MALANG tidak berbau.... Sebuah rumah sewa yang didiami sebuah keluarga telah terbakar, di Kampung Congo, Batu Balai, Jerantut. Namun nasib keluarga malang itu segera mendapat perhatian masyarakat khususnya pemimpin setempat dengan menghulurkan bantuan dan sumbangan sebagai tanda simpati serta sokongan. : KitaReporters


Api marak menjilat keseluruhan rumah sewa milik surau Kampung Congo, Batu Balai, Jerantut yang didiami oleh Luqman Al Hakim Azizi dan keluarganya. - Kredit foto: FB Bomba dan Penyelamat Negeri Pahang


Lagi kisah-kisah kebakaran:

https://kitareporters.com/search?search=kebakaran


Dalam kejadian pada pukul 12.30 pagi pada Sabtu, 21 November 2020 itu, api yang marak begitu pantas cuma mengambil masa kira-kira 15 minit untuk memusnahkan keseluruhan kediaman yang didiami mangsa, Luqman Al Hakim Azizi bersama isteri dan dua orang anak lelakinya.

Bagaimanapun, keluarga tersebut selamat apabila cepat terjaga daripada tidur dan berjaya menyelamatkan diri setelah api mula marak membakar rumah sewa papan berkenaan.


Zuridan Mohd Daud (dua dari kiri) menyampaikan bantuan keperluan makanan dan wang tunai kepada mangsa kebakaran, Luqman Al Hakim Azizi (dua dari kanan) di Kampung Batu Balai, Jerantut pada 21 November 2020. - Kredit foto: FB Zuridan Mohd Daud Al-Terminie 


Ekoran kejadian malang itu, mangsa kebakaran telah pun diziarahi Ahli Dewan Undangan Negeri Damak, Zuridan Mohd Daud dan Pegawai Daerah Jerantut, Khairun Nissa Aris pada petang 21 November 2020.

Mangsa, Luqman Al Hakim dan keluarganya yang ditempatkan buat sementara di pusat inap Masjid As-Syakirin Kampung Batu Balai menerima bantuan daripada Zuridan, yang berupa barang makanan dan wang tunai untuk perbelanjaan keperluan tertentu. 

Manakala, Khairun Nissa serta pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Jabatan Pertahanan Awam daerah ini juga memberikan bantuan keperluan dapur dan peralatan tidur kepada mangsa. 


ZURIDAN MOHD DAUD


Zuridan berkata, kebajikan mangsa berkenaan akan dipantau oleh Jawatankuasa Kemajuan Kemakmuran Kampung (JKKK) dan buat sementara waktu mangsa dibenarkan tinggal di pusat inap milik Masjid As-Syakirin Batu Balai sebelum berpindah ke kediaman yang akan ditentukan nanti.

Katanya, kediaman yang terbakar itu merupakan milik surau Kampung Congo yang difahamkan baharu sehari disewa oleh mangsa kerana tiada tempat penginapan lain di kampung tersebut. 

"Pejabat Perkhidmatan Masyarakat DUN Damak dan JKKK Batu Balai akan membantu kebajikan keluarga mangsa dalam tempoh pemulihan ini dan sedang berusaha menentukan tempat yang tinggal yang sesuai untuk keluarga ini.  

"Saya berharap keluarga ini bersabar dan kejadian ini (kebakaran) merupakan ujian Allah dan sudah tentu ada hikmah di sebaliknya," katanya di Kampung Batu Balai. 


Khairun Nissa Aris (dua dari kiri) menyampaikan bantuan peralatan tidur daripada Jawatankuasa Bencana Alam Daerah kepada mangsa, Luqman Al Hakim Azizi di pusat inap Masjid As-Syakirin, Batu Balai, Jerantut. - Kredit foto: FB Zuridan Mohd Daud Al-Terminie.


Dalam pada itu, Luqman Al Hakim berkata, ketika kejadian itu dia yang masih belum terlelap tiba-tiba terkejut apabila terdengar bunyi letupan benda yang terbakar lalu bingkas bangun dan mendapati api mula marak dalam rumah papan yang disewa itu.

"Saya hanya sempat mengejutkan isteri dan kedua-dua orang anak, kemudiannya segera keluar dari rumah kerana api marak begitu pantas. Pakaian dan barang lain tidak dapat diselamatkan dan musnah dalam sekelip mata dijilat api. 

"Kami bersyukur kerana semuanya selamat. Saya sekeluarga dibenarkan tinggal buat sementara di sebuah 'homestay' milik masjid As-Syakirin kampung ini. Terima kasih kepada semua pihak yang membantu kesusahan saya," ujarnya.


Kredit foto: FB Bomba dan Penyelamat Negeri Pahang


Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Pahang menerusi hantaran dalam laman sosial Facebooknya menyebut seorang pegawai dan tujuh orang anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Jerantut bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan kenderaan utiliti 4 x 4 tiba di lokasi kebakaran di kampung tersebut.

"Ketika tiba di tempat kejadian, mendapati kebakaran sebuah rumah separuh kekal berkeluasan 35' x 45' dan kemusnahan sudah 100 peratus.  

"Operasi itu juga turut dibantu lapan orang  anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) pekan Damak bersama sebuah Proton Arena dan sebuah jentera FRT Isuzu ketika operasi pemadaman," katanya menerusi laman sosial FB Bomba dan Penyelamat Negeri Pahang.

Menerusi hantaran dalam laman FB itu juga menyebut penghuni rumah seorang lelaki, seorang wanita dan dua orang kanak-kanak lelaki berjaya keluar menyelamatkan diri sebaik sahaja menyedari kebakaran itu. 

Menurut hantaran itu lagi, pasukan bomba cuma bertindak mengawal dan memadamkan kebakaran sepenuhnya.


Laporan bomba dan penyelamat mentaksir kemusnahan 100 peratus rumah sewa yang didiami  Luqman Al Hakim Azizi dalam kejadian kebakaran di Kampung Congo, Batu Balai pada pukul 12.30 pagi, 21 November 2020. - Kredit foto: FB Bomba dan Penyelamat Pahang.

0
1
1
1
0

Copy Link: