Hayati Dali duduk tengah) bersama-sama ahli PERKEP JSPT beramah mesra dengan warga emas di PJMM.


KEGIATAN penipuan atau ‘scam’ dalam talian yang berleluasa mendorong ahli Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Kuala Lumpur untuk hadir sendiri menghulurkan sumbangan barangan asas makanan keperluan harian dan wang kepada Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), di Semenyih, Selangor pada 15 Jun 2023.

Menerusi program lawatan kebajikan bermatlamat ke arah mewujudkan Malaysia Madani itu, 20 ahli PERKEP JSPT berkenaan diketuai pengerusinya, Datin Seri Hayati Dali turut meluangkan masa lebih dua jam untuk melihat secara dekat PJMM yang begitu komited menjaga dan menyantuni lebih 45 warga emas tanpa waris dan disisih oleh keluarga tanpa mengenakan sebarang bayaran.


Azman Rasman (kiri), Mohiadin Bahado, Muhammad Syafiq Mohaidan dan Hayati bersama-sama ahli PERKEP JSPT melihat barangan yang disumbangkan untuk Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), di Semenyih, Selangor, pada 15 Jun 2023.


Hayati berkata, bagaimanapun sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kami terpaksa mengambil langkah berhati-hati terhadap kegiatan penipuan dalam talian terutama apabila menyumbangkan kewangan kerana lebih selamat diserahkan sendiri kepada pihak berkenaan.

Menurutnya, dalam media sosial sekarang tersebar pelbagai pertubuhan, pusat pengajian, rumah serta badan kebajikan yang memerlukan bantuan dan sumbangan daripada orang ramai atau NGO apabila turut memaparkan nombor akauan  bank untuk memudahkan tujuan itu.

Tambahnya, seperti PJMM maklumat mengenainya turut diperoleh daripada sebaran dalam media sosial yang turut didedahkan nombor akauan bank, bagaimanapun PERKEP JSPT mengambil langkah berhati-hati dengan menghubungi pihak pengurusan  bagi mendapatkan kepastian sebelum membuat keputusan untuk datang sendiri.


Azman (kanan) memberi penerangan kepada Hayati dan ahli PERKEP JSPT mengenai warga emas yang terlantar kerana keuzuran.


Jelasnya, langkah itu bukan bertujuan untuk menafikan jika sesuatu maklumat berkenaan sememangnya benar seperti didedahkan namun sebagai langkah keselamatan serta berhati-hati perkara berkenaan wajar diberikan perhatian.

“Tidak dinafikan menghulurkan sumbangan dan sebagainya menerusi dalam talian satu kemudahan tetapi mendukacitakan apabila ada pihak bertindak melakukan ‘scam’ untuk kepentingan peribadi bagi mencari sumber pendapatan tanpa berasa bersalah,” ujarnya.

Dalam program berkenaan selain ahli, Hayati turut diiringi Naib Pengerusi PERKEP JSPT, Datin Hamidah Hashim dan Pengerusi Biro Pendidikan PERKEP JSPT, Rose Afidah Abd Rahim. Turut hadir Pengerusi PJMM, Azman Rasman; Penasihat PJMM, Mohiadin Bahado; Pengurus serta Setiausaha PJMM, Sazali Mohiden; dan Muhammad Syafiq Mohiadin.


Azman menjawab pelbagai soalan ditanya ahli PERKEP JSPT mengenai warga emas yang ditempatkan di PJMM.


Hayati berkata, dia berasa kagum dengan pihak pengurusan terutama petugas di PJMM yang begitu bertanggungjawab menjaga warga emas walaupun mereka itu bukan ibu bapa mereka atau mempunyai pertalian persaudaraan.

Menurutnya, tugas menyantuni warga emas terutama yang terlantar di atas katil bukan suatu yang mudah malah amat rumit terutama apabila terpaksa mengangkat atau menyorong dengan kerusi roda ke bilik air untuk dimandikan dan sebagainya.

Ujar beliau, seharusnya tugas itu dilakukan oleh anak-anak bagi warga emas yang memiliki keluarga kerana usaha berkenaan adalah kunci untuk menuju ke syurga dan bukan lepas tangan dengan menghantar ke pusat jagaan jika tiada alasan yang munasabah.


Azman menerima barangan asas makanan keperluan harian dan wang derma yang disumbangkan PERKEP JSPT.


Tambahnya, menjengah dan menyantuni warga emas di PJMM, dia bersama-sama ahli PERKEP JSPT berasa amat terharu apabila kedatangan mereka disambut dengan senyuman ceria dan tidak berasa kekok menceritakan sejaran hidup mereka sebelum dipinggirkan oleh ahli keluarga.

“Saya berharap PJMM terus kukuh untuk beroperasi bagi membela warga emas yang tersisih dan pelbagai pihak juga wajar turun padang menghulurkan sumbangan untuk meringankan bebanan yang ditanggung pusat jagaan ini.

“Maklumat yang diperoleh dalam program ini akan saya uar-uarkan kepada PERKEP utama mungkin untuk berbincang mencari alternatif terbaik bagi membantu pusat jagaan atau rumah kebajikan anak yatim supaya usaha yang dilakukan memberi manfaat.

“Program ini juga turut membuktikan walaupun anggota polis sentiasa sibuk melaksanakan tugas untuk kesejahteraan hidup masyarakat ada NGO seperti PERKEP JSPT yang mengambi lalih tugas menyantuni mereka yang memerlukan pembelaan,” katanya.


Mohiadin mendeklamasi sajak bertajuk Harapan Seorang Ayah dan Ibu yang meruntum jiwa ahli PERKEP JSPT.


Sementara itu, seorang ahli PERKEP JSPT, Inspektor Rozilah melahirkan rasa gembira dapat turut serta menyantuni warga emas di PJMM kerana memperoleh pelbagai cerita menarik mengenai warga emas di situ.

Menurutnya, apabila berada di sisi warga emas itu dia dapat mengetahui cerita sebenar nasib menimpa mereka terbabit yang sememangnya merindui ahli keluarga dan tidak pernah terlintas pada fikiran penghujung kehidupan akan berakhir begitu.

“Bagi yang sebatang kara mereka ini melahirkan rasa bersyukur kerana ada pihak yang ambil peduli nasib mereka dan tetap tabah mengharungi kehidupan terutama apabila semakin uzur,” ujarnya. - KitaReporters


Hayati (tengah) bersama-sama ahli PERKEP JSPT merakam kenangan dengan sebahagian warga emas.

24
11
0
8
0

Copy Link: