Mohd. Fozailah menyiapkan keranda yang ditempah waris pesakit Covid-19 di bengkelnya di Kampung Sungai Sireh, Pelabuhan Klang, Selangor. - Kredit foto: Facebook Si Cencorot.


SEORANG pembuat keranda dan pengukir batu nisan di Kampung Sungai Sireh, Pelabuhan Klang, Selangor mengakui di sebalik rasa gembira kerana menerima tempahan yang berlipat kali ganda,  timbul rasa takut dan insaf dalam dirinya berikutan peningkatan mendadak jumlah kematian disebabkan wabak Covid-19 yang menyerang negara ini.

Mohd. Fozailah Hussain, 53, berkata, peningkatan jumlah tempahan keranda bukan satu yang  begitu mengembirakannya kerana dia melakukan kerja tersebut bukan untuk merasa gembira di atas kesedihan orang lain yang kehilangan orang tersayang, sebaliknya sebagai satu tanggungjawab memenuhi keperluan untuk pengurusan jenazah termasuk jenazah yang menjadi “mangsa” Covid-19 yang sedang “menggila” ketika ini.


Lagi cerita-cerita sedih berkaitan jenazah

Mohd.Fozailah Hussain sedang menyiapkan salah satu keranda yang ditempah pelanggan untuk pengurusan jenazah pesakit Covid-19. - Kredit foto: Facebook Si Cencorot.


“Memang sepatutnya saya berasa lega kerana pendapatan saya bertambah, namun perkembangan terkini mula membuat saya berasa takut dan timbul keinsafan di dalam diri bila mengenangkan keadaan mereka yang kehilangan orang tersayang dan sudah pasti terdapat dalam kalangan mereka yang hilang tempat bergantung.

“Saya harap orang ramai tidak memandang ringan perkara ini dan sentiasa berhati-hati dengan musuh yang tidak dapat kita lihat ini selain sentiasa mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa bagi memastikan wabak ini dapat kita hentikan dengan segera,” katanya ketika dihubungi.


Mohd. Aiman Faiz membantu ayahnya menyiapkan kerja akhir tempahan keranda di bengkel yang terletak di Kampung Sungai Sireh, Pelabuhan Klang. - Kredit foto: Facebook Si Cencorot.


Mohd. Aiman Faiz mengangkat keranda yang sudah siap ke dalam van untuk dihantar ke tanah perkuburan. - Kredit foto: Facebook Si Cencorot.


Menurutnya, sebelum Covid-19 melanda negara pada awal tahun 2020 lalu dia yang sudah 11 tahun menjalankan usaha tersebut dengan dibantu oleh anaknya, Mohd. Aiman Faiz hanya menerima sekitar 20 keranda sahaja sebulan.

Namun katanya, sejak negara dilanda Covid-19, tempahan mula meningkat dan paling ketara sejak dua minggu kebelakangan ini di mana tempahan melonjak sehingga 70 buah keranda hanya dalam tempoh dua minggu sahaja.

Selain itu, selama ini dia hanya dibantu oleh dua anak lelakinya sahaja untuk menyiapkan tempahan yang diterima terpaksa menambah beberapa orang lagi pekerja bagi memastikan dapat memenuhi permintaan yang tinggi.

Bagi pengurusan jenazah, Mohd. Fozailah selalunya menggunakan  sebuah van dan motorsikal untuk menghantar keranda ke Tanah Perkuburan Islam Selat Klang yang terletak kira-kira 500 meter dari bengkelnya.


Keranda yang sudah siap sebagai persediaan sebelum menerima tempahan.  - Kredit foto -Facebook Si Cencorot.


Setiap keranda berukuran 74 inci X 18 inci yang diperbuat daripada kayu dan papan lapis itu mengambil masa kira-kira 30 minit untuk disiapkan dan dijual dengan harga RM250 setiap satu, namun adakalanya ukuran tersebut perlu diubah suai mengikut  saiz jenazah.  

“Selalunya  saya menerima tempahan daripada penyelia tanah perkuburan  serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menguruskan jenazah pesakit-pesakit Covid-19 di sekitar daerah Klang, Selangor.

“Sukar untuk saya gambarkan apa yang saya rasakan setiap kali menerima tempahan keranda untuk kegunaan pengurusan jenazah pesakit Covid-19 dan sentiasa berdoa agar negara kita akan segera pulih seperti keadaan sedia kala,” katanya. - KitaReporters


Petugas tanah perkuburan yang menguruskan jenazah pasakit Covid-19 membantu anak Mohd. Fozailah menurunkan keranda yang ditempah. - Kredit foto: Facebook Si Cencorot.

1
0
0
0
1

Copy Link: