20 tahun Allah pinjamkan jadi sahabat! Terkilan tak sempat penuhi permintaan terakhir Siti Sarah!

Published by
KitaReporters

 

Syamin dan Allahyarham Sarah bersahabat sejak 20 tahun lalu. Kredit foto: FB Syamin Manja


SAAT menerima berita duka pemergian Siti Sarah Raissuddin pada subuh, Isnin, 9 Ogos, 2021, Syamin Manja hilang kata-kata, hanya mampu menangis sambil menitipkan bacaan surah Al-Fatihah.

Terasa luruh seluruh sendi serta luluh hatinya mengenangkan pengakhiran rakan baiknya itu. Persahabatan selama lebih 20 tahun terlerai dengan ajal memisahkan mereka.

Malam sebelum kematian Siti Sarah, Syamin atau dipanggil Baby oleh penyanyi itu, sukar melelapkan mata walaupun jam sudah menunjukkan pukul 3 pagi. Dia asyik terbayang-bayang wajah Sarah dan dibelenggu rindu yang teramat sangat.

“Ti, baliklah, Baby rindu sangat dengan Ti.” Hanya itu yang mampu diungkapkan oleh Syamin bagi meluahkan kerinduannya terhadap Siti Sarah yang dipanggilnya Siti. Dia kemudian tertidur.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Siti Sarah

Siti Sarah Raissuddin meninggal dunia Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia, UKM (HCTM), jam 5.13 pagi, Isnin, 9 Ogos 2021.



Keesokan pagi, ketika bangun untuk menunaikan solat subuh, tatkala melihat paparan skrin telefon bimbitnya, Syamin ternampak ada ada pesanan masuk melalui WhatsApp daripada rakan karibnya, wartawan, Huzz. Hatinya terdetik dan terus teringatkan Siti Sarah.

“Tapi, saya kuatkan semangat, saya tidak buka mesej itu sebaliknya bersolat subuh dulu. Selesai solat, baru saya buka dan apa yang saya takutkan jadi kenyataan, Huzz memberitahu Siti Sarah sudah tiada!” cerita Syamin.

“Walaupun hati tetap reda dengan pemergiannya namun siapa yang tidak sedih kehilangan seorang sahabat yang sudah dianggap seperti adik sendiri.

“Sudah 20 tahun saya bersahabat dengan Siti malah keluarganya pun dah macam keluarga saya sendiri. Saya mengenali Siti ketika dia masih budak, baru berumur 16 tahun, belum dikenali pun sebagai penyanyi,” kata Syamin.


Siti Sarah mengimbau kembali kenangan zaman kanak-kanak dengan berkunjung ke kawasan dia dibesarkan di AU3, Keramat, Kuala Lumpur. - Kredit video: Perkongsian Syamin Manja.


Mengimbas detik perkenalan mereka, Syamin menganggap ia sudah ditakdirkan Allah kerana berlaku tanpa dirancang.

“Kami tinggal dalam kawasan apartmen yang sama di AU3, Keramat tapi tidak saling mengenali. Tapi, suatu petang, ketika balik kerja, saya singgah membeli roti canai di gerai yang diusahakan oleh ayah Siti, Pakcik Raissuddin (Hamzah).

“Itulah pertama kali saya singgah di situ. Selain Pakcik Raissuddin dan ibunya, Mek Ani (Allahyarham Nur Aini Mohamad), Siti pun ada membantu emak ayahnya. Masa tu Siti budak lagi dan malu-malu.

“Sebelum balik, Pakcik Raisuddin mempelawa saya, katanya kalau senang datanglah ke rumah, makan-makan dengan keluarganya. Saya pun tak pasti mengapa beliau mempelawa saya.

“Minggu berikutnya saya penuhi pelawaan itu, bertandang dan makan-makan bersama keluarga Siti. Pada hari inilah baru saya tahu dia sangat berbakat sebagai penyanyi.

“Saya masih ingat, Siti berkaraoke, menyanyikan lagu Rindu Datang Bertamu nyanyian duet Liza Hanim dan Anis Suraya. Pertama kali mendengar, saya terpegun dengan suara Siti, terasa nyanyiannya menusuk sampai ke hati,” ujar Syamin mengenang detik awal persahabatan dengan Siti Sarah.




Dia berasa rendah diri kerana menganggap diri tidak cantik untuk menjadi artis. Tapi, saya selalu yakinkan dia bahawa dia mampu pergi jauh dengan bakatnya.


Sejak itu,menurut Syamin, pulang daripada kerja, dia kerap singgah di rumah keluarga Sarah, menemani penyanyi itu berkaraoke hingga lewat malam.

“Dia memang dilahirkan sebagai penyanyi, saya tak hairan apabila kemudian dia berjaya menjadi artis rakaman dan popular.

“Tapi, perjalanan awal karier Siti tidak mudah, walaupun berbakat besar, dia sukar mencari tapak kerana kebanyakan orang hanya memandang paras rupa bukan bakat.

“Siti pernah meluahkan perkara ini kepada saya. Dia berasa rendah diri kerana menganggap diri tidak cantik untuk menjadi artis. Tapi, saya selalu yakinkan dia bahawa dia mampu pergi jauh dengan bakatnya.

“Bila dia menang pertandingan anjuran majalah URTV dan ditawarkan menjadi artis rakaman, orang mula buka mata akan bakatnya.

“Saya membantu Siti daria segi penampilan dengan menatarias wajah malah menyediakan pakaian yang sesuai untuk dipakainya.


Kredit foto: Instagram Siti Sarah Raisuddin.


“Ketika itu saya ibarat pembantu peribadinya yang menyediakan segala keperluannya sama ada untuk show atau sesi fotografi dengan media.

“Ke mana saja Siti pergi, saya akan menemaninya. Tidak dinafikan, bermula dengan menatarias Sitilah, saya akhirnya menjadi jurumekap artis hingga sekarang,” kata Syamin.

Namun, ibarat laut yang ada pasang surutnya, begitu juga dengan persahabatan Syamin dan Siti Sarah yang kemudiannya sedikit renggang gara-gara pihak ketiga.

“Memang saya terasa hati tapi bukan dengan Siti, saya tahu dia hanya mengikut kehendak pihak berkenaan. Kali terakhir saya mekapkan Siti adalah ketika sesi fotografinya bersama Datuk Jamal Abdillah untuk majalah Mangga.

“Tapi, alhamdulillah, selepas itu saya banyak mendapat tempahan untuk menatarias artis-artis lain. Hubungan saya dengan Siti berjalan macam biasa, cuma tidak seakrab dulu apatah lagi bila masing-masing sudah sibuk dengan kerjaya sendiri.”


Pertemuan terakhir Syamin dengan Siti Sarah pada 2018. - Kredit foto: Syamin Manja.


Menurut Syamin, kali terakhir dia bertemu Siti Sarah adalah pada 2018 lalu apabila penyanyi itu menjemputnya ke majlis doa selamat sebelum Sarah dan suaminya, Shuib berangkat menunaikan umrah.

“Dan kali akhir Siti menghubungi saya melalui WhatsApp adalah pada 26 Mac (2021) lalu. Arwah minta saya kumpulkan gambar-gambar lamanya serta keratan-keratan berita akhbar dan majalah mengenai dirinya yang banyak saya simpan.

“Saya tak pasti apa tujuannya, adakah untuk simpanan atau atas urusan lain. Saya berjanji akan kumpul dan serahkan kepadanya. Tapi sayang, saya tidak sempat sempurnakan permintaannya itu, inilah yang buat saya sedikit terkilan,” ujar Syamin.

Bagi Syamin, walaupun Siti Sarah kini sudah tiada, namun kenangan persahabatan mereka akan kekal sepanjang hayatnya.

“Dia seorang yang sangat baik, manja dan pemurah. Setiap kali mengenangnya, saya tidak dapat mengelak daripada menangis, terlalu sedih dan sangat terasa kehilangannya.

“Allah meminjamkan Siti Sarah selama 37 tahun untuk keluarganya, 11 tahun kepada Shuaib dan 20 tahun kepada saya. Kini, saya hanya mampu berdoa, semoga Allah memberikan sebaik-baik tempat kepadanya di sana,” ungkap Syamin dengan nada sebak. - KitaReporters


Allahyarham Siti Sarah dan Shuib dianggap sebagai pasangan suami isteri yang ideal. - Kredit foto: Instagram Allahyarham Siti Sarah Raisuddin.

6
0
8
1
1

Copy Link: