Syabas APM! Syabas Lt Kol (PA) Che Adam A Rahman! Sudah derma darah 79 kali! Anda bila lagi?
Published byKEMPEN derma darah dilihat sebagai satu usaha menggalakkan masyarakat menderma dan pada masa sama menjalani pemeriksaan kesihatan. Aktiviti berkenaan bukanlah sesuatu yang berbahaya kerana ia dilakukan mengikut prosedur dan pemeriksaan oleh pegawai kesihatan.
Darah yang didermakan pula bukan hanya untuk menambah bekalan darah tetapi sebagai usaha membantu menyelamatkan nyawa seseorang.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan derma darah
Che Adam A Rahman melihat buku derma darah seorang penderma pada Program Infaq Darah Prihatin.
Bukan semua orang layak menjadi penderma darah. Ada prosedur yang perlu diambil kira. Bebas penyakit, sihat tubuh badan dan faktor usia antara kriteria yang amat dititikberatkan bagi mengelak penderma dan penerima berdepan masalah kesihatan pula.
Ada dalam kalangan penderma darah menderma atas dasar membantu memenuhi bekalan darah di hospital-hospital. Ada yang mula menderma selepas terkesan dengan beberapa peristiwa 'berdarah' yang memerlukan penggantian darah.
Bagi sebilangan individu, menderma darah adalah sudah menjadi satu tanggungjawab yang perlu dilunaskan setiap tahun. Tidak menderma seperti tidak lengkap putaran hidup.
Che Adam A Rahman yang sudah menderma sebanyak 79 kali menunjukkan buku sebagai penderma darah di Program Infaq Darah Prihatin yang diadakan di Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS).
Tidak terkecuali Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman yang melaksanakan tanggungjawab sebagai penderma sejak berusia 21 tahun lagi.
Beliau yang kini berusia 46 tahun selayaknya dikategorikan sebagai penderma tegar apabila sudah menderma sebanyak 79 kali, sekali gus menjadikan derma darah ini sebagai satu amalan baik untuk kesihatan.
Che Adam berkata, pengalaman menyaksikan sendiri kekurangan bekalan darah di sebuah hospital mendorong dia menderma darah bagi menyelamat nyawa yang memerlukan.
"Pada ketika itu saya bekerja sebagai Penolong Pegawai Perubatan (1997-2007) di Unit Kecemasan di Hospital Seremban, Negeri Sembilan dan melihat ramai pesakit memerlukan darah seperti mereka yang kemalangan, talasemia, anemia, wanita yang tumpah darah dan sebagainya.
"Bermula dari situ, saya berasa perlu menderma darah untuk membantu mereka yang memerlukan dan sekurang-kurangnya amalan saya ini mampu memberi kehidupan kepada insan lain," katanya.
Che Adam A Rahman berkata sesuatu kepada seorang penderma pada Program Infaq Darah Prihatin
Che Adam ditemui pada Program Infaq Darah Prihatin iaitu program kolaboratif APM bersama Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-anggota Kerajaan (MAKSAK) Pahang yang diadakan di Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS) Kuantan sempena sambutan ulangtahun agensi berkenaan.
Che Adam berkata, galakan positif daripada ramai pesara yang pernah menyarung pakaian seragam dan masih aktif menderma menguatkan lagi semangatnya untuk berbuat demikian.
"Kalau mereka yang sudah berusia masih terus menderma darah dan jadikan ia sebagai satu amalan baik untuk kesihatan, apa salahnya kita mencontohi mereka," katanya. Menderma selagi boleh!
Che Adam A Rahman gemar melakukan aktiviti mendaki gunung jika berkesempatan berbuat demikian. - Kredit foto: Che Adam A Rahman
Che Adam berkata, amalannya menderma darah setiap tiga atau empat bulan sekali kini semakin menjadi ikutan pegawai dan anggota APM lain yang turut terpanggil untuk lebih kerap menderma darah.
"Saya harap mereka dan juga orang awam akan terus istiqamah menderma darah kerana keperluannya yang semakin meningkat daripada semasa ke semasa.
"Menerusi program ini, kami ingin meningkatkan kesedaran orang awam mengenai kepentingan menderma darah yang mampu menyelamatkan nyawa insan yang memerlukan. Bantu sesiapa sahaja tanpa mengenal bangsa dan agama.
“Pada masa sama, kami ingin membantu pihak hospital menangani masalah kekurangan bekalan darah melalui program seperti ini," kata bapa kepada empat cahayamata itu.
“Alhamdulillah... ramai kalangan pegawai dan anggota APM semakin timbul kesedaran untuk menderma darah selepas melihat mangsa kemalangan atau bencana yang cedera dan perlu diselamatkan,” katanya lagi.
Che Adam A Rahman mengibarkan bendera APM di puncak Gunung Kinabalu yang berjaya didaki. - Kredit foto: Che Adam A Rahman
Che Adam yang suka melakukan aktiviti lasak untuk kekal sihat sehingga kini sudah mendaki Gunung Kinabalu sebanyak Lima kali, Banjaran Himalaya (2008); Gunung Aconcagua, Argentina (2020); dan Gunung Rinjani (2013) selain gunung-gunung tempatan bermula1988 lagi. Hebat Che Adam ni.
Selagi kita amalkan gaya hidup sihat, melakukan senaman ringan, pengambilan makanan dengan cara betul, elakkan tekanan dan bekerja dalam suasana dan persekitaran yang kondusif bebas daripada sebarang penyakit pasti membuka peluang untuk kita menjadi seorang penderma darah sekali gus membantu golongan yang amat memerlukannya. - KitaReporters
Che Adam A Rahman suka melakukan aktiviti lasak mendaki gunung jika berpeluang berbuat demikian. - Kredit foto: Che Adam A Rahman