Pakaian Perlindungan Diri (PPE) adalah keperluan paling utama untuk petugas barisan hadapan (frontliners) sektor kesihatan dalam menangani pandemik COVID-19 dan permintaannya terus meningkat dari semasa ke semasa. Di Pahang sahaja purata penggunaan PPE sebanyak 10,000 sehari. : KitaReporters

Kredit foto: Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP)


Terpanggil untuk membantu meringankan beban yang dihadapi kerajaan, beberapa NGO dan orang perseorangan tampil menyiapkan PPE dalam kuantiti yang besar untuk diagihkan kepada petugas barisan hadapan sektor kesihatan dan juga beberapa pihak lain yang memerlukannya.

Antaranya, Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSMM) Pahang mengambil inisiatif membuat sendiri lebih 6,000 face shield (pelindung muka) untuk diedarkan kepada petugas barisan hadapan di hospital dan klinik kerajaan di negeri ini. 

Selain itu, mereka turut mengedarkannya kepada pekerja pembersihan, anggota keselamatan, pekerja di stesen minyak dan kedai serbaneka sebagai langkah keselamatan.

Kredit foto: Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP)


Daripada jumlah itu, lebih 3,000 pelindung muka itu sudah diagihkan dan bakinya akan diagihkan kepada mereka yang dibenarkan bekerja ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang kini memasuki fasa kedua iaitu sehingga 14 April 2020.

Penyerahan pelindung muka kepada petugas kesihatan. - Kredit foto: Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP)


Timbalan Pengerusi PBSMM Daerah Kuantan, Mejar (PBSM) Dato' Wan Nor Raihan Dato' Wan Abdul Rahman, berkata sumbangan yang diterima daripada ahli PBSM, orang ramai dan dengan dibantu oleh kerajaan negeri itu menunjukkan solidariti sukarelawan PBSM untuk bekerjasama dan membantu Kerajaan Negeri Pahang dalam menyekat penularan wabak COVID-19.

“Kami akan terus menyiapkan beberapa ribu lagi pelindung muka dan akan mengedarkannya secepat mungkin. 

"Terima kasih kepada semua yang telah membantu dan memberi sumbangan untuk kami melakukan sesuatu kepada rakyat di negeri Pahang," katanya.

Terima kasih kepada semua ahli sukarelawan PBSMM Pahang.

Penyerahan pelindung muka kepada petugas kesihatan. - Kredit foto: Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP)


Sementara itu, Rektor Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS), Profesor Madya Dr Mohd Zawawi Zainal Abidin berkata, sukarelawan dari KUIPSAS berjaya menyiapkan 1,000 pelindung muka bagi kegunaan hospital sekitar Pahang.

Seramai 40 sukarelawan terdiri daripada pelajar dan kakitangan KUIPSAS bekerja secara bergilir menyiapkan pelindung muka bermula jam 9 pagi hingga 11.30 malam.

Sejumlah 6,000 meter material khas berwarna biru dijahit oleh sukarelawan Raub sebelum diagihkan. - Kredit foto: Roselan Abd Malek


Kolej Komuniti Raub (KKR) pula bersama sukarelawan di sekitar Raub mengambil inisiatif membantu membuat dan membekalkan baju, sarung kepala dan sarung kaki kerana prihatin dengan keselamatan petugas kesihatan yang berdepan kekurangan bekalan PPE. 

Antara sukarelawan yang terbabit ialah Pejabat Daerah dan Tanah, Kemas, Puspanita, Pandu Puteri, Sulam Emas Enterprise, Amanah Ikhtiar Malaysia, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan orang ramai di sekitar Raub yang mempunyai kemahiran menjahit.

Kredit foto: Roselan Abd Malek


Pengarah KKR, Mohammad Azwan  Ja'afar berkata, program yang bermula pada 28 Mac 2020 membabitkan 33 sukarelawan yang dibekalkan dengan 6,000 meter kain bagi membuat penutup kepala, penutup kaki dan baju.  

"Semua PPE ini akan disumbangkan bagi kegunaan Hospital  Raub, Pusat Kesihatan  Raub dan Klinik Kesihatan Lembah Klau.

"Sukarelawan menjahit dI rumah masing-masing dan mengumpulkan hasil jahitan di Kolej Komuniti Raub sebelum diagihkan," katanya.


Dalam perkembangan berkaitan, Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato' Sri Dr. Sallehuddin Ishak merayu pembekal PPE untuk tampil memberikan kerjasama bagi memastikan proses pembuatan PPE lancar.

Menurutnya, Pahang memerlukan sekurang-kurangnya 1 juta PPE bagi kegunaan petugas barisan hadapan di seluruh negeri termasuk di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan, Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh, semua pusat kuarantin dan petugas-petugas yang terlibat dengan purata penggunaan sebanyak 10,000 sehari.

Sehubungan itu, kerajaan negeri memerlukan lebih ramai sukarelawan bagi membantu pembuatan PPE supaya dapat memenuhi permintaan daripada pihak hospital agar tidak mengganggu proses merawat.

Beliau berkata, kerajaan negeri mempunyai ramai sukarelawan, namun bekalan bahan pembuatan PPE masih tidak mencukupi.

"Kita berharap ada pembekal atau pengilang yang boleh menawarkan pembekalan bahan-bahan pembuatan PPE ini dapat menghubungi Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dengan kadar segera bagi memastikan segala keperluan pembuatan PPE ini mencukupi," katanya.

Syabas semua kerana prihatin dengan keperluan petugas barisan hadapan. - KitaReporters

Permintaan terhadap PPE semakin meningkat. - Gambar hiasan
0
0
1
0
0

Copy Link: