TOKOH motivasi dan pendakwah bebas terkenal, Ustaz Ebit Lew, 36,  sedang mengubah suai untuk membuka 10 cawangan pasar raya menjual barangan runcit berharga murah di beberapa negeri secepat mungkin bagi memberi keselesaan untuk golongan berpendapatan sederhana ke bawah untuk dapat memiliki barangan pada harga munasabah. Terbaiklah Ustaz!! Semoga Allah permudahkan!! : KitaReporters

Ebit Lew melakukan kerja-kerja kebajikan tanpa mengenali penat lelah ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan. - Kredit foto: IG @ebitlew

Ia bukan bagi mencari untung, sebaliknya sumbangan kepada masyarakat yang memerlukan. 

Di samping itu dia meminta pembekal barangan runcit yang sedia ada yang dapat menjual barangan keperluan dengan harga rendah untuk menghubunginya agar dia juga dapat menjual pada harga murah.

Ia adalah impian terbaharu Ebit Lew atau nama lengkapnya Ebit Irawan Ibrahim Lew @ Lew Yun Pau yang dimuatkan dalam posting Instagram terbaharunya @ebitlew.



Perniagaan membuka pasar raya berharga murah ini adalah perniagaan terbaharu yang dirancang oleh Ebit Lew setelah berjaya dalam perniagaan bidang motivasi, penerbitan buku motivasi, mempunyai 3 buah restoran makanan Muslim Cina dan sebuah butik pakaian Muslim.

Berkongsi perkembangan terbaharu mengenai perancangannya itu, Ebit Lew berkata, dia berusaha untuk mencari pembekal barangan runcit yang menawarkan harga paling murah untuk pasar raya yang akan dibukanya kelak.


Menerusi perkongsian itu, Ebit Lew turut memohon doa agar segala urusan untuk membuka pasar raya tersebut dipermudahkan serta memperoleh pembekal barangan runcit paling murah.

Perkongsian Ustaz Ebit itu mendapat pelbagai reaksi daripada netizen yang mendoakan agar perjuangan pendakwah itu dipermudahkan. 

Malah, ada netizen yang menyuarakan hasrat untuk membantu serta menjadi pembekal.



Dalam pada itu, ramai yang mendoakan semoga pendakwah bebas ini dimurahkan rezeki supaya dapat membantu lebih ramai mereka yang dalam kesusahan. 

Netizen juga berkata, dengan pembukaan pasar raya itu, sekali gus dapat memberi banyak peluang pekerjaan kepada mereka yang memerlukan.

Nama Ebit Lew cukup popular dalam kalangan masyarakat apabila melakukan pelbagai kerja kemasyarakatan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKPB berlangsung.

Sebahagian besar sumbangan yang diberi adalah hasil keuntungan pelbagai perniagaan yang diusahakannya. 

Dia percaya Tuhan akan terus memberi rezeki jika turut menyumbang kepada pihak yang memerlukan.

Semangat kentalnya sebagai umat Islam yang patuh tidak mustahil Ebit Lew diberi anugerah Tokoh Maal Hijrah akan datang. 

Malah dia juga wajar diberi anugerah kehormatan bergelar Datuk atau Datuk Seri. - KitaReporters

Ebit Lew dan isteri di hadapan rumah mewahnya. - Kredit foto: IG ebitlew

68
2
3
2
2

Copy Link: