sedarkah anda sebenarnya ada wira-wira lain yang tidak kurang hebatnya mengerah tenaga dalam menyelesaikan isu membabitkan kecemasan dan kebakaran. : KitaReporters

Sebahagian anggota bomba JBPM Perak yang terlibat dalam operasi memadam kebakaran hutan di Gerik, Perak.
Ucapan tahniah dan tabik 'spring' wajar diberikan kepada wira-wira tersebut khususnya Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak apabila sejak Isnin, 16 Mac 2020 tidak berhenti-henti menjalankan operasi memadam kebakaran hutan di Gerik, Perak.
Kebakaran hutan itu melibatkan kawasan seluas 52 hektar di Gunung Kenderong dan Kampung Pong.

Operasi memadam kebakaran di Gunung Kenderong dan Kampung Pong di Gerik dilakukan sejak 16 Mac 2020.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Perak, Mohamad Yunus Abu berkata, operasi sejak Isnin, 16 Mac 2020 itu kini melibatkan baki 15.8 hektar atau 30 peratus daripada 52 hektar kawasan hutan yang masih terbakar.
Katanya, operasi yang memasuki hari keenam itu melibatkan 72 anggota bomba selain polis, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Jabatan Hutan yang kesemuanya seramai 129 orang.
"Anggota bomba yang terlibat dibahagikan kepada empat kumpulan yang membabitkan kawasan di Kampung Pong, Tanjung Kekabu dan Gunung Kenderong.
"Setakat ini, kita telah berjaya memadamkan 36.8 hektar atau 70 peratus kawasan hutan yang terbakar, manakala baki 15.8 hektar lagi akan diteruskan sehingga kebakaran itu dapat dipadamkan sepenuhnya," katanya.

Anggota bomba menjalankan operasi memadam kebakaran di Gunung Kenderong dan Kampung Pong di Gerik.
Menurut Mohamad Yunus, dua pasukan elit iaitu pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM) dan Multi Skill Team (MUST) digerakkan dengan menggunakan pesawat AW189 bagi memadam kebakaran bermula di puncak gunung. 
Katanya, anggota mengalami kekangan apabila tiada sumber air selain keadaan cuaca panas terik dan tiupan angin kencang yang menyebabkan kebakaran itu mudah merebak. 
"Kaedah ‘water bombing’ telah dilakukan oleh Unit Udara JBPM dan operasi ini diteruskan bagi memadam baki kebakaran bermula pukul 8 pagi," katanya.

Anggota bomba berjalan kaki menuju ke lokasi kebakaran dengan membawa 'wajet pump'.
Dalam perkembangan sama beliau berkata, kawasan kebakaran hutan itu juga dipercayai merupakan habitat asal kepada binatang buas seperti harimau dan beruang.
Beliau berkata, keadaan itu menyebabkan pihaknya perlu peka dan sentiasa berwaspada sepanjang operasi pemadaman yang dilakukan di dua lokasi berkenaan.
"Bagaimanapun, sehingga kini tiada 'kelibat' mamalia itu ditemui melainkan kesan tapak kaki dan najis yang dijumpai di bahagian kaki gunung.
"Setiap anggota yang terlibat telah diingatkan agar tidak panik dan bertenang serta mengurangkan pergerakan sekiranya terserempak dengan dua spesis mamalia itu," katanya. - KitaReporters

Anggota bomba berehat sebelum menyambung tugas memadam kebakaran hutan di Gerik.
18
3
0
0
0

Copy Link: