Sokong Pertubuhan Sokongan Kesihatan Mental Madani! Mahu tubuh Rumah Madani! Untuk pesakit skizo!

Published by
KitaReporters


Sekumpulan ibu bapa pesakit skizofrenia iaitu sejenis pesakit mental sedang berusaha menubuhkan sebuah pusat penjagaan dan rehabilitasi untuk pesakit skizo. 

NGO yang dinamakan Pertubuhan Sokongan Kesihatan Mental Madani (MMHSO), itu sedang berusaha menyediakan sebuah Pusat Jagaan Pesakit Mental atau dikenali sebagai Rumah Madani di Lembah Klang bagi memberi latihan, aktiviti dan rawatan secara holistik yang lebih menekankan pada konsep kerohanian dan kejiwaan. 

Menurut Pengerusi MMHSO, Rosiah Jantan, 68, matlamat menubuhkan NGO ini ialah bagi membantu mengadakan rawatan kepada pesakit mental menuju ke arah pemulihan sehingga mereka dapat hidup berdikari dengan bantuan daripada keluarga dan bantuan daripada mereka yang prihatin. 

Rosiah juga berkata apabila seseorang pesakit mental mengalami gangguan mental, pesakit biasanya akan dibenarkan keluar dari hospital selepas 2-4 minggu dalam wad, Ini apabila pesakit sudah kelihatan stabil sedikit.

Bagaimanapun menurut Rosiah lagi, apabila sudah keluar dari hospital dan berada di rumah, ramai pesakit mula buat perangai lama, tidak mahu makan ubat (55% daripada pesakit cuai, tak mahu makan ubat), tidak mahu keluar bilik, tidak mahu jumpa orang.

Ini membuat penyakit mereka bertambah teruk, relapse dan terpaksa di masukkan ke hospital semula. 


Antara Ahli Jawatankuasa Pertubuhan Sokongan Kesihatan Mental Madani yang akan mengusahakan Rumah Madani termasuk Rosiah Jantan (depan, tengah).


"Perkara masuk dan keluar hospital ini kerap berlaku selama beberapa tahun, tiada kesudahan. Keluarga terpaksa menjaga pesakit di rumah dalam keadaan terdesak dan merunsingkan. 

"Ada pesakit lari dari rumah, hilang, atau menjadi gelandangan, berjalan ke hulu ke hilir, bercakap keseorangan atau menjerit-jerit. Ramai keluarga mengalami keadaan ini. Ini turut memberi kesan psikologi pada keluarga pesakit. 

"Penjagaan dan pemulihan pesakit mental telah lama tidak terbela, kerana masyarakat tidak memahami masalah pesakit mental dan menganggap pesakit mental bukan pesakit kronik," luahnya lagi 

Rosiah juga memberitahu, di Malaysia, Pusat Rehab yang kerajaan sediakan hanyalah Pusat Harian sahaja, seperti di Mentari, Pusat Psikiatri HCTM dan Pusat Psikiatri PPUM. Keluarga perlu membawa pesakit ke pusat pusat berkenaan untuk mendapat rawatan.  

"Masalah yang sering kita tahu ialah, pesakit tidak mahu pergi dapatkan rawatan. Penjaga tidak berjaya memujuk pesakit pergi ke Pusat Rehab setiap hari, atau setiap minggu. 

"Oleh sebab itu, kami ingin tubuhkan Pusat Rehab di mana, pesakit boleh tinggal di sana dan warden akan memastikan pesakit makan ubat setiap hari dan diberi kaunselling selain menjalankan aktiviti sihat dan belajar berdikari. 

"Antara lain, kami ingin turut mengadakan bimbingan kerohanian dan suasana keislaman kepada pesakit. Kita sedia maklum suasana keislaman merupakan kunci utama dalam rawatan kaunseling," katanya lagi.



Melalui kajian yang dijalankan oleh Rosiah, kebanyakan Pusat Jagaan yang sedia ada diuruskan oleh pihak swasta, ditubuhkan menuju ke arah dasar keuntungan, bukan sebagai non-profit.  

Pusat Jagaan demikian adalah terlalu sesak, Walaupun sesak, bayaran sangat mahal, antara RM2500-3000 sebulan dan ada yang mengenakan bayaran sehingga RM10,000 untuk tempat tinggal, bayaran doktor yang datang melawat, sedikit kaunseling dan untuk makan minum serta tempat tinggal. 

Ada juga pusat rawatan masyarakat Melayu Islam yang mengenakan bayaran yang agak murah antara RM800 hingga RM1,000 sebulan tapi tidak ada aktiviti yang membantu pesakit ke arah penyembuhan menyeluruh seperti, tidak ada rawatan kaunselling. Pesakit hanya diberi ubat, tempat tidur dan makan minum sahaja. 

Perkara ini amat menyedihkan kerana rawatan pemulihan penting seperti kaunselling tidak diberi. 

Disebabkan tak banyaknya pusat rawatan dan penjagaan pesakit mental di negara ini, tempat-tempat yang menyediakan penjagaan ini sentiasa penuh dan sesak serta menjadi tempat-tempat sebegini umpama tempat pembuangan pesakit mental yang sudah dilihat sebagai "tidak berguna lagi".



Menurut Rosiah lagi, jika rumah Madani dapat direalisasikan pesakit boleh tinggal di sini menjalankan aktiviti bersama pesakit dan warden sebagai sebuah keluarga.  

"Di rumah Madani ini pesakit dapat hidup berdikari dengan bantuan tempat tinggal dan masyarakat sekeliling yang memahami mereka. 

"Pesakit juga boleh hidup seperti orang biasa, dapat berinteraksi dengan pesakit dan kakitangan lain yang ada di sana berbanding tinggal di rumah, di mana pesakit kurang interaksi dengan orang lain, tiada pekerjaan, hanya makan tidur sahaja," jelasnya.

Antara tugasan warden dan pembantu warden ialah memastikan pesakit patuh makan ubat, pantau kesihatan pesakit dari segi fizikal, emosi dan mental, mengiringi pesakit pergi/balik berjumpa doktor di hospital, mengatur jadual kaunseling kepada pesakit, mengatur jadual ustaz mengajar, memberi tazkirah dan tafsir Al-Qur'an, serta mengatur perjalanan di pusat rehabilitasi berjalan lancar. 

Buat permulaan NGO ini memerlukan lebih kurang RM100,000 untuk memulakan pusat penjagaan ini. Ini termasuk membayar deposit sewaan rumah, bayaran pekerja , membuat sedikit renovasi rumah berkenaan, membeli peralatan dan katil serta keperluan asas dalam rumah berkenaan. 

Bagaimanapun anggaran perbelanjaan sebulan adalah RM30,000 yang meliputi bayaran sewa rumah, bayaran kepada kaunselor, gaji pekerja, makanan dan bil elekrik/air.  

Sebagai sebahagian daripada aktiviti Rehab, pesakit akan diberi jadual bertugas kerja seperti membantu memasak, membersihkan rumah dan kawasan rumah, membuat kerja yang boleh mendapat sumber kewangan seperti membuat dan membungkus kerepek, membungkus perkakas makanan segera dan lain-lain. 

Aktiviti sihat ini menggalakkan juga pesakit berinteraksi sesama mereka dan tidak hanya makan dan tidur dirumah. 



Kesimpulannya, kata Rosiah, penjagaan dan pemulihan pesakit mental perlu mendapat tempat dan cara rawatan yang betul untuk pemulihan mereka. 

Ada kajian mengatakan pesakit skizo boleh sembuh dengan rawatan yang betul dan perhatian daripada masyarakat sekeliling. Seperkara lagi, kebanyakan pesakit mental pula adalah asnaf, mereka tidak mampu bekerja, tiada majikan yang sanggup menggajikan mereka. Oleh itu mereka termasuk dalam golongan asnaf dan mereka mempunyai hak dalam dana kutipan Zakat. 

Bagi tujuan ini, jika ada pihak yang ingin membantu Rumah Madani, sumbangan tersebut boleh disalurkan menerusi akaun berikut: Pertubuhan Sokongan Kesihatan Mental Madani, Maybank nombor Akaun: 562106854804. - KitaReporters


17
11
0
9
0

Copy Link: