KADANGKALA, nasihat ibu bapa mahupun keluarga terdekat kurang mahu didengari anak-anak terutama yang sedang meningkat remaja. Acap kali golongan ini mengambil sikap sambil lewa terhadap teguran yang diberikan sehinggakan peranan orang luar diperlukan bagi memberi kesedaran kepada mereka. : KitaReporters

Tangkap layar daripada video seorang pegawai polis memarahi seorang remaja lelaki di Kampung Kuak di Lenggong, Perak pada 6 April 2020.
Terbaharu, satu rakaman video tular dalam media sosial sejak Isnin, 6 April yang memaparkan seorang pegawai polis 'memarahi' seorang remaja lelaki yang dikatakan ingkar terhadap Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Nanti dulu, jangan berikan persepsi negatif anda kepada pegawai polis berkenaan!
Ini adalah kerana, insiden itu dilakukan atas permintaan keluarga remaja terbabit. Benar, itu yang sebenarnya diminta sendiri oleh ibu remaja tersebut!
Rakaman video berdurasi satu minit 37 saat itu memaparkan Ketua Polis Balai Lenggong, Inspektor Mohd. Ropiza Hassan menegur remaja lelaki itu di hadapan seorang wanita yang dipercayai ibunya.
Dalam rakaman itu, Mohd. Ropiza menegur kedegilan remaja berusia 15 tahun itu yang beberapa kali ditahan pihak berkuasa sepanjang tempoh PKP bagi mengekang penularan wabak Covid-19 dijalankan.

"Kalau sekali takpe, ini dah tiga empat kali anak buah saya beritahu (ditangkap keluar rumah). 

"Hari ini dah tangkap lagi sekali. Apa ke hal?

"Kalau takde orang lain boleh pantau kamu, emak bapa tak boleh pantaukamu..hah, dalam lokap biar kami pantau kamu. 

"Makan nasi bungkus, duduk rumah batu takde katil. Kamu nak macam tu?"


Tangkap layar dari video tular seorang remaja dimarahi pegawai polis ekoran ditangkap melanggar PKP di Kampung Kuak, Lenggong Perak.
Menerusi rakaman sama, Mohd. Ropiza meluahkan kekesalannya apabila remaja itu enggan mendengar nasihat ibu dan bapa saudaranya selain turut melontarkan cabaran untuk remaja itu belajar sehingga ke institusi pengajian tinggi.
"(Nasihat) mak tak dengar, pak saudara tak dengar. Apa nak jadi? 

"Bukan nak belajar betul-betul, sampai ke menara gading. Bantu keluarga, bukan ikut hati dan perangai tu.

"Apa yang saya beritahu ni kamu ambil. Kamu tunjuk pada saya lima tahun lagi kamu boleh berjaya, sampai masuk universiti. 
"Jumpa saya di Balai Lenggong dan cakap, tuan...saya dah berjaya sampai ke IPTA. 

"Saya cabar kamu macam tu. Kamu boleh buat."



Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Ismail Che Isa berkata, kejadian itu berlaku di rumah remaja tersebut di Kampung Kuak di Lenggong dekat Gerik, Perak pada pukul 3.30 petang pada Isnin, 6 April 2020.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Ismail Che Isa berkata, kejadian itu berlaku di rumah remaja tersebut di Kampung Kuak di Lenggong dekat Gerik, Perak pada pukul 3.30 petang pada Isnin, 6 April 2020.
Katanya, teguran yang diberikan Mohd. Ropiza itu susulan aduan yang diterima oleh pihaknya daripada ibu remaja itu yang meminta pihak polis menasihati anaknya.
"Tiada tindakan dikenakan ke atas remaja itu sebaliknya nasihat dan teguran seperti mana yang diminta oleh ibu remaja terbabit," katanya.
Dalam pada itu, tindakan pegawai polis itu mendapat respons positif dalam kalangan warga maya dengan rata-rata mereka menyifatkan ia sebagai nasihat dan cabaran berguna untuk remaja terbabit.
Seorang warga maya yang dikenali Wan Fadzliey berkata, cabaran yang diberikan oleh pegawai polis itu perlu disahut dan dibuktikan oleh remaja itu.
"Kau sahut cabaran pegawai polis tu dik, buktikan pada dia kau boleh berjaya. 5-6 tahun lagi kau jumpa dia masa kau dah berjaya, aku percaya dia mesti peluk kamu dengan air mata kegembiraan," tulisnya.
"Cara tuan ni marah bukan daripada seorang polis kepada orang awam tapi lebih kepada seorang ayah kepada anak," komen Ahmad Hisham.
"Untung kau dik dapat nasihat daripada orang yang dah berjaya. Dia nasihat sebab nak tengok anak bangsanya berjaya. 

"Bukan dia tak nak guna kuasa yang dia ada, tapi dia masih ada rasa sayang kepada anak bangsanya," ujar Ku Nizam.

"Teguran yang membina, bukan menghina. Terbaik wira negara," tulis Shukri Ahmad. - KitaReporters

5
0
0
1
0

Copy Link: