Suram dan sukar! Persiapan Ramadan bagi Palestin! Solat tarawih di antara runtuhan masjid di Gaza!
Published byRakyat Palestin tetap mencari keperluan dan melaksanakan Ramadan dengan suasana hati yang berat.
Di tengah-tengah kehancuran, Gaza tetap bersiap sedia bagi menyambut kedatangan bulan Ramadan. Meskipun perang telah merenggut beratus ribu nyawa, masyarakat Palestin tetap membuat persiapan menyambut bulan Ramadan.
Walaupun hati yang cukup berat namun demi tuntutan agama, mereka terus berlapang dada mengharungi perit getir antara berpuasa atau terus sedia berdepan perang yang berkemungkinan tidak berkesudahan.
Suasana muram masih mendominasi persiapan Ramadan, dengan kehadiran polis Israel yang semakin meningkat di sekitar Al-Aqsa. Kota Lama Baitulmaqdis semakin menjadi tumpuan, kerana keselamatan telah diperketatkan oleh beribu-ribu polis di sekitar Al-Aqsa, tapak suci untuk kedua-dua orang Islam dan Yahudi.
Dalam pada itu, rakyat Palestin mengambil keputusan untuk tidak menghiasi Pekan Lama sebagai penghormatan kepada mangsa perang bagi menunjukkan suasana yang sangat berbeza dari tahun-tahun sebelumnya.
Memetik laporan Anadolu Ajansi (AA), rakyat Palestin tetap menunaikan solat tarawih pertama di Semenanjung Gaza di celah-celah runtuhan masjid pada Jumaat malam. Palestin mula berpuasa pada Sabtu, 1 Mac 2025.
Mereka menghamparkan permaidani dan tikar di sebelah runtuhan masjid yang musnah untuk menunaikan solat tarawih.
Kata seorang imam di Bandar Gaza, Bilal Al-Lahham, mereka mendirikan solat tarawih pertama di celah runtuhan masjid.
"Hari ini, di sebalik timbunan puing ini, kami menunaikan ibadah, berdoa kepada Allah agar menerima amalan kami," katanya.
Kementerian Wakaf dan Hal Ehwal Agama Gaza minggu lalu melaporkan bahawa daripada 1,244 masjid di seluruh Gaza, sebanyak 1,109 musnah sepenuhnya dan mengalami kerosakan teruk akibat serangan tentera.
Berdasarkan laporan Al-Jazeera pula, pemimpin Hamas, Abdul Rahman Syadid menyeru umat Islam untuk hadir secara beramai-ramai di Masjid Al-Aqsa sepanjang bulan Ramadan bagi menentang sekatan rejim aparteid Zionis di Baitulmaqdis.
Beliau menegaskan bahawa kehadiran berterusan umat Islam di kawasan masjid suci itu amat penting bagi mempertahan hak sejarah dan agama mereka.
“Kita mesti beramai-ramai menuju ke Al-Aqsa, memperkukuh kehadiran serta menolak sekatan yang bakal dikenakan oleh rejim penjajah itu,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, Ramadan adalah peluang penting untuk mempertahan Masjid Al-Aqsa dengan memastikan ia terus dipenuhi jemaah, terutama oleh penduduk Baitulmaqdis, Palestin 1948 dan Tebing Barat.
Kompleks Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis.
Sementara itu, Bernama ada melaporkan perjanjian gencatan senjata dan pertukaran tahanan telah berkuat kuasa sejak bulan lalu, menghentikan sementara perang yang memusnahkan Gaza dan telah mengorbankan lebih 48,360 nyawa, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.
Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) juga telah mengeluarkan waran tangkap pada November 2024 terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, dan bekas Menteri Pertahanan, Yoav Gallant, atas tuduhan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.
Israel juga berdepan kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung tindakan ketenteraannya di wilayah didudukinya itu. - KitaReporters
Warga Palestina, khususnya di Gaza sentiasa bersedia berdepan sukar - Gambar Reuters
-ends-