RAJEMAH Sheikh Ahmad, pentadbir olahraga Malaysia dan bola jaring Terengganu selepas bersara daripada balapan. - Kredit foto: Yakeb


BAKATNYA dalam olahraga dikesan menonjol sejak berusia 15 tahun lagi. Bukan sahaja bagi acara pecut di balapan Sukan SEAP dan Sukan Asia bahkan dalam lompat jauh mahupun pentatlon (gabungan lima sukan olahraga).

Suaminya juga bekas pelompat jauh dan kijang handalan negara malah keenam-enam anak mereka bergiat cergas dalam sukan tersebut.

Pada Khamis, 10 Jun 2021 kira-kira pukul 1.30 petang, arena olahraga Malaysia kehilangan seorang daripada pemenang pingat gangsa 4x100 meter berganti-ganti wanita Sukan Asia Bangkok 1966, Allahyarham Rajemah Sheikh Ahmad.

Beliau menghembuskan nafas terakhirnya pada usia 77 tahun di kediamannya, Taman Permint Jaya, Chendering, Kuala Terengganu, Terengganu.


LAMAN Facebook rasmi MOM mengutuskan salam takziah kepada keluarga Allahyarham Rajemah. - Kredit foto: MOM


Sudah setahun lamanya, pemenang pingat perak 80 meter lari berpagar Sukan SEAP Kuala Lumpur 1965 ini diserang penyakit barah pankreas tahap empat.

Anak keduanya, Kamarezuan Kamaruddin berkata, jenazah ibunya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Sheikh Ibrahim, Kuala Terengganu kira-kira pukul 10 pagi esok, Jumaat 11 Jun 2021.

“Allahyarham meninggalkan lima anak lelaki (seorang lagi telah meninggal dunia) yang berusia daripada 39 hingga 55 tahun,” katanya yang turut mewarisi bakat acara lari berpagar tetapi dalam 400 meter dengan mewakili negara pada Kejohanan Antara Bandaraya awal 90-an. 


 

RAJEMAH (kiri) dan anak keduanya, Kamarezuan (kanan) ketika program 'Ziarah dan Santuni' Yakeb pada 4 Mei 2021 lalu. Dua dari kanan, Zaki Sadri, bekas pelompat kijang dan jauh 80-an dan 90-an negara. - Kredit foto Yakeb.


Suami Allahyarham, Allahyarham Kamaruddin Maidin merupakan pemenang lima pingat emas lompat kijang dan lompat jauh Sukan SEAP Bangkok 1959 hingga Bangkok 1967.

Turut pernah beraksi pada Sukan Olimpik Rome 1960 di bawah panji-panji Persekutuan Tanah Melayu atau Malaya, beliau meninggal dunia pada 19 April 2009 dalam usia 66 tahun akibat penyakit paru-paru kronik.

Laman Facebook Majlis Olimpik Malaysia (MOM) turut mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Rajemah: “Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman."


PENGERUSI Yakeb, Noorul Ariffin Abdul Majeed (kiri) menziarahi Rajemah di kediamannya di Kuala Terengganu pada 4 Mei 2021 lalu. - Kredit foto: Yakeb


Lahir pada 28 April 1944, gandingan Rajemah, Datuk M. Rajamani, P. Savathri dan Cheryl Doral merakamkan 48.8 saat untuk menyumbangkan sebutir pingat gangsa buat Malaysia di Stadium Nasional Rajamangala, Bangkok di belakang Jepun dan Taiwan.

Rajemah yang turut pernah bertugas sebagai guru sekolah bagi bahasa Inggeris dan pendidikan jasmani dari 1965 hingga 1998, memenangi pingat perak 80 meter lari berpagar Sukan SEAP Kuala Lumpur 1965 dengan catatan 12.0s di belakang rakan senegara, Kueh Swee Hong (11.9s).


RAJEMAH pada zaman kegemilangannya sebagai pelari berpagar dan berganti-ganti negara era 60-an. - Kredit foto: MOM


Selepas karier selaku atlet, Allahyarham kembali sebagai pentadbir dengan dipilih menjadi Naib Presiden Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOM kemudian Persekutuan Olahraga Malaysia - POM) dari 2000 hingga 2010 dan bagi penggal 2019-2022 selain Ahli Majlis Persatuan Olahraga Asia dari 2008 hingga 2010.

Rajemah turut dilantik sebagai pengurus pasukan olahraga bagi Sukan SEA Indonesia 2011 yang menyaksikan lima pingat emas, dua pingat perak dan tiga pingat gangsa dimenangi.


RAJEMAH juga merupakan pesara guru dan pemegang Diploma Pengajaran Bahasa Inggeris dan Pendidikan Jasmani.


Beliau juga pernah menyandang jawatan kanan Persatuan Bola Jaring Negeri Terengganu sebagai Setiausaha dan Yang Dipertua dari 1984 hingga 2009. Beliau juga dimasukkan sebagai Ahli Dewan Terbilang MOM 2014.

Bekas jurulatih lari berpagar negara pada Sukan SEA Kuala Lumpur 1977 ini juga pernah mengusahakan Pusat Peranginan Pantai Batu Buruk, Kuala Terengganu dan sebuah restoran, Warung Pak Maidin dengan satu cawangannya di Lembah Klang. - KitaReporters


MENGUSAHAKAN sebuah resort di Batu Buruk, Kuala Terengganu. - Kredit foto: Yakeb

0
0
1
0
0

Copy Link: