Raden Hanafi menunjukkan najis gajah liar yang menceroboh kebun tebunya di Kampung Tenang, Labis, Johor pada 21 Mei 2022 lalu.

Raden  Hanafi terpaksa menebang tebu yang ditanamnya walaupun saiznya belum cukup panjang kerana bimbang dimusnahkan gajah liar.

BOLEH dikatakan belum sempat penduduk di beberapa kampung di Labis menarik nafas lega berikutan kejayaan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar  dan Taman Negara (Perhilitan) Johor menangkap dan memindahkan dua ekor gajah liar jantan yang menceroboh kawasan kebun penduduk berhampiran Felda Chemplak pada minggu lepas,  kini muncul pula dua ekor gajah liar dari kawanan lain menceroboh kebun penduduk di Kampung Tenang, Labis pula.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan kehadiran gajah liar

Tanaman tebu Raden Hanafi yang tumbang dilanggar gajah liar ketika haiwan tersebut menceroboh kebunnya.

Raden Hanafi Eshak, 39, yang mengusahakan tanaman tebu di sebidang tanah seluas hampir satu ekar di Kampung Tenang berkata kebun tebunya  yang terletak kira-kira dua kilometer dari kawasan rekreasi Hutan Lipur Taka Melur dimasuki haiwan liar tersebut pada awal pagi Sabtu, 21 Mei 2022 lalu.  

"Berdasarkan kesan tapak kaki,  kemungkinan haiwan liar itu memasuki kawasan kebun tebu saya sekitar pukul 2 hingga 3 pagi pada Sabtu lalu, namun saya bernasib baik kerana gajah-gajah tersebut hanya 'menumpang lalu' dan tidak memusnahkan tanaman saya dalam jumlah yang banyak. 

"Syukur hanya kira-kira 10 hingga 15 rumpun tebu sahaja yang tumbang, namun saya tidak tahu nasib saya selepas ini kerana sehingga pagi ini (Isnin) gajah tersebut masih berada di kawasan belukar  berhampiran  kebun saya," katanya ketika ditemui di kebunnya di Kampung Tenang, Labis , Johor. 


Najis gajah liar yang menceroboh kebun tebu Raden Hanafi di Kampung Tenang, Labis, Johor

Menurutnya, ini merupakan kejadian pertama haiwan liar tersebut menceroboh kebunnya sejak lebih setahun memulakan usaha menanam tebu di kawasan tersebut walaupun sudah beberapa kali kejadian gajah liar menceroboh kebun penduduk lain di sekitar Kampung Tenang, Labis sebelum ini.

Katanya dia hanya menyedari kebun tebunya diceroboh gajah liar ketika datang untuk melakukan kerja-kerja rutin di kebunnya pada hari Ahad, 22 Mei 2022 lalu selepas mendapati beberapa rumpun tebunya tumbang selain terdapat kesan tapak kaki serta najis haiwan liar tersebut.

Tambahnya, selain bimbang gajah liar tersebut menceroboh semula kebunnya dan memusnahkan tanaman tebunya yang merupakan salah satu makanan kegemaran haiwan tersebut, dia juga bimbang dengan keselamatannya kerana haiwan tersebut berada tidak sampai seratus meter dari kebunnya berdasarkan bunyi pokok ditumbangkan pada pagi semalam Isnin, 23 Mei 2022. 


Raden Hanafi melihat sebahagian tanaman tebunya yang tumbang selepas kebun tebunya dimasuki gajah iar.

"Jika mengikut jadual, saya sepatutnya mengutip hasil tanaman dalam tepoh beberapa minggu lagi, namun bimbang sekiranya kebun saya diceroboh gajah liar tersebut pada malam-malam berikut ini, saya terpaksa menebang tebu-tebu yang ada walaupun saiznya belum cukup panjang dan terpaksa menjualnya dengan harga yang lebih rendah.

"Memang tidak dinafikan situasi ini merugikan saya, tetapi adalah lebih baik saya menebang tebu yang ada walaupun terpaksa menjual dengan harga yang lebih rendah berbanding tidak memperolehi sebarang hasil sekiranya tanaman saya

dimusnahkan haiwan liar tersebut," katanya. 

Dalam pada itu dia berharap kerja-kerja membaik pulih pagar elektrik yang dibina sepanjang 21 kilometer di sempadan Hutan Simpan Labis dan kawasan kebun penduduk bagi menghalang gajah liar memasuki kawasan kampung dapat disiapkan dengan segera bukan sahaja untuk mengelakkan kemusnahan tanaman penduduk, malah lebih penting adalah keselamatan penduduk. - KitaReporters


Sisa batang pisang hutan yang dimakan oleh gajah liar di belukar bersebelahan kebun tebu Raden Hanafi.

13
11
1
14
1

Copy Link: