Pengalaman yang tidak dapat dilupakan ahli kelab KESUPEN.


Love is Caring and Sharing’, tema yang dibawakan dalam program khidmat masyarakat (CSR) anjuran Kelab Sukan dan Kebajikan Penilaian (KESUPEN), Jabatan Penilaian Dan Perkhidmatan Harta (JPDPH) Pahang ketika mendekati masyarakat Orang Asli Sungai Tiang, dekat Kuala Tahan, Jerantut, baru-baru ini.

Tema program tersebut mengetengahkan erti rasa cinta dan sayang yang tidak hanya perlu diluahkan dengan kata-kata tetapi mampu diperlihat dengan tindakan serta perbuatan.

Seramai 25 anggota kelab dari cawangan Kuantan, Temerloh, Raub dan Pejabat Negeri bekerjasama turun padang bagi menjayakan program yang pertama kali diadakan itu.

Kehadiran mereka disambut dengan meriah oleh Yang Beradat Batin Roselan Ramli bersama kira-kira 200 orang penduduk Orang Asli yang begitu ‘sporting’.


Banyak perkara baharu diperoleh ketika menyantuni masyarakat Orang Asli lebih-lebih lagi ketika membuat lawatan dari rumah ke rumah.


Pengarah JPDPH Pahang, Sr Maznah Ngah berkata, masyarakat Orang Asli khususnya di kawasan pedalaman tidak harus dipinggirkan malah perlu didekati dan diberi perhatian.

Menurutnya, penganjuran program itu lebih kepada memfokuskan aspek jalinan silaturahim dan uhkuwan antara anggota kelab serta kakitangan di jabatan dengan masyarakat terbabit.

“Paling penting kita dapat membina jaringan bersama dan menunjukkan kecaknaan masyarakat luar terhadap mereka ini.

“Malahan secara tidak langsung, sedikit sebanyak kita juga dapat membantu mereka dalam beberapa aspek kehidupan," katanya dalam satu perkongsian bersama penulis.

Dalam pada itu, tambah Maznah, program yang diadakan itu mampu memberi impak besar bukan sahaja bagi kakitangan dan ahli kelab malah keseluruhan jabatan itu sendiri.

Katanya, banyak perkongsian menarik diperoleh sepanjang program berlangsung dan berharap semua yang terlibat dapat memahami dan menghayati cara kehidupan masyarakat Orang Asli.


Sebahagian penduduk perkampungan Orang Asli Sungai Tiang, dekat Kuala Tahan, Jerantut bergambar kenangan bersama ahli KESUPEN sebelum program ramah mesra bermula pada 22 Februari 2025 lalu.

“Sebetulnya saya juga tidak menyangka program ini mendapat sambutan, rasa bertuah juga untuk bersama-sama mereka kerana banyak perkara baru dapat dipelajari.

“Begitu menarik perkogsian diberikan oleh Yang Beradat Batin dan kita dapat tahu mengenai cara kehidupan masyarakat Orang Asli dengan lebih dekat, berkaitan kawasan rayau dan hubung kait antara pokok dengan Orang Asli.

“Lebih menarik apabila kesemua peserta program turut dibawa melawat rumah-rumah asal penduduk di kawasan tersebut yang ternyata begitu unik sekali,” katanya.

Antara aktiviti kemasyarakatan yang telah dijalankan pada program itu adalah seperti gotong-royong pembersihan kawasan surau, mengecat surau, sukaneka untuk kanak-kanak Orang Asli dan penyampaian sumbangan bakul makanan serta jamuan bersama penduduk kampung.

Meriah sekali dapat berkumpul macam suasana kenduri kahwin. - KitaReporters

16
11
0
9
0

Copy Link: