.


KOLABORATIF dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) memberi kelegaan kepada 56 mangsa banjir di Taman Seri Utama, Jitra dan Taman Tabung Haji, Kepala Batas, Kedah apabila menerima bantuan bakul makanan barangan keperluan asas pada 22 Disember 2024.

Misi bantuan banjir membabitkan kerjasama NGO iaitu Kelab Sukarelawan Mahmudah (KESUMA’24) dari Semenyih, Selangor dan Pertubuhan Kebajikan Warga Emas Langkasuka Kubang Pasu (Pewaris) menerima sokongan serta infak dari pelbagai pihak untuk meringankan bebanan mangsa banjir terbabit.


Sebahagian daripada 21 mangsa banjir di Taman Seri Utama, Jitra bersama-sama barangan keperluan asas yang diterima mereka.


Setiausaha KESUMA’24, Rozita Yaakob, berkata Yayasan Bank Rakyat (YBR) menjadi penyumbang utama apabila menginfakkan RM5,000 sebagai membantu serta menampung kos pembelian barangan keperluan asas di samping melengkapkan sumbangan kewangan untuk mereka terbabit.

Menurutnya, sebagai langkah keselamatan perjalanan dan ketiadaan pengangkutan yang mencukupi KESUMA’24 meminta bantuan Pewaris di Jitra untuk membeli serta menyiapkan bungkusan 35 barangan makanan asas lagi, manakala 21 bungkus sudah siap disediakan di Pejabat Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia, Semenyih, Selangor.

Tambahnya, Pewaris dengan dibantu sukarelawan mereka berjaya menyelesaikan urusan bantuan itu di samping melakukan perincian untuk mengenal pasti mangsa banjir di Taman Seri Utama dan Taman Tabung Haji yang layak menerima sumbangan bakul makanan berserta wang sagu hati.


Rozita Yaakob (dua dari kiri) mengagihkan sumbangan barangan keperluan asas dan wang sagu hati kepada seorang mangsa banjir di Taman Seri Utama.


Jelasnya, langkah itu penting sebagai memenuhi hasrat penyumbang serta penginfak yang mahukan sumbangan atau derma mereka sampai ke sasaran sebagai meringankan bebanan yang terpaksa ditanggung kerana kerosakan pelbagai peralatan rumah dan menghadapi tekanan emosi.

Jelasnya, walaupun ada sesetengah mangsa banjir itu mendapat bantuan sebaik sahaja berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS), namun begitu ia belum mencukupi untuk terus menampung apabila terpaksa melalui fasa pemulihan sebaik sahaja pulang ke rumah.


Sebahagian mangsa banjir di Taman Tabung Haji, Kepala Batas, Kedah gembira menerima sumbangan yang diagihkan KESUMA'24 hasil infak Yayasan Bank Rakyat dan penyumbang prihatin.


“Sebagai sukarelawan yang sering mengikuti misi bantuan bencana alam seperti banjir, kesusahan serta tekanan emosi dan mental mangsa terbabit sukar untuk dibayangkan kerana mereka akan berasa amat kecewa apabila melihat banyak harta benda rosak khususnya rumah dipenuhi lumpur, peralatan elektrik selain banyak barangan dibawa hanyut arus deras. 

“Kehadiran NGO seperti kami dengan membawa sumbangan daripada pelbagai penginfak akan memberi sedikit keceriaan serta kelegaan di samping dapat berkongsi kesusahan dan gembira apabila nasib mereka bersama keluarga mendapat perhatian orang luar yang datang menghulurkan bantuan,” ujarnya. 

Pada misi itu, KESUMA’24 menyumbangkan 56 bakul makanan serta wang sagu hati kepada 21 mangsa banjir di Taman Seri Utama dan 35 di Taman Tabung Haji apabila rumah mereka digenangi banjir antara sedalam empat kaki dan tujuh kaki.

Kebanyakan keluarga terbabit terpaksa berpindah ke PPS iaitu Sekolah Kebangsaan Sultan Ahmad Tajuddin (SKSAT) serta SK Bukit Tinggi (SKBT) bermula antara 26 November dan 27 November 2024 selama empat dan lima hari sebelum dapat pulang ke rumah.


Mangsa banjir di Taman Tabung Haji bergambar bersama-sama Rozita selepas menerima agihan barangan keperluan asas dan wang sagu hati.


Sementara itu, Setiausaha Pewaris, Azmi Mat Napiah yang turut hadir mengagihkan bantuan itu, berkata dia berasa amat terharu apabila YBR menjadi penyumbang utama sehingga membolehkan KESUMA’24 hadir untuk membantu mangsa banjir terbabit.

Tegasnya, kesanggupan KESUMA’24 bersama-sama ahlinya dengan bantu sukarelawan Pewaris turun padang membantu mangsa banjir walaupun jauh dari Lembah Klang, sesuatu yang amat terpuji kerana turut mengambil berat membela mereka ditimpa musibah.

“Keprihatinan KESUMA’24, YBR dan penyumbang mengambarkan suatu gabungan tanpa dirancang dalam menzahirkan kesepakatan berkongsi rezeki bagi meringankan bebanan mangsa banjir yang terkesan teruk termasuk dari segi mental serta emosi. 

“Ini juga mampu menjadi contoh kepada generasi muda untuk membabitkan diri dalam NGO supaya dapat melakukan kerja amal kebajikan dan bagi sesebuah pusat jagaan tenaga muda amat diperlukan bagi menyantuni warga emas yang memerlukan kasih sayang serta perhatian,” katanya.


Bahari Din


Ahli Jawatankuasa Penduduk Taman Seri Utama, Bahari Din, berkata air melimpahi masuk ke kawasan perumahan itu dipercayai datang dari terowong lebuh raya berdekatan yang tidak dapat ditampung oleh sungai kecil berdekatan menyebabkan mengalir masuk ke dalam rumah.

Menurutnya, kejadian yang berlaku malam pada 26 November 2024 secara tiba-tiba itu menyebabkan ramai penduduk tidak dapat menyelamatkan barangan dalam rumah dan banyak digenangi air sehingga ada yang rosak tidak dapat digunakan lagi seperti perabot, televisyen dan pakaian kerana dilumuri lumpur.

“Kejadian limpahan air dari terowong ini bukanlah kali pertama berlaku, malah sudah berlarutan sejak beberapa tahun lalu cuma tidak seteruk ini kerana mungkin disebabkan hujan turun terlalu lebat dan tidak dapat mengalir terus ke sungai kecil itu,” terang beliau.


Hamidah Ghazali melihat naskhah al-Quran yang dijemur selepas digenangi air banjir.


Sementara itu, seorang mangsa banjir Taman Tabung Haji, Hamidah Ghazali, berkata dia belum selesai lagi membersih dalam dan luar rumah termasuk mencuci pakaian yang dilumuri lumpur, manakala sesetengah pula terpaksa dibuang.

Tambahnya, barangan perkakas dapur, perabot termasuk barangan elektrik khususnya tidak dapat digunakan lagi kerana digenangi air banjir beberapa hari yang mungkin sudah rosak teruk serta dan tidak selamat untuk digunakan lagi kerana bimbang berlaku renjatan elektrik.

“Saya amat bersyukur apabila dikunjungi KESUMA’24 untuk mengagihkan barangan keperluan asas seperti beras, tepung gandum, gula, bihun dan sebagainya kerana barangan makanan itu yang ada sebelum ini sudah digenangi air,” jelasnya.


Penasihat KESUMA'24, Azman Rasman menyampaikan ucapan ringkas sebelum mengagihkan barangan keperluan asas kepada mangsa banjir di Taman Tabung Haji.


Kepada mereka yang ingin bersama KESUMA’24 membantu mereka yang ditimpa musibah bencana alam seperti banjir atau meringankan bebanan operasi pusat jagaan warga emas, anak yatim, asnaf, keluarga miskin dan pusat pengajian agama boleh menyumbang terus ke akauan KESUMA’24 bernombor 100 7621 0000 12282 (Kelab Sukarelawan Mahmudah) Agro Bank, Semenyih, Selangor. 

Untuk maklumat lanjut boleh hubungi nombor telefon Rozita (013-447 3585) dan Aizam Ambak (016-276 6584). - KitaReporters

20
7
0
11
0

Copy Link: