Syabas MOFAZ, TV AlHijrah! Nak buat jerayawara MY #QuranTime
Published bySATU-SATUNYA program tadabbur Al-Quran, My #QuranTime terbitan TV AlHijrah bakal dibawa menjelajah seluruh Malaysia melalui sebuah karnival bermula dengan Kota Bharu sebagai lokasi pertamanya, selepas wabak COVID-19 benar-benar dapat dibendung. - KitaReporters
Namanzee Harris (dua dari kiri) memperlihatkan dokumen MoA yang telah ditandatangani bersama Mohamed Fauzy Abdul Hamid. Turut bersama Suffian Yahya, Pengurus Besar Kejuruteraan dan Sokongan penyiaran TV AlHijrah (kiri) dan Dato’ Zulkifli Mohamad, Pengarah Pembangunan Perniagaan dan Pemasaran MOFAZ.
Perancangan itu disuarakan Presiden Kumpulan MOFAZ, Mohamed Fauzy Abdul Hamid selepas pemeteraian perjanjian kerjasama korporat antara MOFAZ dengan TV AlHijrah yang disempurnakan bersama Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris.
“Sebaik sahaja kerajaan membenarkan, kami akan membawa My #QuranTime mendekati seluruh rakyat Malaysia bermula dengan negeri kelahiran saya, Kota Bahru,” ujar Mohamed Fauzy pada Majlis menandatangi Memorandum Perjanjian (MoA) yang berlangsung di Wisma MOFAZ, Jalan Damansara, Kuala Lumpur pada Jumaat, 3 Julai 2020 lalu.
Majlis MoA tersebut merupakan penggalak dan pendorong kepada kedua-dua organisasi untuk melangkah jauh dalam membawa ummah di Malaysia dan dunia.
Melalui perjanjian persefahaman ini, Kumpulan Mofaz Sdn Bhd., telah bersetuju untuk menjadi penaja utama rancangan My #QuranTime di TV AlHijrah untuk tempoh dua tahun mendatang dengan tajaan yang bernilai jutaan ringgit.
Tidak mahu mendedahkan kos tajaan sebenar, Mohamed Fauzy menganggap kerjasama yang diberikan sejajar dengan falsafah perniagaan MOFAZ yang kini berpandukan kepada tagline ‘Wasillul Arham’ yang membawa maksud ‘Silaturahim’ dengan memperkenalkan ungkapan ‘Sejahtera Dunia Akhirat’ bagi rangkaian produk makanan sunnahnya di bawah jenama Al’Aafiyah.
"Tajaan yang kami berikan bukan bertujuan komersial tetapi semata-mata berniat ikhlas untuk memberikan peluang baca, faham dan amal Al-Quran kepada seluruh manusia di dunia ini yang sememangnya pada kebiasaan akan menghadiri kuliah agama dan kelas A-Quran di masjid dan surau," ujar Mohamed Fauzy.
Jadi para penonton, jangan risau tiada gimik atau selitan nilai-nilai komersial dalam 'My #Quran Time' tau seperti mana yang lazimnya berlaku pada sesebuah program tajaan swasta.Fokus utama rancangan adalah untuk memberikan pendidikan ilmu pengetahuan untuk mendalami isi kandungan Al-Quran dengan cara muhasabah diri serta refleksi diri dengan membaca, memahami dan mengamalkannya.
Mohamed Fauzy selanjutnya memberitahu, jika segalanya berjalan lancar dan dunia pun telah pulih daripada COVID-19, MOFAZ tidak keberatan untuk memperkenalkan ‘My #QuranTime’ ke peringkat antarabangsa.
Malah bagi meneruskan usaha silaturrahim ummah, MOFAZ akan bekerjasama dengan Dewan Perniagaan ASEAN (ACC) serta Persatuan Perniagaan Islam Antarabangsa (IAIB) untuk menganjurkan misi ibadat korban di Rusia sebagai mengeratkan lagi umat Islam Malaysia dengan umat Islam di Rusia pada Aidiladha tidak lama lagi.
Ibadat korban tersebut dijangka akan dilaksanakan di Kazan, Tatarstan oleh IAIB di mana hasil korban akan diagihkan kepada madrasah, rumah anak yatim, orang kurang upaya dan warga muslim daif di Rusia.
TV AlHijrah adalah rakan penyiar rasmi bagi misi tersebut.
Untuk rekod, ‘My #QuranTime’ merupakan program yang pertama dalam sejarah yang mengajak penonton untuk sama-sama mentadabbur Al-Quran dari halaman pertama hingga halaman 604 iaitu halaman terakhir, selama satu jam setiap hari jam 12 tengah hari hingga 1 tengah hari secara langsung.
Rancangan yang dijayakan oleh tiga nama besar yang tidak asing lagi iaitu Ustaz Fazrul Ismail, Ustaz Ahmad Tirmizi Ali dan Ustaz Tarmizi Abdul Rahman ini juga telah mencecah jumlah tontonan sebanyak 2.1 juta tontonan sepanjang ia memulakan siarannya pada 8 Jun 2020 lalu.
Sementara itu, dalam ucapan balasnya, Namanzee Harris yakin kerjasama strategik yang terjalin akan menjadi medan utama untuk kedua-dua organisasi bertukar-tukar tenaga kepakaran dan sumber-sumer ilmu yang dapat memberikan pelbagai kebaikan kepada seluruh masyarakat.
“Lazimnya, masyarakat sering meletakkan program agama pada tempat kedua, malah sukar menandingi program hiburan, namun kejayaan penerbitan My #QuranTime menyanggah pendapat itu," ujar Namanzee.
“Ini membuktikan apabila program agama itu diterbitkan dengan satu kefahaman dan niat yang yang betul, ia mampu berada pada kedudukan yang setanding dengan program-program lain termasuk yang berunsur hiburan”, tambah beliau.
Sebelum ini, kerjasama MOFAZ dengan TV AlHijrah berjaya menerbitkan program Islamik lain seperti ‘Ihya’ Ramadan’ dan ‘Kembara Sufi’, yang siarannya ke udara Ramadan lalu.
Khabarnya, penajaan MOFAZ untuk 'MY #Quran Time' ini merupakan yang terbesar mengatasi mana-mana program realiti tajaan syarikat swasta di mana-mana stesen televisyen di Malaysia.
Tahniah TV AlHijrah! Tahniah MOFAZ!! - KitaReporters.
Bergambar kenangan bersama team produksi dan pihak penaja.